Tuesday, August 4, 2009

Primeworks kuasai pencalonan


FILEM Geng: Pengembaraan Bermula disebut-sebut bakal merangkul anugerah Filem Box-Office pada FFM22 kelak kerana kutipan tiketnya yang tinggi.


FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, pada 5 hingga 8 Ogos ini menyaksikan sebanyak 27 filem dicalonkan dalam kategori utama iaitu Filem Cereka oleh 17 syarikat produksi tempatan.

Daripada jumlah itu, Primeworks Studios Sdn. Bhd. (Primeworks) merupakan syarikat produksi yang paling banyak menghantar pencalonan bagi kategori Filem Cereka iaitu sebanyak lima buah filem.

Lima filem terbitan anak syarikat Media Prima Berhad itu berjudul Budak Kelantan, Sifu & Tongga, Antoo Fighter, Skrip 7707 dan Rasukan Ablasa.

Selain itu, Primeworks juga mencalonkan dua lagi filem terbitan mereka berjudul Talentime yang dihasilkan dengan kerjasama Chilli Pepper Films Sdn. Bhd. dan Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam bersama Skop Productions Sdn. Bhd.

Dengan jumlah filem terbanyak yang dicalonkan pada FFM22, Primeworks telah mendominasi pencalonan kategori Filem Cereka pada festival filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah itu.

Malah, banyak juga filem terbitan Primeworks seperti Talentime, Antoo Fighter dan Skrip 7707 yang mampu memberi saingan sengit terhadap filem-filem lain yang menghantar pencalonan pada festival berprestij tersebut.

Ini kerana menerusi kategori pencalonan Filem Cereka banyak anugerah utama akan dipertandingkan antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad contohnya, sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang dan aspirasi rakyat berbilang bangsa yang antara lain menjadi tunjang utama dalam penjurian memilih pemenang bagi kategori Filem Terbaik.

Antoo Fighter yang menampilkan gaya persembahan dan penceritaan banyak diwarnai oleh teknologi imej janaan komputer (CGI) dan kesan bunyi khas mampu untuk menyerlahkan kreativiti filem itu.

Sementara Skrip 7707 arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen pula menampilkan plot dan jalan cerita yang juga banyak memaparkan budaya tempatan seperti pemaparan kisah-kisah hantu yang dekat di hati masyarakat di negara ini.

Selain Primeworks, syarikat produksi MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) yang diterajui oleh David Teo pula menampilkan pencalonan kedua terbanyak dengan lima filem dalam kategori Filem Cereka.

Lima filem taruhan MIG itu berjudul Jangan Tegur, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Selamat Pagi Cinta, Syurga Cinta dan Senario The Movie: Episod 1.

Menariknya pada FFM22 ialah apabila hampir separuh filem yang dihantar pencalonannya dalam kategori Filem Cereka merupakan filem-filem yang belum ditayangkan di pawagam.

Antara filem tersebut berjudul Jin Hutan, Jalang, Momok The Movie, Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam, Jangan Tegur, Senario The Movie: Episod 1, Tipu Kanan Tipu Kiri, Maut, Setem, Papadom, Jomlah C.I.U.M. dan Sayang.

Juri profesional

Dalam hal ini, pemilihan serta penilaian terhadap filem-filem yang bertanding pada FFM22 dan belum ditayangkan di pawagam itu kelak tentunya akan dilakukan 100 peratus oleh panel juri profesional.

Dengan erti kata mudah, jika ada filem yang belum ditayangkan di pawagam itu memenangi sesebuah anugerah, hanya para juri sahaja yang tahu akan kelebihan atau kekurangannya.

Sedangkan jika filem-filem yang dipertandingkan itu sudah ditayangkan di pawagam-pawagam, maka para peminat sedikit sebanyak mendapat gambaran atau rasional tersendiri jika ada di antara filem-filem terbabit diangkat mengungguli sesuatu anugerah!

Apa pun sama ada sesebuah filem itu sudah atau belum ditayangkan di pawagam ia bukan syarat utama pencalonan dalam FFM asalkan ia diterbitkan mengikut durasi tahun yang telah ditetapkan, misalnya sepanjang tahun 2008 hingga pertengahan tahun ini.

Meskipun 27 filem termasuklah Estet arahan Mamat Khalid yang merupakan filem terakhir disenaraikan bertanding dalam kategori Filem Cereka tetapi sehingga kini pihak penganjur belum mengeluarkan senarai pendek finalis lima filem bagi kategori Filem Cereka.

Difahamkan selewat-lewatnya hujung minggu ini Finas akan mengumumkan senarai pendek filem-filem yang akan bertanding dalam kategori Filem Cereka dan juga kategori-kategori lain seperti Filem Digital, Animasi, Dokumentari, Filem Pendek dan sebagainya.

Apa pun yang pasti bagi pemenang kategori Anugerah Filem Box-Office besar kemungkinan berada di tangan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang meraih kutipan tiket hampir RM6 juta sewaktu ia ditayangkan baru-baru ini.

Malah, tidak mustahil filem sulung terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. itu juga mampu ditempatkan dalam senarai finalis Top 5 kategori Filem Cereka dan sekali gus merangkul anugerah Filem Terbaik FFM22. Siapa tahu?

Kita tunggu keputusannya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: