![]() |
| WAH Idris (kanan) dan Ramlan Osman serius menyatakan peri pentingnya muzik dalam membantu kepimpinan pada sidang media di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini. |
UNTUK mempertingkatkan lagi mutu kepimpinan dalam apa juga bidang dan organisasi, banyak faktor yang boleh memainkan peranan tersebut antaranya termasuklah dengan menggunakan bidang muzik.
Bunyinya mungkin sedikit janggal, tetapi percayalah muzik banyak mempengaruhi emosi dan produktiviti seseorang agar sesuatu daya kepimpinan yang dimiliki itu boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Menurut komposer Datuk Wah Idris, ramai yang kurang menyedari bahawa minat dan latar belakang dalam muzik pada diri seseorang itu mampu memacu daya kepimpinan sama ada ia untuk keperluan diri sendiri ataupun dalam sektor yang lebih besar.
Cuma jelasnya, bagaimana muzik boleh digerakkan ke arah mencapai matlamat itu memerlukan pendedahan dan kupasan yang lebih mendalam daripada golongan profesional dalam bidang tersebut.
"Untuk mengupas subjek itu, kami akan menganjurkan Bengkel Kepimpinan Melalui Muzik yang bakal diadakan di PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Putrajaya) pada 11 Ogos ini mulai pukul 9 pagi.
"Banyak rahsia dan kelebihan yang ada dalam muzik yang boleh diadaptasi dalam usaha mempertingkatkan daya kepimpinan diri seseorang, tidak kiralah dalam genre muzik apa sekalipun yang kita minati.
"Kami akan terangkan bagaimana muzik boleh membantu anda supaya lebih mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Dalam hal ini muzik boleh membantu anda," katanya pada sidang media di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Bengkel anjuran UPM Holdings itu akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 5.30 petang di mana setiap peserta akan dikenakan bayaran RM800 untuk peserta biasa dan RM400 pula untuk pelajar.
Sebagai bengkel pertama seumpama itu yang pernah dianjurkan di negara ini, pelbagai modul dan topik akan diketengahkan menerusi program ilmiah tersebut yang dikendalikan sepenuhnya oleh Wah.
Dengan pecahan sebanyak empat sesi, setiap peserta akan dipecah-pecahkan kepada beberapa kumpulan di mana daripada situlah mereka akan dikenal pasti bakat serta kecenderungan masing-masing dalam bidang muzik.
"Kita akan lihat apakah kecenderungan muzik yang peserta miliki dan daripada situlah kita akan aplikasikannya dengan kerjaya mereka. Bengel ini terbuka kepada semua orang.
"Tidak kiralah sama ada mereka itu pengurus, pengarah atau sesiapa sahaja. Ini kerana ramai pekerja peringkat atasan seperti Ketua Pegawai Eksekutif yang berbakat dan amat meminati bidang muzik. Cuma mereka tidak menjadikan bidang muzik sebagai karier mereka.
"Kita tidak mahu sia-siakan bakat mereka dalam bidang muzik di mana ia akan digunakan bagi membantu mempertingkatkan lagi mutu kerjaya mereka terutamanya dalam bidang kepimpinan," ujarnya di samping Pengurus Besar UPM Holdings, Ramlan Osman yang turut serta pada sidang akhbar itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: