| SIAPA tidak kenal Papa Rock Ramli Sarip. Penyanyi dianugerahkan suara unik serak-serak basah dan mempunyai imej rambut gondrong sebagai identiti, tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang. |
Bagi Ramli, 58, yang suka merendah diri itu, dia tidak suka kepada istilah malas kerana boleh menyekat seseorang insan seni daripada berjuang dan mencapai matlamat.
Katanya, istilah mengecewakan peminat tidak pernah berada dalam kamus kariernya.
Justeru, Ramli membuktikan kesungguhannya apabila bakal melancarkan DVD Konsert Reunion 40 Tahun Sweet Charity, Bagaikan Bermimpi dan Kompilasi 22 Karat lagu duet bersama rakan seperjuangan sepanjang berkecimpung selama 40 tahun dalam bidang itu dalam masa terdekat.
Ramli menganggap gabungan semula kumpulan Seet Charity sebagai salah satu khazanah seni bernilai dalam usaha mengawal nilai artistik arena hiburan yang membawa kumpulan itu mengecapi kemuncak kejayaan sepanjang empat dekad lalu.
"DVD itu menampilkan konsert terbaru Sweet Charity di Esplanade Singapura, baru-baru ini sementara Kompilasi membabitkan duet klasik selama 22 tahun bersama Khatijah Ibrahim, Ella, Jay-Jay, Dayangku Intan, Kopratasa, Lefthanded, Lovehunters dan beberapa artis lain.
"Pelbagai peristiwa bersejarah, pahit manis saya lalui bersama Sweet Charity diabadikan dalam DVD itu. Kompilasi Karat 22 pula mengenengahkan kemuncak karier berduet bersama penyanyi lelaki, wanita dan kumpulan pernah popular dalam zaman saya sepanjang 22 tahun sebagai penyanyi solo.
"Saya harap peminat terhibur, gembira dan dapat mempelajari sesuatu daripada sejarah kerana DVD itu mengandungi koleksi 40 lagu-lagu terbaik Sweet Charity dan rakaman (footage) konsert membabitkan gabungan semula ahli lama.
"DVD turut menyelitkan peristiwa dan pengalaman menarik berlaku sepanjang setiap rakaman lagu dalam studio dan bahan penceritaan itu dikumpulkan daripada temu ramah bersama rakan-rakan wartawan dan jurnal lama pernah diterbitkan," katanya ketika ditemui sewaktu rakaman program raya Astro, baru-baru ini.
Ramli berkata, sejarah Sweet Charity panjang dan peminat boleh mengetahui sejarah perkembangan kumpulan itu melalui pendekatan digunakan dalam pembikinan Konsert DVD kumpulan yang masih bertahan sejak ditubuhkan 1969.
"Tujuh puluh peratus karier saya adalah secara solo berbanding berkumpulan, jadi saya tidak mahu mengecewakan peminat dan beraksi bersama Sweet Charity adalah cara terbaik mengubat kerinduan peminat yang mahukan saya kembali membuat persembahan seperti itu.
"Seni satu cabang dihormati, jadi mahu mengangkat martabatnya supaya menjadi lebih menarik. Ia mengenai fikiran, menulis lirik, menyampaikan atau mempersembahkan dan mesejnya perlu mendidik bukan sekadar hiburan.
"Peminat perlu mendapat sesuatu daripadanya dan kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk peminat kami," katanya.
Ramli tidak menafikan kemungkinan konsert jelajah itu sebagai persembahan terakhir Sweet Charity, tetapi mereka masih menimbangkan mengenai perancangan itu.
"Setakat ini, terdapat dua atau tiga promoter sudah menunjukkan minat menjayakannya. Ia begitu simbolik kerana ia salah satu penyumbang kepada pembangunan seni seseorang artis selain membuat album dan mendapat liputan di media," katanya.
Tahun lalu Sweet Charity bergabung membuat persembahan sempena Hari Bapa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Ramli bergabung bersama rakannya, Rosli Mohalim, Rahman Sarbani, Masrom Abdul Hamid, AJ dan Wan Ahmad menghiburkan penonton dengan alunan lagu-lagu popular mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: