
PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja tidak akan membenarkan pertandingan Ratu Cantik Jerangkap Samar diadakan di sini pada Jumaat ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Hal Ehwal Kemasyarakatan memberitahu, kerajaan menyifatkan acara itu sebagai satu penghinaan kepada golongan kurang upaya.
"Pertandingan itu mengejek mangsa-mangsa jerangkap samar di Kemboja dan kerajaan langsung tidak menyokongnya," kata kenyataan kementerian tersebut.
Terdahulu, pihak penganjur dalam laman webnya menyatakan acara itu diadakan bagi membangkitkan semangat para peserta dan orang kurang upaya lain di samping meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya jerangkap samar.
Pemenang pertandingan itu akan menerima hadiah kaki palsu.
Laman web itu memaparkan gambar 20 peserta berusia di antara 18 dan 48 tahun yang memakai gaun tetapi turut menunjukkan kecacatan masing-masing akibat terkena jerangkap samar.
Kecewa dengan keputusan kerajaan itu penganjur acara tersebut, Morten Traavik menyatakan ia akan tetap diadakan menerusi pengundian di Internet manakala pemenangnya akan diumumkan pada 31 Disember depan.
Beratus-ratus penduduk Kemboja mati setiap tahun akibat enam juta jerangkap samar dan lain-lain jenis letupan yang masih tertanam di Kemboja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: