Saturday, August 8, 2009

Mesti Tonton: Terapi hati, minda





Filem: The Proposal

Genre: Komedi Romantik

Pengarah: Anne Fletcher

Pelakon: Sandra Bullock, Ryan Reynolds, Mary Steenburgen, Craig T. Nelson, Betty White, Denis O'Hare, Malin Akerman, Oscar Nunez dan Aasif Mandvi.

Tayangan: Mulai 30 Julai

TIDAK syak, Sandra Bullock antara pelakon wanita Amerika Syarikat yang mampu menghidupkan sesebuah filem bercorak komedi cinta. Meskipun dia turut menjayakan filem berbentuk drama, aksi, thriller mahupun fiksyen sains, namanya bagai lebih menyerlah apabila dia muncul dalam filem cinta atau komedi romantik.



Terbaru, aktres yang mencipta nama menerusi Speed (1994) dan While You Were Sleeping (1995) itu muncul sekali lagi dalam kisah cinta selepas menyentuh hati jutaan peminat menerusi filem The Lake House bersama Keanu Reeves, tiga tahun lalu. Dua filemnya sebelum ini, Premonition (2007) dan Infamous (2007) bagai tidak meninggalkan kesan mendalam kepada karier pelakon wanita itu.

Kembali memikul tanggungjawab sebagai pelakon dalam jalur komedi, ia jelas tidak memberikan masalah kepada wanita berasal dari Arlington, Virginia ini. Dengan pengalaman kira-kira tiga dekad dalam lakonan, watak editor buku yang digeruni ramai, Margaret Tate, bukan halangan besar buatnya.

Filem ini mengisahkan bagaimana Margaret, seorang wanita berjaya di sebuah syarikat penerbitan di New York bakal dihantar pulang ke Kanada apabila dia didatangi masalah permit pekerjaan. Dalam usahanya kekal bekerja di kota itu, Margaret tiba-tiba mendapat idea menipu majikannya, mengatakan dia sudah pun bertunang dengan pembantunya, Andrew Paxton (Ryan Reynolds).

Andrew terpaksa bersetuju dengan idea bosnya kerana dia sendiri mempunyai impian untuk berjaya sebagai editor. Namun, mereka kini terpaksa meyakinkan pegawai imigresen bahawa perkahwinan yang bakal dilangsungkan nanti bukanlah bertujuan membolehkan Margaret terus kekal bekerja di Amerika Syarikat.


Bagi menjayakan rancangan itu, pasangan itu terbang ke Alaska, tempat asal Andrew dan bertemu dengan keluarga lelaki berkenaan. Di sana, Margaret diperkenalkan kepada nenek (Betty White) dan ibu bapa Andrew (Mary Steenburgen dan Craig T Nelson).

Sampai saja di Sitka, sudah tentulah wanita kota itu berasa begitu canggung, apatah lagi apabila keluarga Andrew bersedia dengan sebuah majlis yang akhirnya menjadi saat ‘terbaik’ untuk Andrew dan dirinya mengumumkan mengenai perancangan perkahwinan mereka.

Sepanjang beberapa hari menghabiskan masa di kampung halaman pembantunya, Margaret berdepan pelbagai keadaan lucu yang juga membuka mata, sehingga dia mula sedar, rancangannya untuk berkahwin dengan jejaka terbabit demi kepentingan kerjayanya mungkin merosakkan kehidupan insan lain.

Untuk dicari kelainan daripada filem ini, mungkin tidak seberapa yang ditemui kita. Namun, ia tetap sebuah hidangan yang seronok untuk ditonton kerana ceritanya tidak memeningkan kepala, mudah diikuti dan sesuai sekali untuk mereka yang ingin melegakan serabut di minda.

Namun, setidak-tidaknya watak Margaret membawa kita mengenali wanita angkuh yang bersikap begitu atas desakan hidup sebatang kara. Lalu, apabila dia ditemukan dengan keluarga Andrew, pembantunya yang tidak pun diberikan perhatian olehnya selama ini, pandangan hidupnya mula berubah.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitulah Margaret dengan Andrew. Kehadiran di Sitka, pekan kecil Alaska mengubah segala-gala. Margaret mula mengenal cinta, dan lebih daripada itu nilai kekeluargaan yang menjadi elemen cukup berharga dalam kehidupan manusia.

Pada awalnya, terasa cukup kelakar apabila melihat Ryan dan Sandra bergandingan dalam filem arahan Anne Fletcher (27 Dresses, Step Up) ini. Macam mana boleh terjadi begini? Sandra sudah berusia 45 tahun manakala Ryan baru 33 tahun. Apatah lagi wajahnya dalam The Proposal begitu keanak-anakan. Memang tidak nampak keserasian, pada dasarnya.

Tetapi, itulah magis filem apabila pada akhirnya hati anda sendiri seakan berbisik kepada Andrew (Ryan) supaya mencari semula Margaret setelah wanita itu tidak sanggup meneruskan permainan percintaan serta perkahwinan mereka. Ketika itu, jarak usia bukan lagi halangan, sebaliknya rasa cinta yang mula bercambah turut anda rasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: