Wednesday, August 5, 2009

Haliza andartu terlampau


GELARAN andartu atau anak gadis lanjut usia mungkin agak sensitif bagi segelintir masyarakat.

Begitupun sebagai individu yang melalui pengalaman itu, pelakon dan penerbit, Haliza Misbun, 35, cuba mengangkat golongan itu ke layar perak menerusi filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami!

Perjalanan hidup Haliza akan menjadi sebahagian paparan dalam filem pertama terbitan syarikatnya, Big Production Sdn Bhd.

Sebelum ini, menerusi produksi Helle Pictures Sdn Bhd, dia cukup aktif menerbitkan beberapa program berbentuk pengembaraan selain drama.

Filem arahan Din CJ yang memulakan penggambaran sejak Sabtu lalu mengisahkan perjalanan hidup seorang andartu yang bertemu ramai lelaki dalam pencariannya memiliki seorang lelaki budiman sebagai suami.

Haliza juga memegang watak utama sebagai Nick Melati Sukma atau Nikki.

Haliza berkata, penampilannya sebagai teraju utama dalam filem itu menyingkap pengalaman hidupnya selain membuktikan dia mampu membawa watak komedi.

"Idea dan cerita filem ini adalah ilham saya sendiri namun skrip ditulis Sofia J Rhyland. Ia memaparkan kisah bertitik tolak daripada kehidupan saya sendiri.

"Pada usia sekarang, ada saja pertanyaan mengenai bila mahu mengakhiri zaman solo.

"Fenomena ini berlaku dalam masyarakat kita, biarpun ada segelintir yang agak malu untuk memperkatakan mengenainya.

"Saya sering dikaitkan dengan watak berat dan ini adalah cabaran untuk menjayakan watak komedi. Begitupun ia bukan sekadar komedi biasa atau bersifat slapstik sebaliknya komedi situasi yang relevan dengan masyarakat," katanya.

Pemenang trofi Aktres Telefilem Pilihan Juri (Schizoid) Anugerah Oskar 7 Malaysia tahun lalu ini turut merancang menerbitkan beberapa karya di layar perak.


Haliza mengakui sebahagian kisah yang dipaparkan dalam filem berkenaan adalah pengalaman pahit dan manisnya ketika menjalinkan hubungan dengan beberapa lelaki dalam hidupnya.

"Saya tidak kisah dianggap andartu. Dalam usia mencecah 35 tahun dan tidak berkahwin, sudah tentu saya dianggap anak dara tua.

"Apa yang dapat saya katakan, rezeki, jodoh, ajal dan maut semuanya ketentuan-Nya. Secara jujur, saya tak pernah membebankan fikiran mengenai calon suami," katanya.

Malah, katanya, dia bahagia dengan kehidupan dan mungkin belum bersedia sepenuhnya untuk bergelar isteri.

Bagaimanapun, tidak bersikap keterlaluan seperti andartu yang dipaparkan dalam filem berkenaan.

"Saya hanya paparkan sebahagian pengalaman dan beberapa insiden yang pernah berlaku ketika menjalin hubungan dengan lelaki, cuma untuk memperindahkan jalan cerita, kejadian dan babak lucu yang menggeletek hati turut diselitkan.

"Saya berharap filem ini akan mendapat sambutan daripada penonton. Malah, saya berazam menghasilkan beberapa filem pada masa hadapan," katanya.

Turut menjayakan filem berkenaan Fahrin Ahmad, Azhar Sulaiman, Fizow Omar, Awei, Mamat Khalid, Datuk Rahim Razali, Abby Abadi dan Erra Fazira.

Dia juga mengundang 'teman tapi mesra' iaitu pelakon popular Indonesia, Ari Wibowo.

Penggambaran dijangka berlangsung sehingga penghujung Ogos ini.

1 comment:

  1. Justifikasi Seorang Artis Untuk Menghalalkan Yang Mungkar
    Khamis, 06 Mei 2010 08:56
    'Bukan niat saya nak seksi'

    BABAK Haliza Misbun tampil seksi dengan gaun mendedahkan sebahagian besar payudaranya dalam filem Andartu Terlampau...21 hari Mencari Suami!, bakal mencetuskan kontroversi. Apakah Haliza yang juga penerbit filem ini sengaja paparkan babak itu untuk melariskan filem itu?

    Maklumlah, ini filem sulung terbitan syarikatnya, BIG Productions Sdn Bhd dan mengeluarkan bajet yang besar, RM1.2 juta, sudah tentu mengharapkan pulangan lumayan apabila ditayangkan di pawagam pada 20 Mei nanti. Namun, Haliza menafikan perkara itu. Katanya, tiada niat untuk tampil seksi seperti itu sebaliknya ada alasan sendiri. "Sebenarnya, saya tidak dapat gambaran ketika penggambaran babak itu. Saya tidak tahu jurukamera akan shoot dari atas. Seandainya, babak itu orang kata saya seksi, terus terang, saya memang tidak sengaja melakukannya. Lembaga Penapis Filem (LPF) juga meluluskan filem ini tanpa sebarang potongan," katanya ketika ditemui selepas pratonton filem ini, baru-baru ini.

    Sumber: Harian Metro 01/05/10

    Ukuran Seksi Bukan Bergantung Pada Niat, Tetapi Syariat Islam

    Lucu mendengar dan membaca kata-kata manusia yang bergelar artis. Ketika mana mereka seksi dan tidak menutup aurat, banyak sungguh dalih dan justifikasi yang digunakan untuk menghalalkan apa yang mereka lakukan. Bagi mereka, matlamat akan menghalalkan segala cara yang mereka lakukan tidak kira samada ianya bertentangan dengan syariat Islam atau tidak. Jadi, tidak hairanlah jika Haliza Misbun sendiri berdolak dalih dan menjadikan “niat” sebagai justifikasi menghalalkan tindakannya mendedahkan sebahagian besar auratnya. LPF yang menjadi badan penapis bukanlah badan yang menggunakan kriteria yang digariskan oleh syariat Islam dalam penapisannya. Hakikatnya LPF telah meluluskan banyak filem yang tidak sejajar dengan syariat Islam jadi tidak hairanlah jika LPF juga meluluskan filem yang dilakonkan oleh Haliza Misbun ini.

    Situasi seperti ini tidaklah menghairankan kerana umat Islam sekarang sudah dipengaruhi oleh pemahaman liberal dan sekular. Sistem kapitalis yang dijalankan pula tidaklah membantu dalam mengembalikan Islam dalam kehidupan malah menggalakkan lagi maksiat. Artis oh artis… bilakah kalian akan insaf dan bertaubat di atas apa yang kalian lakukan!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: