Thursday, August 6, 2009

Penangan SpongeBob!




Watak kartun berwarna kuning menyerupai span dan berseluar kotak cetus kegilaan dunia

ARE You Ready Kids? dan I Can’t Hear You - dua perkataan ini cukup popular di kalangan kanak-kanak. Kalau ditanya, dengan pantas mereka akan menyebut nama makhluk warna kuning menyerupai span dan berseluar kotak, siapa lagi kalau bukan SpongeBob.

Karakter lurus yang membawa fenomena baru kepada dunia animasi ini tidak hanya diminati si kecil, tetapi karakter yang sudah berusia sedekad pada 19 Julai yang lalu itu turut diminati golongan dewasa. Fenomena SpongeBob bertebaran di seluruh dunia, di Malaysia sendiri bukan sebuah stesen televisyen yang menyiarkan siri kartun ini tetapi beberapa buah saluran lain turut berlumba-lumba menyiarkan siri ini.

Malah mereka yang meminatinya juga bukan calang-calang orang. SpongeBob SquarePants turut mempengaruhi dan menjadi pilihan pemimpin dan selebriti antarabangsa. Siri kartun yang dicipta oleh Stephen Hillenburg, graduan dalam bidang Sains Marin dari Humboldt State University (HSU) ini turut diminati Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Ketika ditanya mengenai karakter TV kegemarannya, Presiden ke-44 AS itu memilih SpongeBob SquarePants kerana katanya siri kartun itu menjadi kegemaran dua anak perempuannya, Natasha, 8, dan Malia Ann, 11. Bayangkan waktu senggang keluarga ini adalah menonton SpongeBob.

Selain Obama, pereka fesyen terkemuka, Marc Jacobs; personaliti sukan Serena William; Craig Ferguson, Will Ferrell, Jon Stewart, Jessica Alba, Rob Lowe dan ramai lagi turut terkesan dengan fenomena karakter kuning ini. Malah, populariti dan keunikan jalan ceritanya melayakkan siri kartun ini menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan.



Bagaimanapun, penciptanya tidak menyangka SpongeBob SquarePants mampu melangkah sejauh ini kerana Hilllenburg menyangka siri kartun itu tidak akan menjadi ikutan. Selepas satu musim bersiaran, dia dapat merasakan siri kartun itu tidak akan lagi menjadi pilihan stesen televisyen.

Berkongsi cerita bagaimana siri kartun itu boleh terhasil, Hillenburg mendedahkan idea itu timbul ketika dia terbabit dalam animasi Rocko’s Modern Life untuk saluran Nickelodean.

“Apabila mula memikirkan untuk menghasilkan sebuah animasi, saya bertanya kepada diri sendiri, animasi bagaimana yang saya mahu. Saya inginkan sesuatu yang unik, sesuatu mengenai dasar laut dan berbeza. Yang terlintas di fikiran saya ketika itu haiwan pelik tidak bertulang dan ketika itu muncul imej span di fikiran saya.

“Lagipun sekitar 90-an, siri animasi begitu diminati. Ketika itu kartun The Simpsons dan The Ren & Stimpy Show cukup popular. Saya pula amat beruntung ketika itu kerana diupah untuk menulis dan mengarahkan Rocko’s Modern Life. Apabila siri animasi arahan saya hampir berakhir sekitar 1995 hingga 1996, saya terfikir kenapa tidak binatang dasar laut yang tidak begitu dikenali.

HILLENBURG yang mencipta karakter SpongeBob.

“Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk menjadi seorang pereka dan artis, bagaimanapun selepas tamat pengajian di HSU saya tercampak di Institut Ocean menjadi pengajar dan staf artis. Institut itu menawarkan pelbagai program mengenai laut, dari pengalaman bekerja di situ saya menghasilkan komik berkaitan laut yang kemudiannya memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan siri SpongeBob,” katanya yang menghasilkan karakter kartun dalam siri itu mengikut pengamatan sekelilingnya.

Setiap watak dalam siri kartunnya itu menggambarkan karakter sebenar manusia terutama mereka yang pernah ditemui atau dikenali Haillenburg. SpongeBob kata pengarah itu membawakan watak seorang yang lurus, rakannya Patrick pula seorang yang bodoh tetapi kelakar dan Mr Krab pula seorang yang tamak.

Hillenburg tidak berniat untuk mengaibkan rakan-rakannya atau sengaja mendedahkan sikap negatif mereka tetapi ia dibuat bagi menambahkan perasa kepada cerita yang ingin dipaparkan pada setiap siri. Dia juga tidak suka mengetengahkan topik tertentu dalam setiap siri kerana skrip siri kartun itu terhasil secara spontan ketika proses menghasilkan papan cerita. Bagi menimbulkan mood jenaka katanya, dia sengaja tidak memaparkan kebijaksanaan karakter dalam siri berkenaan sebaliknya menonjolkan kebodohan mereka.

Bagaimanapun kata Hillenburg, kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa kehadiran tenaga kerjanya yang menjadi penyumbang kepada kejayaan siri animasi ini hingga menjadi fenomena di seluruh dunia dan bukan kejayaannya seorang.

“Seorang juru mudi tidak akan berjaya tanpa krunya. Dua orang penting yang banyak membantu saya dan menjadi penyumbang kepada kejayaan siri ini adalah Derek Drymon dan Nick Jennings. Mereka inilah yang membantu saya mengembangkan animasi ini dan menggerakkannya. Ketika kami memulakan siri ini, kami mengambil kru yang tidak berpengalaman yang langsung kami tidak uji sejauh mana kebolehan mereka dari artis hinggalah krew produksi.

“Walaupun tidak memiliki pengalaman tetapi mereka bagus dan berbakat seperti pelukis untuk siri kartun ini. Mereka bukan saja pelukis yang baik tetapi penuh dengan imaginasi dan kelakar. Ketika mula-mula menghasilkan siri ini dulu, kami sentiasa berharap SpongeBob akan diterima kerana ideanya baru dan berbeza. Namun kami tidak pernah merancang untuk menghasilkan siri yang panjang seperti sekarang, pada mulanya saya hanya mahu menampilkan kisah yang pendek dan ringkas.

“Selepas tiga musim, siri ini menjadi kegemaran ramai dan ia memberi satu cabaran baru buat saya dan pasukan kerana kami perlu memerah otak untuk menghasilkan cerita yang lebih menari. Tanpa pasukan yang bagus seperti mereka ini, saya tidak mampu ke mana-mana. Mereka inilah sebenarnya yang menyumbang kepada kejayaan yang kami kecapi ini selain diri saya sendiri,” katanya yang tidak pernah merindui kerjaya sebagai pengajar tetapi lebih selesa dengan tugas sebagai pereka animasi.

INFO: SpongeBob

  • Watak SpongeBob menggunakan suara Tom Kenny. Tom pernah bekerja dengan pencipta animasi ini dalam siri kartun Rocko’s Modern Life. Suara SpongeBob dihasilkan dengan meniru suara bunian Santa Claus ketika berjalan-jalan di sebuah pusat membeli belah.

  • Hillenburg menyedari SpongeBob menjadi fenomena dan diminati ketika berada di Sumatera. Ketika itu dia terlihat seorang kanak-kanak perempuan menjinjing beg sekolah yang terpampang gambar karakter ciptaannya.

  • Teknik yang digunakan untuk menghasilkan animasi ini adalah lukisan tangan klasik menggunakan teknik 2D. Nickelodean bekerjasama dengan sebuah studio di Korea, Rough Draft. Kerjasama itu terjalin sejak Hillenburg bersama-sama dengan animasi Rocko’s Modern Life.

  • Menggunakan muzik Hawaii sekitar tahun 1960. Muzik biasanya terhasil sebelum skrip animasi ini dihasilkan lagi. Mereka yang menyumbang lagu kepada animasi ini adalah artis yang mempunyai anak dan peminat kepada siri kartun ini.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: