
![]() |
| Keratan Akhbar Kosmo! semalam. |
KUALA LUMPUR - Kerajaan melancarkan perang ke atas semua pihak yang menyumbang kepada masalah kekurangan gula di pasaran dengan tindakan menarik lesen serta-merta jika mereka termasuk pemborong menyorok bekalan atau bersubahat dengan penyeludup.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pihaknya tidak mahu lagi berkompromi memandangkan isu kekurangan gula tidak sepatutnya timbul.
Antara langkah yang telah diambil ialah meminta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) memperketatkan kawalan sempadan untuk menyekat stok gula dijual di negara lain.
"Kita memang serius. Sesiapa yang terlibat (menyorok atau menyeludup gula), tidak ada ampun.
"Bila kita tangkap, kita tarik lesen. Siapa yang telah menyusahkan rakyat, bagi saya dia tidak ada hak untuk merayu,'' tegasnya selepas merasmikan penutupan majlis Memperkasakan Integriti Untuk Menentang Rasuah di sini semalam.
Kosmo! dalam laporan muka depannya semalam mendedahkan kegiatan menyeludup gula berleluasa di sempadan sehingga rakyat negara ini terpaksa mendapatkan bekalan barangan subsidi itu di Pekan Golok.
Ismail Sabri berkata, pada Isnin lalu, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat bersama UPP dan KDRM dan hasilnya ketiga-tiga pihak akan bekerjasama mengelak stok gula diseludup ke luar negara.
"Kita tiada kuasa kawal sempadan, sebab itu KDRM dan UPP bersetuju untuk membantu," katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa tindakan menarik balik lesen pemborong bukan sekadar janji, malah telah dilaksanakan membabitkan pemborong di Perlis yang terlibat menyeludup bekalan ke Thailand.
Ismail Sabri juga tidak mahu orang ramai membuat pembelian panik kerana stok gula sehingga musim perayaan bulan depan mencukupi.
"Kita dah tambah stok, pada masa ini empat kilang ada lebih kurang 60,000 metrik tan dan hanya menunggu untuk dihantar ke pasaran," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: