|
|
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 September depan untuk mendengar permohonan seorang ahli perniagaan bagi kebenaran meminda kenyataan pembelaan berhubung dakwaan mengingkari penyelesaian perjanjian pampasan RM5.5 juta oleh personaliti TV3, Maria Tunku Sabri kerana gagal menunaikan janji menikahinya.
Penolong Kanan Pendaftar Rumaizah Baharom menetapkan tarikh itu selepas perkara tersebut dibawa ke kamarnya semalam.
Dalam permohonannya, Datuk Wan Johani Wan Hussin, 56, memohon kebenaran bagi meminda pembelaan untuk memberi gambaran penuh kepada mahkamah berhubung fakta-fakta sebenar tindakan itu dan juga pembelaan defendan.
Berhubung saman dalam kamar yang difailkan pada 16 Julai, Wan Johani berkata, kenyataan pembelaan itu perlu dipinda berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun lalu.
Keputusan itu menyebut bahawa defendan (Johani) wajib mengesahkan secara spesifik bahawa perjanjian itu tidak sah berikutan status wanita Islam (Maria) tersebut yang telah berkahwin semasa perjanjian dibuat.
Peruntukan di dalam Undang-undang Keluarga Islam menyatakan bahawa seorang wanita yang telah bernikah dilarang mengahwini lelaki lain.
Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun lalu membenarkan pengacara program "Jalan-Jalan Cari Makan" itu mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani dan memerintahkan kes didengar semula di Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes dan perbicaraan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: