Tuesday, August 4, 2009

Gempar stesen minyak 'terbakar'

Simulasi kebakaran di stesen minyak di Behrang berjaya memberi pengetahuan cara-cara menangani situasi kecemasan.


SEORANG kakitangan membantu seorang mangsa yang terperangkap dalam insiden kebakaran.


SEBUAH kereta hilang kawalan lalu merempuh belakang lori yang sedang memindah turun muatan petroleum ke dalam tangki bawah tanah. Dentuman kuat itu mengejutkan empat petugas stesen minyak.

Insiden pada pukul 9.30 pagi itu menyebabkan pemandu lori tangki yang dilanggar kereta berkenaan cedera parah. Rempuhan itu turut menyebabkan berlakunya tumpahan bahan api di lokasi tersebut. Pemandu kereta berusia awal 40-an itu pula tersepit. Lebih menakutkan, api mulai marak di kawasan tumpahan minyak.

Tiga petugas stesen minyak itu serta-merta meluru dan berusaha memadamkan api. Mereka sedaya upaya mengeluarkan tiga lagi penumpang dari dalam kereta, sambil seorang kakitangan stesen minyak bertindak pantas menghubungi talian kecemasan 911.

Tidak sampai lima minit, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan dua buah jentera tiba. Disusuli anggota polis serta dua buah ambulans.

Laluan masuk ke stesen minyak itu ditutup dan aliran trafik di jalan utama berhadapan lokasi kemalangan dikawal sepenuhnya anggota polis. Operasi menyelamat mula diperhebatkan.

Tidak lama kemudian, pemandu kereta yang tersepit berjaya dikeluarkan. Sementara kebakaran akibat tumpahan minyak berjaya dikawal sepenuhnya.

Pemandu kereta dan lori tangki yang parah kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Situasi cemas yang berakhir kira-kira pukul 10 pagi itu, bagaimanapun bukanlah insiden sebenar. Ia sekadar simulasi kemalangan yang dilaksanakan pada Program Latihan Kecemasan dan Kemalangan 'Ops Sotong Bakar', anjuran Petronas Dagangan Berhad (PDB) baru-baru ini.


SIMULASI kebakaran di stesen minyak penting sebagai latihan kepada kakitangan stesen minyak.


Diadakan di Stesen Minyak Petronas Behrang 2020, Behrang, Perak, Ops Sotong Bakar yang melibatkan lebih 70 kakitangan pelbagai agensi kerajaan di sekitar Tanjung Malim dan Slim River serta kakitangan PDB itu berjaya mencapai matlamatnya.

Menurut Pengurus Jualan dan Operasi Runcit, PDB Wilayah Utara 2, Mohd. Aaznan Darus, objektif utama latihan kecemasan adalah untuk meningkatkan pengetahuan pengusaha-pengusaha stesen minyak mengenai langkah yang wajar diambil dalam menangani sebarang kemungkinan situasi kecemasan.

"Kita mahu semua bersedia berhadapan dengan insiden kemalangan. Simulasi ini juga dilaksanakan untuk menguji kecekapan dan mempertingkatkan tahap kesiagaan kakitangan sesebuah stesen minyak," katanya kepada Kosmo!.

Ujarnya, latihan seumpama itu merupakan pertama kali diadakan di Perak. Ia secara tidak langsung meningkatkan persefahaman di kalangan pengusaha stesen minyak dengan agensi-agensi penyelamat.

Ops Sotong Bakar melibatkan penyertaan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim dan Slim River, Hospital Slim River serta Majlis Daerah Tanjung Malim.

Usaha PDB Wilayah Utara 2 dalam melaksanakan latihan nyata mendapat perhatian Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Penolong Kanan Penguasa Zainud-din Abu.

Sambil memuji langkah yang diambil PDB, Zainud-din turut menggesa semua pengusaha stesen minyak mengambil inisiatif sama.


ANGGOTA Bomba berusaha memadamkan kebakaran di stesen minyak Petronas Behrang, Perak.


Beliau turut menyarankan latihan dilakukan sekurang-kurang sekali dalam tempoh dua tahun sebagai persediaan menghadapi sebarang bentuk insiden tidak diingini.

"Tidak ramai pengusaha dan pemilik stesen minyak sedar bahawa latihan seperti ini akan menambah pengetahuan mereka sewaktu berdepan dengan bencana dan kemalangan.

"Malah, kami percaya pelaksanaan latihan kecemasan dan kemalangan di stesen-stesen minyak pastinya meningkatkan keyakinan pengguna," katanya selepas menyaksikan latihan tersebut.

Ops Sotong Bakar juga membuktikan pihak penyelamat berjaya mengkoordinasikan tugas dan peranan masing-masing dengan lebih efektif, sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Situasi kemalangan disebabkan tumpahan minyak sebuah lori tangki berjaya ditangani tidak sampai 30 minit. Saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak.

"Saya juga yakin latihan ini banyak memberi pengetahuan baru kepada pengusaha dan kakitangan, khususnya stesen minyak ini," katanya.

Hadir sama pada sesi latihan itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Mohd. Ali Nayan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: