![]() |
| FERHAD bersyukur tawaran persembahan masih lagi berpihak kepadanya. |
AGAK lama juga penyanyi tinggi lampai ini tidak muncul di media membawa perkhabaran terbaru tentang perkembangan karier seninya.
Barangkali, 'kehilangan' Ferhad di persada seni tanah air membuatkan ramai yang menganggap dia tidak lagi aktif dalam bidang seni.
Sebaliknya, jelas anak kelahiran bumi Temasek ini, dia tidak pernah melupakan dunia nyanyian yang telah menjadi darah dagingnya sejak sekian lama.
Cuma senario pasaran muzik semasa sekarang ada kalanya membuat pemilik vokal lagu Pernah ini berfikir panjang untuk meneruskan perjuangannya dalam industri seni tanah air.
"Industri muzik sekarang bukan lagi seperti dulu dan kuasa membeli album sudah semakin berkurangan. Sekarang semuanya bergantung kepada teknologi dan kemunculan media baru yang mendominasi pasaran muzik semasa.
"Mahu atau tidak, saya harus tunduk dan akur dengan senario itu. Kerana itu jugalah, saya belum terfikir lagi untuk menerbitkan sebarang album terbaru," luah Ferhad sewaktu ditemui baru-baru ini.
Kali terakhir penyanyi bersuara mantap ini muncul dengan album adalah pada tahun lalu yang diberi judul Satu.
Memuatkan lagu popular Kukoo, bagaimanapun Satu tidak memberikan impak yang besar buat Ferhad seperti mana dua albumnya sebelum ini.
Malah hanya lagu Kukoo sahaja yang dimainkan di corong-corong radio manakala lagu lain bagaikan dipinggirkan biarpun Ferhad mengakui Satu merupakan produk yang berkualiti bagi dirinya.
respons yang positif
Bukan itu sahaja, dia juga berpuas hati dengan penghasilan album berkenaan dan menerima respons yang positif daripada peminatnya.
Album Satu juga dilihat tidak dipromosikan dengan sebaik-baiknya sehingga ramai yang tidak menyedari akan kehadiran album berkenaan.
"Kalau kita perhatikan, iklim muzik kita selalunya berubah dan sekarang musim lagu indie yang mendominasi corong radio tempatan. Mungkin juga disebabkan itu konsep muzik yang saya bawakan tidak begitu mendapat tempat lagi.
"Pandangan saya, apa salahnya kalau stesen radio sendiri mempelbagaikan variasi lagu dan tidaklah lagu-lagu yang dimainkan kedengaran statik sahaja.
"Di sinilah terletaknya peranan radio untuk menyokong artis-artis yang membawakan genre lain. Kita harus ingat bukan semua orang mempunyai cita rasa muzik yang sama," katanya penuh makna sambil memberitahu dia masih lagi menerima tawaran untuk persembahan makan malam golongan korporat.
Di sebalik apa yang berlaku, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk memperjuangkan muzik R&B yang telah mempopularkan dirinya selama ini.
Jelas artis naungan Beyond DDB ini lagi, dia akan muncul dengan single terbarunya yang disuntik dengan elemen muzik terkini namun masih lagi berlandaskan genre muzik yang telah menjadi identitinya.
Malah dia kini dalam perancangan untuk menerbit dan merakam sebuah album duet bersama seorang penyanyi wanita tempatan yang memiliki vokal unik.
Dalam perkembangan lain, Ferhad juga gembira apabila perniagaan dekorasi dan hiasan dalaman yang diusahakan bersama isterinya, Alyssa Mazlan sejak empat tahun lalu tetap mendapat permintaan yang cukup menggalakkan.
Bukan itu sahaja, perniagaan yang dibina atas nama Turquoise Island itu juga mengimport fabrik dan barangan hiasan rumah dari India, Indonesia, Maghribi, Perancis dan Australia.
Biarpun situasi ekonomi kini yang kurang memberangsangkan, jelas bapa kepada Idries Gilani ini, dia bersyukur kerana rezeki tetap ada untuknya menyara keluarganya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: