PESERTA sedang mendengar pengumuman. |
Tiada penyingkiran kerana masalah kesihatan pengarah itu ganggu fokus
SAMA seperti program realiti yang lain, Pentas Pilih Kasih yang berlangsung malam Sabtu lalu melabuhkan tirainya tanpa sebarang penyingkiran.
Keputusan yang dilakukan Rosyam Nor itu mengejutkan penonton sebaik mengumumkan tiga peserta yang mendapat undian terendah. Namun dari perspekstif lain, keputusan penerbit dan pengarah itu memberi peluang kedua buat tiga peserta yang bakal tersingkir malam itu.
Iqbal Mazlan yang sudah kali kedua dipanggil ke tengah pentas hanya mendapat 4.13 peratus berbanding peserta kontroversi yang sudah kali keenam berada di kedudukan tidak selamat, Zulin Aziz yang sekali lagi menjadi mangsa penjurian penonton apabila hanya meraih 5.24 peratus. Manakala peserta dari Ipoh, Emily Hanif mendapat 5.27 peratus.
Mereka masing-masing menarik nafas lega sebaik Rosyam mengumumkan keputusannya. Keputusan Rosyam tidak menyingkirkan mana-mana peserta pada minggu lalu disebabkan masalah kesihatan yang mengganggu fokusnya untuk membuat penilaian.
Kecederaan serius pada tulang bahu kiri yang dialami aktor berusia 43 tahun ini telah memaksanya untuk melakukan pembedahan Khamis lalu di KL Sports Medicine Centre. Malah sebelum Pentas Pilih Kasih memulakan gelanggangnya, rakaman video pembedahan yang dilakukan turut ditayangkan kepada penonton.
| ROSYAM tetap hadir meskipun baru selesai pembedahan di bahu. |
Alasan gagal memberi fokus sepenuhnya mendorong Rosyam untuk membuat keputusan yang dilihat adil dan lebih profesional.
"Saya sebetulnya tidak dapat memberi tumpuan yang penuh serta fokus yang lebih kerana sepanjang program berlangsung, sakit pada bahu saya masih serius dan kuat.
"Jadi saya gagal menilai mereka dengan baik kerana sibuk menahan sakit sepanjang program. Bayangkanlah saya sebenarnya hanya sibuk mencari posisi yang betul untuk menyandarkan bahu ketika duduk kerana sakit selepas pembedahan masih saya rasa.
"Jadi dengan tidak menyingkirkan sesiapa pada minggu ini saya rasa adil daripada membuat keputusan membuang peserta sedangkan saya sendiri sebenarnya tidak fokus pada bakat serta persembahan mereka," katanya.
Rosyam bagaimanapun menafikan sebarang spekulasi yang wujud kononnya tindakannya dengan membatalkan proses penyingkiran seolah-olah membelakangkan keputusan penonton.
"Tidak wujud soal saya membelakangkan keputusan mereka kerana undian pada minggu ini akan terus dibawa untuk minggu seterusnya cuma saya tidak melakukan proses penyingkiran saja.
"Mungkin ada sebahagian penonton yang merasakan mereka sudah berhempas-pulas mengundi peserta kegemaran mereka dan akhirnya tiada sebarang penyingkiran dilakukan. Tapi ingin saya ingatkan bahawa pada minggu hadapan, dua peserta sekali gus akan saya singkirkan daripada meneruskan perjuangan ke pentas akhir.
"Jadi bagi penyokong yang telah menghantarkan undian menyelamatkan peserta pilihan mereka minggu lalu, usaha untuk terus mengekalkan peserta pilihan itu tidak terhenti di situ sebaliknya peratusan undian akan diteruskan ke minggu ini," katanya lagi.
Menurut salah seorang penerbit Pilih Kasih yang berpengalaman, Adi Shamsul, keputusan Rosyam itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi elemen gimik yang selama ini disuntik bagi program berkonsep realiti.
Namun, alasan Rosyam yang tidak dapat memberi tumpuan penuh ketika melakukan penilaian adalah sebab utama yang menjurus kepada tiada penyingkiran pada minggu ini.
"Gimik adalah sesuatu yang kita rancang sejak awal ataupun pihak penerbitan mengetahui agenda itu sebaliknya keputusan Rosyam ini hanya dia saja yang tahu dan saya sendiri selaku penerbit bersama merasa terkejut.
"Tapi apa yang berlaku adalah sesuatu yang normal dalam penerbitan sesebuah program bercorak realiti," katanya yang pernah menerbitkan program Akademi Fantasia musim pertama hingga keempat.
Sementara itu, tema hindustan yang diangkat sebagai tajuk teater muzikal arahan Erma Fatima itu bagaimanapun tetap mendapat pujian ramai termasuk pengkritik jemputan, Ahmad Idham.
Bollywood Vs Malawood adalah satu simbolik untuk menceritakan perihal cinta tiga segi yang mengharapkan sebuah pengorbanan.
Menurut Idham, teater muzikal ini cukup menghiburkan dan lakonan peserta dapat dilihat secara terperinci dan jelas.
"Kesungguhan dan usaha peserta perlu diberi pujian kerana waktu yang diberi untuk mereka menghafal skrip, memahami pergerakan serta tarian sangat terhad. Namun, persembahan mereka masih dilihat baik dan lengkap.
"Selain itu, keseimbangan pada watak setiap peserta juga sempurna dan tiada yang hanya berdiri diam dan satu lagi menonjol. Watak utama dalam teater ini juga baik dan lakonan bersahaja juga sudah sedia berdepan dengan dunia realiti di luar sana.
"Cuma penghayatan watak peserta kurang menonjol dalam segmen monolog dan kadang-kadang nampak serabut. Tapi saya rasa itu disebabkan slanga india yang dikehendaki skrip membuatkan mereka tidak selesa dan sedia," katanya yang teruja dengan persembahan peserta menerusi drama pendek bersiri arahan Amy Maziah dan Along Kamaluddin.
Pada minggu ke-10 ini, Pentas Pilih kasih akan mengubah formatnya kepada dua penyingkiran dari lima peserta yang mendapat undian terendah. Selain itu, hari siarannya juga ditukar ke Ahad berikutan majlis Festival Filem Malaysia yang akan berlangsung pada hari Sabtu disiarkan secara langsung di TV2.
Jangan lupa menyaksikan minggu ke-10, Pentas Pilih Kasih pada hari Ahad, jam 8.30 malam secara langsung di TV2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: