Sunday, August 23, 2009

Hanyut epik latar kurun ke-19


U-WEI (tiga dari kanan) bersama Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom (M) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin (dua dari kanan); Duta Poland ke Malaysia, Eugeniusz Sawicki (kiri) dengan sebilangan pelakon filem Hanyut pada majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur.


GAMBARAN filem Almayer‘s Folly atau Hanyut arahan pengarah keturunan Melayu yang berpendidikan filem di New York, U-Wei Haji Saari semakin jelas kerana naskah tersebut menggunakan genre epik dan berkaitan dengan sejarah.

Lokasi sudah dikenal pasti iaitu di Sungai Jelai, Kuala Lipis Pahang dengan mewujudkan tiga atau empat perkampungan Melayu berdekatan, kaunter membayar ufti di tebing sungai, kawasan tropikal hutan dan persisiran pantai persis kurun ke-19.

Tempoh masa untuk memulakan proses pra produksi dan sesi penggambaran juga sudah disepakati iaitu dengan memilih Januari tahun depan bagi menyempurnakan impian yang diidamkan sejak 10 tahun lalu.

‘‘Jika tiada aral melintang, penggambaran filem ini berlangsung selama dua bulan setengah dan mengambil masa setahun setengah untuk menyempurnakannya. Harapnya juga tiada penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) kerana saya lebih suka kepada imej sebenar,” katanya selepas majlis pelancaran filem Hanyut baru-baru ini.

Menyentuh soal kewangan bagi pembikinan filem berkenaan yang sudah pasti menelan kos tinggi kerana ia menggunakan ramai pelakon tambahan, kostum serta penggambaran mengambil masa agak lama serta rumit, U-Wei seakan mengelak.

Baginya, dia tidak mahu terikat dengan sebarang angka yang boleh mencemarkan jiwa Hanyut walaupun sememangnya diakui sumber kewangan adalah punca filem itu tertangguh sebelum ini.

‘‘Filem epik menelan belanja yang banyak kerana ia berskala besar. Banyak yang perlu dilakukan. Menebang pokok, membina kampung, menebas rumput dan macam-macam lagi. Jadi saya memang memerlukan persediaan yang utuh bagi menghasilkan satu filem yang mantap,” jelasnya.

kisah

Hanyut adalah filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Joseph Conrad iaitu Almayer’s Folly yang diterbitkan oleh Tanah Licin Sdn. Bhd.

Ia berkisar tentang kisah Almayer, seorang pedagang Inggeris yang berdepan dengan pelbagai suka duka kehidupan di Borneo sekitar kurun ke-19.

Impiannya untuk mencari ‘gunung’ emas yang belum pasti wujud dan tercabar dengan karenah isteri, kuasa penjajah, ketua suku kaum, pedagang Arab dan cinta anak perempuannya, Nina terhadap seorang putera Melayu, Dain Maroola.

Almayer kemudian mengahwini seorang wanita tempatan berketurunan Betawi dan ketika Nina mencapai umur 10 tahun, dia dihantar bersekolah di Singapura untuk mempelajari budaya Barat.

Menggunakan tema keterasingan, wasiat, legasi dan apa sahaja yang ditinggalkan penjajah, Hanyut mampu menarik mata dunia tentang kemampuan U-Wei yang menggunakan spektrum bahasa Melayu sepenuhnya dalam filem tersebut.

‘‘Keindahan filem Melayu terletak kepada kepelbagaian bahasa yang digunakan. Sudah pasti, orang Melayu suka melaga-lagakan bahasa sehingga terserlah kecantikan bahasa itu sendiri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: