Wednesday, August 5, 2009

'Pelakon baru mengada-ngada'


TAHUN ini sudah kali ke-22 Festival Filem Malaysia (FFM22) yang mengiktiraf hasil kerja karyawan industri filem dengan gelaran terbaik dianjurkan.
Dalam tempoh itu, ramai insan dan penggiat seni tanah air diakui bakat dan karya mereka.

Apapun, bagaikan satu kejutan pada FFM22 tahun ini apabila malam kemuncaknya di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 8 Ogos ini menyaksikan barisan pelakon muda mendominasi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Daripada senarai top 5 untuk Pelakon Wanita Terbaik yang diumumkan Jumaat lalu, membariskan Sharifah Amani menerusi Sayang U Can Dance, Heliza Helmi (Syurga Cinta), Liyana Jasmay (Papadom), Nabila Huda (Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Nadia Mustafar (Jangan Tegur).

Amani pernah menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi Gubra arahan Yasmin Ahmad pada FFM19, tetapi ketika itu Amani dicabar pelakon berpengalaman seperti Eja, Fazura, Erra Fazira dan Maya Karin.

Apabila bintang baru mendominasi pencalonan yang dianggap paling menjadi tumpuan itu, dari satu sudut ia dianggap positif kerana industri filem kini mempunyai barisan pelapis.

Dari satu sudut lain, mana perginya bintang terkenal seperti Erra Fazira, Ida Nerina, Nasha Aziz, Vanidah Imran, Amy Mastura dan Fazura?

Apakah faktor usia menyebabkan mereka kini tidak lagi mendapat tempat untuk memegang watak besar atau utama seterusnya layak dipertandingkan bagi kategori itu? Apakah ini masa yang sesuai untuk bakat baru mendapat pengiktirafan besar dengan ketiadaan nama-nama besar itu?

Ikuti temuramah wartawan Harian Metro (HM), Norhayati Nordin (yati@hmetro.com.my) dengan pelakon dan pengarah filem terkenal, Erma Fatima, 41, berhubung pandangannya mengenai industri perfileman tanah air serta pelakon baru yang mula mencipta nama.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmat pernah menang Pelakon Wanita Terbaik sebanyak dua kali menerusi Hati Bukan Kristal (FFM9) pada 1991 dan Bintang Malam (FFM10) manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik juga dua kali menerusi Puteri (1987).

Aapabila usia semakin meningkat, Erma kini lebih lebih banyak bekerja di belakang tabir sebagai pengarah antaranya filem Perempuan Melayu Terakhir dan Embun.

SOALAN (S): Bagaimana anda melihat perkembangan industri perfileman tanah air sekarang?JAWAPAN (J): Saya lihat keadaannya macam suram saja. Tidak banyak pengarah menghasilkan filem seperti dua tahun lalu.


Kalau dulu, mungkin sebulan sekali masyarakat boleh menonton filem baru karya pembikin tempatan ditayangkan di pawagam tanah air.

Sekarang ini saya dapati ia semakin berkurangan. Filem baru karya tempatan tidak banyak ditayangkan dan situasi itu perlu diperbaiki. Tambahan pula, kerajaan ada menyediakan peruntukan untuk buat filem, jadi gunakanlah ia sebaik-baiknya.

S: Sebagai pelakon yang pernah menang dua kali anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM, apa komen Erma apabila tahun ini kategori itu didominasi pelakon baru.

J:
Bagus. Ia menunjukkan pelakon baru tanah air kini ada peningkatan yang baik. Prestasi lakonan ditonjolkan semakin berkesan dan ia perkara baik untuk industri. Tidaklah sekadar dianggap penyeri yang memeriahkan persada hiburan semata-mata.

Bahkan, ia juga mampu memberi persaingan kepada pelakon sedia ada yang sudah mencipta nama. Secara tidak langsung menunjukkan sesiapa saja mampu membawa saingan dalam industri ini. Apa yang pasti, buat yang terbaik untuk lebih maju.

S: Daripada senarai top 5 untuk Pelakon Wanita Terbaik itu, siapa yang anda rasa berpeluang menang Sabtu ini?

J:
Saya ramalkan Nabila kerana lakonannya sebagai gadis bohsia cukup menyerlah. Wataknya juga mencabar tapi pelakon lain juga bagus. Apapun kita tunggulah siapa yang menjadi pilihan juri nanti.

S: Apakah sudah tiba masanya industri perfileman tempatan diungguli generasi baru?

J:
Bukan diungguli, tetapi sudah tiba masanya industri memerlukan orang baru untuk terus digilap bakat seni mereka.

Ia bagi memastikan sumbangan pada industri berterusan. Sampai bila mahu berharap dengan pelakon sedia ada saja hingga balik-balik muka sama memegang watak utama.

Dalam soal ini, tidak selamanya pelakon yang sudah ada nama itu sentiasa berada di atas. Sampai masa, akan ke bawah juga dan ketika itu sememangnya kemunculan pelakon baru diperlukan industri. Jadi, apa yang berlaku sekarang adalah persaingan sihat.

S: Sekarang ini, sudah ada pula program realiti TV mencari pelakon, pendapat anda?

J:
Bagus, tetapi program ini masih baru. Banyak yang perlu di kemas kini lagi. Cuma, apabila pencarian itu dimuatkan dengan pemilihan secara khidmat pesanan ringkas (SMS), maka pastinya penonton akan menghantar undian kepada peserta diminati saja.

Jadi, secara tidak langsung kualiti yang dicari pihak produksi tidak sama. Bagaimanapun, mereka yang dipilih penonton itu masih boleh diberi peluang untuk bergelar pelakon. Tetapi, sama ada untuk menjadi terbaik, sukar untuk diperkatakan.

S: Dari dulu hingga sekarang, apa yang anda lihat masih kurang lagi dalam industri filem kita?

J:
Terus terang, saya katakan industri filem tempatan masih kurang dari segi idea. Bahkan, penggiat seni dan pembikin filem tanah air juga kekurangan skrip dan jalan cerita yang bagus. Justeru, sukar untuk mereka menghasilkan karya terbaik.

Saya juga dapati, kita dalam industri ini sangat kekurangan skrip yang mempunyai tema utama untuk sesuatu filem. Malah, kita tidak banyak skrip yang menarik dan ia seharusnya diperbaiki. Jika tidak, selamanya industri kita akan berada pada takuk lama.

S: Bagi mendapatkan pelakon terbaik, apa kriteria diperlukan?

J:
Pada pendapat saya, sekiranya seseorang pelakon itu berjaya membawakan wataknya dengan baik, bertanggungjawab pada karakter berkenaan, ia boleh dikatakan antara kriteria yang dicari untuk menjadi pelakon terbaik.

Tidak terkecuali, mampu menyampaikan mesej cerita menerusi lakonan mantapnya dan memiliki ketahanan fizikal serta kekuatan mental yang membolehkan mereka melakonkan apa saja watak diberi dengan baik, berkesan dan memberi kepuasan.

S: Kini terlalu ramai pendatang baru, apakah lebih baik untuk industri?

J:
Memanglah tidak dinafikan jumlah pelakon baru sekarang cukup banyak, tetapi tidak semestinya mereka bagus. Pada saya, tetap yakin dalam bilangan yang ramai itu pasti ada terselit beberapa individu berbakat dan perlu diberi perhatian.

Selain itu, yang bagusnya juga kehadiran mereka ini (pelakon baru) memeriahkan lagi industri seni tanah air dengan pelbagai ragam. Malah, bagi saya mereka tetap boleh berlakon, tetapi untuk menjadi terbaik tidaklah semua dan hanya segelintir saja.

S: Apakah kelemahan yang anda lihat di kalangan pelakon muda sekarang?

J:
Saya melihat kebanyakan pelakon muda kini lebih gemar mengambil jalan pintas untuk cepat popular. Malas untuk memperbaiki kelemahan diri berbanding pelakon berpengalaman seperti Ida Nerina kerana cukup bersedia apabila hendak ke set penggambaran.

Selalunya, pelakon yang sudah lama ini berpengetahuan lengkap terhadap watak akan dibawa kerana lebih dulu mengkaji peranan itu. Selain itu, mereka (pelakon lama) juga pandai menjaga konti dan tahu apa sebenarnya yang diperlukan watak.

Bukan itu saja, pelakon muda sekarang juga ramai yang mengada-ngada. Saya lihat ramai antara mereka gunakan bidang hiburan ini untuk popular dan dapatkan apa saja dengan mudah. Berteman dengan orang kenamaan dan tidak jujur dalam seni.

S: Pesanan anda pada pelakon baru?

J:
Pesanan saya senang saja. Apa juga bidang diceburi, seseorang individu itu mesti ikhlas. Saya percaya dengan keikhlasan diri, apa yang dilakukan dalam hidup pasti berjaya. Selagi niat hati bersih, maka semua kejayaan itu akan datang juga akhirnya.

Biarpun industri seni ini sering dipandang hina oleh masyarakat, tetapi jika individu yang menceburinya benar-benar ikhlas, saya yakin ia pasti nampak cantik. Malah, setiap rezeki juga jadi 'halal' sekiranya melakukan sesuatu kerja itu dengan seikhlas hati.

S: Harapan anda terhadap industri filem negara?

J:
Saya cuma boleh kata, pada suatu ketika dulu industri filem dan drama tempatan pernah jatuh disebabkan suasana yang muram. Bahkan, orang Malaysia ini berhati mulia apabila membuka peluang kepada filem dan drama luar untuk tayangan panggung serta televisyen tempatan.

Jadi, saya harap jangan sampai masyarakat kita terlalu mengagungkan filem dan drama luar sehingga karya penggiat seni tanah air di anak tiri.

Sokong karya tempatan dan stesen televisyen juga janganlah terlalu sibuk menyogok masyarakat dengan filem dan drama dari luar negara untuk ditonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: