Monday, August 10, 2009

Kekuatan 'dua beranak'


KEJAYAAN bintang remaja, Liyana Jasmay diumumkan Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya sebagai Amy dalam filem Papadom nyata mengundang kejutan di acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.

Mungkin ramai yang tidak tahu kehebatan Liyana menjayakan watak itu kerana filem mengisahkan kasih sayang bapa dan anak arahan Afdlin Shauki itu belum ditayangkan di pawagam.

Bagaimanapun, mereka yang berkesempatan menyaksikan Papadom ketika tayangan perdana selepas majlis Perasmian FFM22 pada 6 Ogos lalu, ramai meramalkan filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu punya potensi untuk menang besar.

Ternyata tekaan mereka tepat apabila Afdlin yang memegang watak bapa Amy dalam filem itu, turut mencatat kejayaan besar sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Ini kemenangan ketiga Afdlin sebagai Pelakon Lelaki Terbaik selepas lakonan filem Buli Balik pada 2006 dan Soal Hati (2001).

Afdlin mengalahkan Que Haidar menerusi Maut, Rashidi Ishak (Setem), Awal Ashaari (Syurga Cinta) dan Mahesh J Kishor (Talentime). Tahun lalu Afdlin dicalonkan untuk kategori sama menerusi Sepi, tetapi anugerah itu dimenangi Rosyam Nor menerusi Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid.

Bukan sekadar kejayaan peribadi sebagai pelakon, malah Afdlin yang turut bertanggungjawab menulis skrip, menang besar apabila filem arahannya itu menang anugerah utama, Filem Terbaik serta dua anugerah lain, Cerita Asal Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Kata Afdlin, kekuatan cerita dan mesej yang ingin disampaikan menerusi Papadom dihasilkan daripada pengalaman sendiri. Afdlin mengakui kehidupan bapa yang kurang beri perhatian terhadap anak sering berlaku dan filem ini menjadi usaha merapatkan kembali hubungan antara mereka.

"Saya terfikir apa akan berlaku kepada bapa jika isteri tiada dan perlu membesarkan anak sendirian. Bagaimana bapa menjalankan tanggungjawab dan anaknya pula yang meningkat remaja berasa tidak selesa apabila pergerakannya sering dikongkong.

"Dalam hidup saya sendiri, sejak 10 tahun lalu saya berasakan banyak memfokuskan kepada kerjaya hingga kurang luangkan masa bersama anak.

"Menerusi Papadom, bukan soal siapa yang bersalah antara bapa dengan anak. Sebagai bapa, watak Saadom dalam filem ini berusaha menjaga anaknya. Apa yang dilaluinya dalam membesarkan anak adalah perkara yang sering dilalui kebanyakan bapa," katanya.

Dalam menghasilkan karya berkualiti, Afdlin menyatakan matlamatnya menghasilkan filem lebih kepada hasrat berkongsi cerita dengan mesej pengajaran yang positif berbanding mengaut keuntungan kutipan tiket. Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam pada 8 Oktober nanti."Pada saya, Talentime dan Setem beri saingan kuat untuk Filem Terbaik. Yasmin pula membuktikan Talentime karya terbaiknya.


"Saya sebak ketika menerima anugerah ini kerana dua perkara. Pertama, saya terkenang Yasmin. Walaupun kami tidak rapat, kami sering berhubung dengan bercerita mengenai filem. Bagi saya, kehilangan Yasmin suatu yang besar pada perfileman negara kita.

"Kedua, saya tidak terfikir untuk menang anugerah. Ketika menghasilkan filem ini, saya mengharapkan ia ditonton ramai dan penonton yang bergelar bapa menyedari betapa penting tanggungjawab untuk beri fokus kepada anak dan keluarga.

"Saya percaya atas kemenangan ini, ia membuatkan penonton tertanya-tanya mengenai kekuatan filem ini hingga mereka hadir sendiri menonton di pawagam kelak," katanya.

Untuk Filem Terbaik, Afdlin menerima hadiah trofi, wang tunai RM50,000 dan kemudahan perfileman yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bernilai RM100,000.

Untuk Pelakon Lelaki Terbaik dan Sinematografi Terbaik juga memberi hadiah wang kepada Afdlin sebanyak RM15,000 setiap satu manakala RM5,000 untuk Skor Muzik Asal Terbaik.

Afdlin akui Papadom adalah filem terbaik yang pernah dihasilkannya dari aspek plot penceritaan. Selepas Buli, dia berasakan Papadom mempunyai nilai peribadi dengan kehidupannya.

Namun, Papadom bukan merujuk kepada kepuasan kerana membawa tiga tanggungjawab serentak sebagaimana pernah dilakukan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebelum ini dengan melakukan perkara sama apabila turut berlakon dan mengarah dalam filem sendiri.

Kata Afdlin, cara kerja dia dengan P Ramlee tetap berbeza dan dia berusaha untuk berkarya mengikut kemampuan sendiri.

"Menjadi pengarah dan pelakon serentak adalah suatu yang sukar. Selalunya, salah satu tanggungjawab perlu dikorbankan dan sukar untuk diseimbangkan.

"Namun, saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman sebegitu dan sering mahu melakukan yang terbaik untuk setiap filem yang dihasilkan," katanya.

Bagi Liyana, kehadirannya mula menjadi perhatian apabila dicalonkan untuk Pelakon Harapan menerusi lakonan pertamanya menerusi Castello. Untuk kali dia bersyukur dan rasa bertuah kerana lakonannya menerusi Papadom diiktiraf untuk menang anugerah.

Dia percaya filem barunya ini mempunyai tarikan walaupun plot penceritaan ringkas. Katanya, kejayaan ini adalah berkat kerjasama semua pihak yang menjayakan Papadom.

"Bekerjasama dengan Afdlin, membuatkan suasana menjadi satu keluarga dan kami seronok untuk berlakon sama. Afdlin mempunyai semangat kerja yang tinggi dan dia berjaya menyampaikan cerita yang ringkas, tetapi menarik untuk ditonton.

"Walaupun begitu, saya juga takut anugerah ini memberi tekanan kepada lakonan saya selepas ini. Tapi saya menganggap ia sebagai proses untuk belajar dan membaiki kesilapan lalu," katanya.

Kata Liyana, dia menganggap Nabila Huda yang dicalonkan menerusi Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam memberi saingan sengit. Turut dicalonkan untuk kategori yang menjadi impian setiap mereka yang bergelar pelakon ialah

Nadia Mustafar (Jangan Tegur), Sharifah Amani (Sayang U Can Dance) dan Heliza Helmi (Syurga Cinta).

Kategori ini didominasi muka baru dan Amani pernah menang menerusi filem Gubra di FFM19. Tahun lalu Maya Karin berjaya menerusi filem Anak Halal menewaskan Erra Fazira (Anak) dan Nasha Aziz (Otai).



>Profil

Nama: Liyana Jasmay

Asal: Kuantan, Pahang

Umur: 21 tahun

Kerjaya: Pelakon dan pelajar

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia

Ke-19

Filem: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom &

Duhai Si Pari Pari



>Profil

Nama: Afdlin Shauki

Asal : Johor Bahru

Kerjaya: Pelakon, pengarah, penyanyi, penulis lirik lagu, pengacara, pelawak

Pendidikan: Ijazah jurusan arkitek dari universiti di Amerika Syarikat

Filem arahan: Buli, Buli Balik, Baik Punya Cilok, Sumolah, Los dan Faun, Papadom

Filem: Soal Hati, Soalnya Siapa, Mimpi Moon, Biar Betul, Gila-gila Pengantin Popular, Diva Popular, Gerak Khas 2, Pontianak Harum Sundal Malam, Cuci.

Pencapaian: Pelakon Lelaki Terbaik dan Cerita Asal Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke -19, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pengarah Harapan dan Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-15.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: