Wednesday, August 5, 2009

Sudah dilamar...Serina Redzuawa


PENGALAMAN pahit dua kali putus cinta sebelum ini menjadikan pelakon Serina Redzuawan seolah-olah fobia untuk menjalinkan hubungan intim dengan mana-mana lelaki.

Malah, kata anak tukang masak terkenal Chef Wan ini, dia juga tidak terfikir untuk bercinta lagi dalam tempoh terdekat ini kerana bimbang ia akan putus di tengah jalan sama seperti hubungan terdahulu.

"Sebenarnya selepas putus cinta dengan pelakon Allahyarham Hani Mohsin dulu, saya juga menjalinkan hubungan yang serius dengan seorang jejaka Melayu yang bertugas sebagai jurutera selama dua tahun.

"Apabila si dia balik dari Amerika Syarikat, saya terus berjumpa dengannya dan bertanya sama ada dia bersedia untuk mengakhiri hubungan kami dengan perkahwinan, tetapi si dia memberitahu saya dia belum bersedia.

"Buat apa saya nak tunggu dia lagi kerana saya memang sudah lama bersedia untuk berkahwin dan ramai rakan sebaya juga sudahpun berumah tangga. Justeru, saya terus mengambil keputusan memutuskan hubungan itu," katanya.

Namun, pertemuan dengan jejaka Inggeris, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33, yang juga Pengarah Urusan Football Focus Sdn Bhd setahun yang lalu ternyata mengubah segalanya.

"Kami bertemu di majlis hari jadi seorang rakan dan saya hanya menghubunginya seminggu selepas pertemuan itu dengan kad bisnes yang diberikan pada saya.

"Selepas berkawan selama enam bulan, Salahudin terus ingin menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan saya.

"Hati saya terbuka untuk menerima jejaka dari London itu dalam hidup saya kerana dia menunjukkan dirinya yang sebenar.

"Selain itu, kami berkongsi minat yang sama iaitu aktiviti bersukan. Dia memang suka bermain bola sepak dan saya pula memang menyukai aktiviti lasak seperti memanjat bukit, bermain badminton dan futsal," katanya.

Bagaimanapun, kata Serina, yang sibuk dengan penggambaran drama bercorak kepolisan, Akademi Polis musim ke-5 dan Roda-Roda Kuala Lumpur musim ke-3, dia berusaha meyakinkan bapanya terlebih dulu sebelum mendapat restunya untuk berkahwin.

Pada peringkat awal, papa tidak setuju saya ingin berkahwin dengan Salahudin. Saya berusaha meyakinkannya bukan semua lelaki mat salih itu tidak betul.


"Saya juga meminta papa bertemu dengan Salahudin dan selepas itu menilainya sendiri. Selepas papa bertemu dengannya, dia terus merestui hubungan kami berdua.

"Sebagai anak, sangat penting, saya mendapat restu ibu bapa sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Apa yang saya harapkan sekarang, hubungan saya dan Salahudin akan berakhir ke jenjang pelamin seperti direncanakan," katanya.

Ditanya mengenai majlis pertunangan, Serina berkata, mungkin tiada majlis pertunangan kerana Salahuddin sudahpun melamarnya dengan memberikan cincin tanda, dua bulan lalu.

"Sehari sebelum majlis akad nikah, majlis berinai kecil akan diadakan di kediaman keluarga pada malam 31 Disember. Ia disusuli dengan majlis pernikahan kami yang akan berlangsung jam 5 petang di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada tanggal 1 Januari 2010.

"Majlis resepsi pula akan berlangsung pada keesokan harinya 2 Januari 2010 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada sebelah malamnya.

"Saya akan menggayakan baju rekaan Ridz untuk majlis akad nikah dan Radzwan Radziwil untuk majlis resepsi," katanya.

Serina ditemui di sidang akhbar The 3rd Chocolate Cake Championship di Alexis Bistro, Jalan Ampang, kelmarin. Hadir sama, bapanya, Chef Wan yang juga ketua juri pada pertandingan itu dan adiknya, Chef Riz.

Sementara itu, Chef Wan berkata, majlis perkahwinan Serina akan berlangsung secara sederhana, tetapi meriah.

"Saya tidak akan buat majlis besar-besaran atau Wedding of The Year kerana tidak ingin membazir atau menunjuk-nunjuk pada orang.

"Sebenarnya, ramai pihak yang berminat untuk menaja majlis perkahwinan Serina, tetapi saya menolaknya kerana saya masih mampu mengadakan majlis kahwin untuk anak sendiri.

"Saya tidak kisah orang nak kata saya kedekut kerana bagi saya kalau ada duit yang berlebihan itu lebih baik sedekah pada golongan yang lebih memerlukan di luar sana," katanya.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail berkata, setakat ini, persiapan majlis perkahwinan Serina baru siap sebanyak 30 peratus.

"Pihak kami akan mendapatkan khidmat kawan baik, Datuk Farida Hashim yang pernah menjadi perancang majlis perkahwinan penyanyi Ning Baizura.

"Konsep majlis resepsi ialah perkahwinan dalam taman kerana Serina dan Salahudin sangat mencintai alam semula jadi.

"Saya juga tidak mengundang ramai tetamu dan hanya kira-kira seramai 650 tetamu di majlis resepsi yang membabitkan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, rakan artis dan pihak media yang rapat saja nanti.

"Tiada tetamu kenamaan, tetapi saya turut mengundang golongan anak yatim untuk sama-sama meraikan majlis perkahwinan ini.

"Hasil perbincangan kedua-dua belah pihak juga, pihak lelaki akan menyerahkan wang hantaran sebanyak RM30,000 dengan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan oleh pihak perempuan pada majlis pernikahan nanti," katanya.

Mengenai Salahudin sebagai calon menantu, Chef Wan berkata, dia menerima Salahudin sebagai menantunya kerana dia berbudi bahasa, berpelajaran dan ahli perniagaan yang dinamik.

"Sebenarnya, saya tidak kisah siapapun pilihan anak saya termasuk pemandu teksi sekalipun kerana apa yang penting dia bahagia dengan pilihannya itu.

"Apa yang penting, Salahudin juga sudah memeluk Islam lebih awal sebelum Serina berkawan dengannya," katanya.



PROFIL

NAMA PENUH: Serina Redzuawan

TARIKH LAHIR: 1 Jun 1983

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Sijil Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Sekolah Antarabangsa Legend

STATUS: Bujang

PROFESION: Pengacara dan pelakon

PENGACARAAN: Tommy & Oscar, Top Bollywood, Jalan-Jalan Cari Makan Antarabangsa, Trek Kembara, Ala Bufet, Telebriti, Mango TV dan Galaksi.

TEATER: Teater Bangsawan Tengku Anum, Bangsawan Naga Chini dan Dejavu

DRAMA: Lebih 40 drama antaranya, Astana Idaman, Cinta Sempadan, Kasih Nurlisa, Skuad Elite, Cinta Gila, Nun Di Sana Cintaku, Rita & Raihan, Amukan Puaka, Kasih Di bawah Bayu, Janji Tinggal Janji, Tak Tercapai Akalmu, Zon 606, Akademi Polis, Roda-Roda Kuala Lumpur.

FILEM: Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Potret Mistik, Tangkai Jering, Bujang Senang dan Mr Cinderella

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: