![]() |
| Nikki |
HAI Nikki, saya merupakan salah seorang daripada peminat anda dan amat meminati vokal gemersik yang anda. Saya ada beberapa soalan dan sangat berharap Nikki dapat menjawabnya.
1. Bagaimana perasaan Nikki setelah bergelar isteri?
2. Apa perkembangan terbaru Nikki?
3. Bila lagi nak buat persembahan di Johor Bahru? Saya dah lama menantikan Nikki ke sini.
n Sherry Sulaiman,
Gelang Patah, Johor.
NIKKI
1. Tak sampai dua bulan Nikki bergelar isteri orang, jadi kadang-kadang tu Nikki sampai terlupa yang Nikki dah kahwin. Haha. Tapi bila teringat tu Nikki memanglah rasa gembira sangat sebab dapat bersama-sama dengan jejaka idaman Nikki, rasa bertuah sangat.
2. Sekarang ni tengah promosi album Hawa. Selain daripada buat persembahan Nikki juga merancang untuk membuat konsert mini di Sabah.
3. Nikki pun tak pasti. Sebenarnya dah beberapa kali Nikki buat persembahan kat Johor Bahru, biasanya untuk aktiviti jelajah. Sherry kenalah peka dengan promosi di radio dan suratkhabar, he he!
Kongsi pentas dengan Whitney Houston
Apa khabar Nikki? Saya harap anda sentiasa sihat dan berjaya dalam karier nyanyian. Selain itu juga saya selalu mengharapkan bintang Nikki akan lebih bersinar pada masa hadapan.
1. Sepanjang bergelar penyanyi, apakah pengalaman yang paling manis yang pernah anda kecapi?
2. Sejak mula menjadi artis, saya lihat banyak dugaan yang telah Nikki hadapi terutamanya dalam aspek pengurusan. Adakah semua itu membuatkan Nikki terkilan?
3. Bagaimana pula sekarang? Setelah ketiadaan Mr. Manager, adakah Nikki boleh bergerak untuk meneruskan hidup sebagai penyanyi?
n Malim Kundang,
Bota Kanan, Perak.
NIKKI
1. Sepanjang jadi penyanyi ini, Nikki paling teruja waktu membuat persembahan untuk Live & Loud KL 2007, sebab Whitney Houston, salah satu idola Nikki pun menyanyi atas pentas yang sama dan Nikki berpeluang menyaksikan beliau menyanyi secara live.
2. Dugaan itu sebenarnya yang mematangkan Nikki. Rakan-rakan artis saya yang lain pun menghadapi masalah yang sama, jadi tak ada la rasa terkilan. Nikki sedar yang inilah lumrah bergelar artis.
3. Adakalanya Nikki berasa sunyi. Yelah, selama empat tahun Nikki diurus oleh Vernon, dia memang seorang teman yang sangat rapat dengan Nikki. Tiba-tiba sekarang banyak perubahan yang berlaku disebabkan ketiadaannya. Tapi Nikki percaya setiap perubahan itu ada kebaikannya.
Nak rakam lagu Kadazandusun
Hello Nikki. Apa khabar? Saya sentiasa mengharapkan anda maju dalam apa juga lapangan yang anda ceburi. Saya sudah menyediakan beberapa soalan dan sangat mengharapkan Nikki dapat menjawabnya.
1. Apa yang Nikki lakukan ketika dilanda dengan gosip yang boleh meruntuhkan kerjaya anda?
2. Bagaimana Nikki mengawal situasi apabila dilanda cerita negatif?
3. Apakah impian Nikki yang masih belum tercapai?
n Adi Iswandi Ahmad,
Kuantan, Pahang.
NIKKI
1. Nikki akan berdiam diri dan teruskan kerja Nikki seperti biasa. Nikki tak kisah sangat dengan gosip sebab kalau tak benar apa yang nak ditakutkan kan.
2. Nikki cuba menghadapi apa jua situasi dengan tenang. Kalau memang salah silap Nikki sendiri, Nikki akan meminta maaf dan cuba memperbaiki.
3. Banyak sangat. Salah satu Nikki nak sangat merakamkan album dengan iringan muzik orkestra serta sebuah album dalam bahasa Kadazandusun.
Mahu buat persembahan seluruh Malaysia
Apa khabar Nikki? Saya merupakan antara peminat setia anda sejak di awal kemunculan dan sentiasa menyokong kerjaya seni anda sehingga hari ini.
1. Saya melihat album Hawa kurang mendapat sambutan tetapi pada pandangan saya album tersebut bermutu tinggi. Apa pandangan anda?
2. Bagaimana Nikki melihat industri muzik tanah air hari ini?
3. Apa perancangan Nikki untuk menaikkan album Hawa?
4. Selain daripada Audi Mok, siapakan komposer yang Nikki ingin bekerjasama dalam menghasilkan lagu?
n Peminat setia,
Petaling Jaya, Selangor.
NIKKI
1. Terima kasih banyak-banyak sebab menyokong Nikki selama ini. Nikki rasa gembira yang awak menggemari album Hawa. Nikki pun rasa sedih bila album ini kurang mendapat perhatian sebab Nikki memang curahkan segala-galanya untuk album ini. Namun ini hanyalah album Nikki yang kedua dan Nikki tak akan berputus asa dalam menghasilkan sesuatu produk yang mampu dinikmati semua.
2. Nikki merasakan yang para pendengar muzik perlu mempelbagaikan cita rasa. Barulah penggiat seni akan lebih berani buat eksperimen dalam muzik yang dihasilkan dan tak statik dalam genre atau muzik yang sama.
3. Nikki merancang untuk mengadakan beberapa pertunjukkan di beberapa lokasi di seluruh Malaysia kerana ramai juga yang tak sedar bahawa Nikki telah muncul dengan album yang kedua. Mungkin edisi terbitan semula untuk Hawa sebab ramai yang komen wajah Nikki pada kulit album itu kurang jelas. Juga sebuah konsert mini di Sabah, kampung Nikki sendiri.
4. Sudah semestinya M. Nasir.
Belajar erti kesabaran
Hai Nikki. Saya sentiasa mendoakan rumahtangga yang anda bina akan kekal sehingga akhir hayat dan saya ada beberapa soalan untuk anda.
1. Siapa idola anda dalam bidang seni?
2. Jika ada masa terluang, apa yang akan anda lakukan?
3. Bagaimana kehidupan anda setelah menjadi isteri kepada komposer Audi Mok?
n Syamsul Syamsudin,
Kangar, Perlis.
NIKKI
1. Bapa Nikki sendiri, Nicholas Palikat. Beliau dulu penyanyi untuk RTM Sabah dalam tahun 70-an dan disebabkan beliau, Nikki minat menyanyi.
2. Kalau ada masa terluang Nikki suka main permainan komputer atau bersenam.
3. Nikki banyak belajar erti kesabaran. Hahaha. Tapi kehidupan selepas berkahwin ini memang seronok sebab sentiasa ada kawan baik di rumah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: