Saturday, August 8, 2009

Miri rungkai misteri Lone Islands



SKANDAR KEYNES (kanan) kembali memainkan watak Edmund dalam The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader.

Keajaiban dunia Narnia gegar pawagam hujung tahun depan

SAYA percaya, peminat filem Narnia bersorak gembira apabila berita mengenai penggambaran filem terbaru siri itu yang sudah pun dimulakan pada 27 Julai lalu tersebar di media massa. Maklum saja, dua judul terdahulu, The Chronicles of Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe yang diterbitkan pada 2005 dan dan judul susulannya, Prince Caspian (2008) meraih perhatian begitu ramai penonton seterusnya meraih pendapatan berjumlah ASD4.2 bilion.

Filem terbaru, The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader yang muncul siri ketiga Narnia, sekali dibuat berdasarkan buku tulisan CS Lewis memulakan penggambaran utamanya di Queensland, Australia.

Kali ini, filem terbabit diterbitkan hasil kerjasama antara Twentieth Century Fox Film Corporation dan Walden Media dan sebagaimana siri terdahulu, ia masih memaparkan pengembaraan luar biasa sekumpulan perwira remaja ke dunia yang tidak pernah dijangkakan.

Kali ini, Edmund dan Lucy Pevensie, bersama-sama dengan sepupu mereka, Eustace Scrubb, mendapati diri mereka ditelan ke dalam sebuah lukisan, seterusnya ke sebuah kapal Narnia yang ajaib menuju ke penghujung dunia.

Menyertai mereka sekali lagi ialah teman diraja, Prince Caspian serta tikus wira Reepicheep. Mereka dibawa menyertai sebuah misi misteri di atas Lone Islands dan dunia yang melepasi jangkauan minda. Dalam pengembaraan yang mencabar jiwa dan raga mereka, trio itu akan berdepan dengan Dufflepud ajaib, pedagang hamba yang jahat, naga mengganas serta pelbagai makhluk yang menakjubkan.



Hanya pengembaraan ke Dunia Aslan, iaitu sebuah penjelajahan takdir dan transformasi kepada semua yang berada di atas Kapal Dawn Treader boleh menyelamatkan Narnia, serta kesemua makhluk unik yang menghuninya daripada petaka yang amat dahsyat.

Pembikin filem veteran, Michael Apted yang sebelum ini bertanggungjawab mengarahkan filem The World Is Not Enough, Gorillas in the Mist dan Coal Miner's Daughter diberikan mandat menghasilkan filem Narnia terbaru itu.

Kembali memegang watak anak-anak Pevensie ialah Georgie Henley sebagai Lucy dan Skandar Keynes sebagai Edmund. Ben Barnes pula menghidupkan semula watak Caspian. Watak Eustace akan dimainkan oleh aktor United Kingdom, Will Poulter.

Pelakon pembantu pula termasuklah beberapa bintang veteran Australia seperti Gary Sweet, Bruce Spence, Arthur Angel dan pelakon New Zealand, Shane Rangi.

ASLAN THE LION akan sekali lagi menggunakan suara pelakon Liam Neeson.

Pelakon yang akan meminjamkan suaranya untuk watak singa perkasa, Aslan, pula tentulah sekali lagi aktor hebat, Liam Neeson.

Walaupun memberikan kerusi pengarah kepada Apted, Andrew Adamson tetap kembali bersama filem terbabit sebagai seorang daripada tiga penerbit, apabila dia bersekongkol semula dengan rakannya daripada dua filem Narnia pertama, Mark Johnson dan Philip Steuer. Turut kembali memainkan tugas masing-masing ialah Penerbit Eksekutif, Perry Moore dan anak tiri Lewis, Douglas Gresham.

Lakon layar filem berkenaan dihasilkan oleh Christopher Markus & Stephen McFeely (Lion, Witch & The Wardrobe and Prince Caspian), Richard LaGravenese (The Fisher King) dan Michael Petroni (The Dangerous Lives of Altar Boys).

The Voyage of the Dawn Treader ialah buku ketiga Lewis, daripada tujuh siri Chronicles of Narnia. Siri ini diterbitkan pada 1952.

Diterbitkan antara tahun 1950-56 dan dianggap sebagai satu daripada buku klasik paling lama bertahan dan paling imaginatif, buku tulisan Lewis dijual melebihi 100,000,000 naskhah dalam lebih 50 bahasa, menjadikannya buku bersiri kedua paling banyak dijual di dunia.

Di samping novel ketiga itu, cendekiawan Oxford terbabit turut menghasilkan enam novel tambahan lain termasuk Prince Caspian (1951), The Silver Chair (1953), The Horse and His Boy (1954), The Magician's Nephew (1955), The Last Battle (1956) dan kisah yang melancarkan siri berkenaan pada 1950, The Lion, the Witch and the Wardrobe.

Produksi filem The Voyage of the Dawn Treader akan diadakan sepenuhnya di Queensland, Australia, terutama di kemudahan Studio Warner Roadshow di Gold Coast, yang menempatkan kemudahan tangki air terbesar di hemisfera selatan, elemen terpenting filem terbaru ini.

Penggambarannya dijangka tamat pada November tahun ini, diikuti proses pasca-penerbitan selama setahun, sebelum ia dapat ditayangkan pada Disember 2010.

Carta pecah panggung:

1 - The Proposal

2 - Harry Potter And The Half-Blood Prince

3 - Overheard

4 - Land Of The Lost

5 - Setem

6 - The Taking Of Pelham 123

7 - The Ghosts Of Girlfriends Past

8 - Ice Age 3: Dawn Of The Dinasours

9 - Transformers: Revenge Of The Fallen

10 - Skrip 7707

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: