| NAMANYA terkenal di persada perfileman Hollywood, tetapi mungkin ramai tidak tahu aktres jelita, Jennifer Aniston, 39, cukup suka mengajak teman rapat berkunjung ke rumahnya untuk makan bersama. |
Apa yang menarik, hidangan utama yang menjadi kegemaran teman-temannya ialah ikan salmon, tetapi Jennifer tidak suka masakan daripada ikan terutama salmon.
Bagaimanapun, sejak rumahnya menjadi seperti restoran terkenal gara-gara kreativiti dua tukang masak peribadinya yang bijak menyediakan menu itu, bukan saja rumahnya menjadi tumpuan teman malah cita rasanya terhadap ikan juga berubah.
Apa yang menggembirakan Jennifer, teman-temannya kini boleh melupakan beberapa restoran lebih menarik seperti Ivy, Beso atau tempat yang kerap menjadi tempat selebriti meluangkan masa di Hollywood.
“Rakan-rakan saya suka datang ke rumah kerana mereka pasti akan dijamu dengan makanan lazat. Saya juga memang lebih suka makan di rumah dan jarang makan berseorangan.
“Apa yang menggembirakan, rakan-rakan sentiasa keluar masuk rumah saya sepanjang masa,” katanya.
Perkara itu turut diakui Jewels Elmore, chef peribadi Jennifer yang mengendalikan dapur kediamannya bersama kakaknya. Begitu juga pereka fesyen, Jennifer Meyer, rakan karib yang kerap datang ke rumahnya untuk makan malam bersama.
Jennifer berkata, temannya yang popular menerusi watak Rachel Green dalam sitkom Friends itu adalah wanita yang suka duduk di rumah.
Katanya, ia sesuatu pengalaman menyeronokkan apabila dapat mewujudkan tempat semua orang berasa selesa seperti satu keluarga besar.
“Dia mewujudkan tempat dengan suasana sesuai menjadi tempat santai dan bersembang-sembang. Ia restoran terbaik di bandar ini,” katanya.
Mengenai filem terbarunya, Jennifer terpaksa masuk penjara bagi melakonkan peranan dipegangnya dalam Goree Girls. Dalam filem berdasarkan kisah benar berlatarkan 1940-an itu, Jennifer bukan saja memegang watak utama malah menjadi produser.
Filem arahan Michael Sucsy itu dijadual menjalani penggambaran Januari tahun depan. Ia bertemakan kehidupan pemuzik dan wanita dalam penjara, kisah berdasarkan muzikal pada zaman itu memaparkan perubahan yang dilalui lapan wanita dalam era kehidupan ‘country & western’ melalui pahit maung meringkuk dalam penjara di Texas Goree.
Kisahnya dicetuskan penulis Skip Hollandsworth dalam artikel Texas Monthly 2003, O Sister Where Art Thou mengenai bantuan wanita menubuhkan Goree Girls, kumpulan muzik yang berjaya menambat hati berjuta-juta peminat. Keadaan itu menyebabkan mereka menerima pengampunan dan akhirnya dibebaskan.
Mengenai hubungan terbarunya, Jennifer yang pernah berkahwin selama tujuh tahun dengan aktor Brad Pitt, sering dikaitkan dengan beberapa pelakon lelaki dan kini dikatakan menjalin hubungan dengan aktor Britain, Gerard Butler.
Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran gosip itu, tetapi Butler secara terbuka mendedahkan, dia akan menjadi orang pertama mengakuinya jika dia menjalin hubungan cinta dengan Jennifer.
“Jika ia berlaku, saya akan katakan perkara itu,” kata Butler, aktor pelakon kelahiran Scotland, berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dan pernah menjadi penyanyi kumpulan rock.
Butler, 39, mula dikaitkan dengan Jennifer sejak mereka membintangi filem The Bounty In Manhattan. Sekalipun mereka kelihatan begitu selesa bersama, Butler berkata, apa yang berlaku antara mereka tidak seperti diperkatakan.
“Ia boleh saya sifatkan, anda masih bujang, tidak berkahwin di Hollywood dan bekerjasama dengan orang seperti Jennifer.
“Ia bukan kerana tiada apa pernah berlaku kepada Jennifer. Saya sifatkan Jennifer sebagai wanita yang memiliki kelas dan saya tidak malu berada di sisinya. Tapi sebaliknya, Jennifer yang berasa malu disebabkan saya,” katanya.
Spekulasi itu terus hangat apabila Butler mendakwa tidak sabar menanti hari berada di set penggambaran The Bounty In Manhattan, malah mereka dilihat bercium ketika bersama.
“Saya belum memulakannya lagi, tetapi berasa gembira. Saya bernasib baik, saya tahu,” kata Butler.
Ternyata sejak berpisah dengan Pitt, anak pasangan pelakon John Aniston dan Nancy Dow ini masih mencari cinta sejati. Jennifer menyifatkan perpisahannya dengan Pitt tidak pernah dikesali kerana hubungan mereka begitu intim dan indah, tetapi rumit.
Jennifer pernah dikaitkan dengan Vince Vaughn ketika berlakon bersama dalam filem The Break Up. Hubungan mereka dilaporkan tidak menentu pada September 2006 sebelum sah berpisah pada Disember tahun sama.
Kemudian Jennifer keluar bersama model, Paul Sculfor selama beberapa bulan pada 2007 dan April 2008, menjalin hubungan dengan penyanyi blues rock, John Mayer. Mereka berpisah pada Ogos, tetapi intim semula dua bulan kemudian sebelum sekali lagi membawa haluan masing-masing pada Mac tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: