BERBEZA personaliti dan suara, namun muzik jazz menyatukan Noryn dan Atilia di pentas Istana Budaya. |
Noryn, Atilia gembira Malam Nada Biru di Istana Budaya minggu lalu berlangsung dengan jaya
BERBAUR rasa selepas semuanya selesai. Debaran selama menanti berakhir sudah dan Malam Nada Biru yang berlangsung dua malam di Lambang Sari, Istana Budaya merealisasikan impian besar dua penyanyi yang mengangkat jalur jazz sebagai teras persembahan.
Noryn Aziz dan Atilia Haron membawa dua personaliti berbeza, namun jalur jazz menyatukan perbezaan jiwa mereka lalu persefahaman diluahkan lewat nada indah yang mengalir bertenaga dalam dua siri persembahan itu.
Akui Noryn, segala yang dipamerkan di pentas adalah gambaran jiwa mereka yang mengharapkan muzik diperjuangkan diterima khalayak.
Luah Noryn yang pernah melahirkan album, Alam Maya, penyanyi jazz seperti mereka memerlukan sokongan serta ruang untuk mempamerkan kekuatan bakat.
Bagaimanapun, kesempatan seperti itu hanya terhad di pentas kecil atau kelab yang cenderung mempromosikan irama itu.
Lebih menyulitkan apabila muzik yang dibawakan tidak diberi sokongan sepenuhnya oleh stesen radio komersial, membuatkan mereka terkapar mencari haluan.
“Lalu kami perlu mencari alternatif untuk merealisasikan segala impian di hati. Alhamdulillah, Lambang Sari menjadi titik yang menggerakkan semua impian itu.
“Sebagai permulaan, pentas ini sudah memadai dan kami berusaha keras memastikan siri Malam Nada Biru akan diperluaskan pada tahun depan.
“Usaha itu penting untuk membawa lebih ramai penyanyi hebat tempatan tampil dan mempamerkan kemampuan mereka yang mungkin sebelum ini berdepan pelbagai kekangan,” kata Noryn.
Pandangan sama turut diluahkan Atilia yang berbangga melihat keterbukaan pendengar tempatan menerima kepelbagaian genre muzik di pasaran ketika ini.
Namun katanya, keterbukaan pendengar harus disokong dengan mengetengahkan penyanyi bukan komersial seperti mereka di pentas sewajarnya.
Akur akan pilihan lokasi untuk menzahirkan keinginan itu terhad jika mengharapkan pihak lain, Atilia dan Noryn sedia berkongsi segala susah dan senang.
Wang hasil persembahan pentas dikumpul untuk merealisasikan sebuah hasrat besar dengan menganjurkan Malam Nada Biru.
Menceritakan keperitan mereka, Atilia berkata, mereka agak terkilan apabila beberapa pihak yang ditemui enggan menaja persembahan itu tetapi apa daya untuk menepis semua kekalutan itu.
Lalu kekuatan yang ada dikumpulkan dan bersatu hati, mereka berdikit-dikit mengumpul bajet untuk merealisasikan Malam Nada Biru.
“Kami mengeluarkan belanja mencecah RM40,000 untuk merealisasikan semua ini. Memang sedih tiada pihak menyokong apabila usul ini dibentangkan tetapi lebih baik begini.
“Besar harapan kami untuk melihat Malam Nada Biru berkembang dengan membawakan lebih ramai penyanyi berbakat beraksi di pentas seperti ini,” kata Atilia.
Mereka bernasib baik kerana kesulitan lalu memperkenalkan dua wanita ini kepada ramai pemuzik hebat dan berbakat.
Menyifatkan malam itu sebagai ‘projek kawan-kawan’, Atilia dan Noryn bertuah apabila dibantu Mujik Majik yang menampilkan pemuzik berkarisma seperti Jamie Wilson (gitar), Zailan Razak (bass), Lewis Pragasam (dram), Steve Thornton (perkusi) serta Tok Khon dan Sze Wan (keyboard).
Eric Lee yang turut bermain keyboard bertindak sebagai pengarah muzik.
Sambung Atilia, Malam Nada Biru juga menjadi perlambangan kepada segala usaha serta kerja keras mereka membina nama di pentas profesional.
“Biasanya jika membuat persembahan di kelab, tetamu kurang menumpukan perhatian kepada nyanyian kami kerana leka menikmati sajian.
“Tetapi untuk persembahan ini, ia menyuntik suasana yang sangat berbeza. Semua yang datang memberi tumpuan kepada nyanyian kami dan lebih mengujakan setiap lagu dibawa dipetik daripada album kami berdua.
“Itu yang memberi kami kepuasan apabila Malam Nada Biru menjadi kenyataan,” katanya berterima kasih kepada Istana Budaya yang membuka ruang dengan menyediakan lokasi alternatif untuk persembahan genre jazz.
Tambah Noryn, persembahan itu juga secara tidak langsung mendesak mereka untuk mempamerkan dinamik dalam nyanyian tanpa sebarang kekangan.
“Saya senang dengan suasana persembahan seperti ini. Ia membawa kami lebih dekat kepada peminat dan pada masa sama, kami bebas beraksi tanpa terlalu memikirkan perkara lain.
“Mungkin itu yang membuatkan kami lebih berani untuk meluahkan ekspresi muzik dan perkara itu sangat mengujakan,” katanya.
Bakal diterbitkan dalam format cakera padat digital (DVD) dan album, Atilia membawakan himpunan lagu dipetik daripada album perdananya, Sangkar antaranya Selalu Denganmu, Salah Sangka, Ranjau dan Sangkar.
Kesempatan itu turut dimanfaatkan dengan memperkenalkan lagu terbarunya seperti Indah, Old Love, Leka serta rakaman semula lagu popular ibunya, Gelombang. Kesemua lagu itu bakal dimuatkan dalam album keduanya, Indah yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.
Noryn yang tampil pada set kedua dengan gaun hitam sontok sarat perincian rekaan Sonny San membawakan Alam Maya, Make It On My Own, Kembalikan, Lara dan Cerita Cinta.
Dua lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album solonya yang sedang dalam pembikinan, I’m Alright dan Bila-Bila Saja turut dipersembahkannya pada malam itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: