Saturday, August 8, 2009

Bagaikan Supermodel


ANTARA adegan menarik dan poster publisiti dalam filem GI Joe.

Sierra Miller memegang peranan sebagai Baroness dalam GI Joe, lengkap dengan seragam getah berwarna hitam, kasut tumit tinggi enam inci

JIKA ada filem yang mampu memperkenalkan nama pelakon Sienna Miller secara lebih meluas kepada peminat filem antarabangsa, ia tentu sekali datangnya daripada judul penuh aksi arahan Stephen Sommers, GI Joe: The Rise of Cobra, yang baru saja ditayangkan di negara ini mulai 7 Ogos lalu.

Pelakon yang mula muncul di layar lebar pada 2001 menerusi filem South Kensington itu sebelum ini hanya dikenali melalui filem yang bercorak sederhana. Casanova (2005) dan Stardust (2007) mungkin dua judul paling popular pernah dibintanginya sebelum ini.

Lalu, apabila aktres berusia 27 tahun yang memulakan karier sebagai model ini mula menjejakkan kaki ke set filem GI Joe, dia mengaku cukup tergamam. Miller yang sering muncul dalam drama berbajet sederhana tidak menyangka, filem aksi yang dihasilkan daripada figura permainan terkenal dunia itu rupa-rupanya projek yang tersangat besar, melepasi apa yang pernah dibayangkannya.

"Tiba saja saya di lokasi, saya lihat seribu kru turut berada di situ. Saya pula hanya sering terbabit dalam filem yang berbentuk bebas sebelum ini. Keadaan itu nyata meletakkan diri saya dalam keadaan serba tak kena. Tidak pernah sekali pun saya beraksi dalam projek sebegini hebat. Tetapi, sebaik saja saya mula bekerja, perasaan resah itu bertukar seronok pula," cerita Miller.

Wanita yang dilahirkan di New York, namun dibesarkan di United Kingdom ini menerima pujian hasil lakonan berkesannya ketika muncul dalam filem Factory Girl, judul di mana dia memainkan watak gadis popular Edie Sedgwick, bergandingan dengan Guy Pearce (memainkan watak Andy Warhol).

Miller turut menerima kritikan membina apabila beraksi dalam Alfie, filem buatan semula terbitan 2004, di samping bekas kekasih, Jude Law.

Kali ini, dalam filem aksi bernilai RM595 juta itu, dia memainkan peranan penjahat wanita yang licik diberi nama Baroness, lengkap dengan seragam getah berwarna hitam, kasut tumit tinggi enam inci, serta bersenjata. Tidak ubah seorang supermodel, Baroness juga tangkas dalam seni pertahanan diri.

Menurut Miller, wataknya dalam filem itu memerlukan dia bersedia dalam segala segi, terutama fizikal. Justeru, dia perlu berlatih di gimnasium, di samping menghabiskan enam minggu belajar cara berlawan bersama dengan jurulatih ternama yang pernah mereka cipta gerakan pergaduhan dalam The Matrix.

Malah, pelakon yang juga seorang pereka fesyen ini turut diajar cara menembak bagi melengkapkan penampilannya dalam G.I. Joe.

"Saya sudah boleh menembak menggunakan raifal sekarang," katanya sambil mengaku, dia akan berkelip dan sering kali membuat bunyi tembakan keanak-anakan dengan setiap tembakan yang dilakukan.

Aktres cantik ini juga nampaknya tidak terlepas daripada kecederaan ketika melakukan babak aksi dalam filem ini. Dia mengalami kecederaan akibat kebakaran kecil selepas berlari ke dalam letupan yang berlaku pada masa yang salah. Dia juga pernah dikejarkan ke hospital dengan tangan yang bengkak.

"Saya perlu bergaduh dengan memakai kasut tumit tinggi enam inci. Jadi, situasi itu agak rumit. Tetapi, rasanya saya yang agak cemerkap. Saya boleh ditimpa kemalangan kecil hanya kerana berjalan di kaki lima," kata aktres yang pernah memenangi Anugerah Masa Depan EMA (Environmental Media Awards) pada 2007.

Bercerita mengenai filem terbabit, Miller berkata, dia mula mengetahui perihal wataknya dalam GI Joe ketika persatuan penulis Hollywood mengadakan tunjuk perasaan.

"Ketika itu, tiada siapa pun yang tahu, bilakah mereka akan mula bekerja semula. Saya pun terasa ingin melakukan sesuatu yang bersifat hiburan semata-mata. Selalunya ia bukanlah jenis kerja yang saya suka. Tetapi apabila saya membaca skrip, saya dapati ia mempunyai karakter yang dibangunkan dengan baik sekali. Sebagai penjahat, watak itu sangat menarik dalam sebuah kisah yang menarik juga.

"Lagipun, sudah semestinya kita akan berasa hebat apabila muncul dalam filem yang ingin sekali ditonton ramai orang," katanya.

Miller, yang mempunyai label fesyennya sendiri berkata, dia memang berharap untuk mengekalkan latihan senaman yang diamalkannya walaupun selepas filem itu tamat penggambaran.

"Tetapi, nampaknya agak sukar untuk saya berbuat demikian. Saya sentiasa terbang antara dua benua ini dan selalu membuat alasan kepenatan untuk ke gimnasium. Selalunya saya memang bijak mencari alasan untuk keluar daripada sesuatu yang malas saya hendak lakukan," katanya sambil tersenyum.

Baru-baru ini, Miller mengembara ke Afrika bersama sebuah pertubuhan kemanusiaan, International Medical Corps, bagi membantu kempen kesedaran antarabangsa terhadap penduduk terpinggir yang memerlukan bantuan di Congo. Kumpulan itu menyediakan latihan penjagaan kesihatan serta pelbagai rancangan lain bagi mengurangkan penderitaan rakyat di seluruh dunia.

"Mula-mulanya, saya benar-benar ingin melihat apa yang berlaku dengan mata sendiri. Ketika itu saya tidak tahu pun apa yang bakal dilihat sehinggalah saya nampak kanak-kanak berusia 13 tahun yang memegang senjata AK47. Namun, ia tetap pengalaman menakjubkan serta sebuah amalan kebajikan yang bermakna," tegasnya.

Berlakon bersama-sama Miller dalam filem yang sarat aksi serta visual mengagumkan itu ialah Channing Tatum, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Christopher Eccleston, Joseph Gordon-Levitt, Byung Hun Lee, Rachel Nichols, Ray Park, Jonathan Pryce, Saïd Taghmaoui, Marlon Wayans dan Dennis Quaid.

INFO:

MENERUSI filem GI Joe, peminat boleh menyaksikan beberapa kelengkapan berteknologi tinggi milik pasukan wira yang turut dimuatkan dalam filem berkenaan. Antaranya:

Howler Jump Jet

  • Jet masa depan yang menjadi mesin pengangkut pasukan GI Joe sehingga 12 orang pada satu-satu masa.

  • Ia mampu terbang dan mendarat secara vertikal dalam masa yang singkat.

  • Boleh terbang pada tahap kelajuan supersonik serta boleh dikendalikan sebagaimana pergerakan helikopter.

  • Penujah kiri dan kanan berfungsi secara bebas untuk pergerakan lebih licik.

    Brawler

  • Kenderaan berbentuk van yang lengkap bersenjata dan menjadi pusat arahan bergerak.

  • Bumbung yang boleh ditanggalkan bagi menempatkan meriam jarak pendek.

  • Mempunyai komputer pengesan yang mampu menjejaki semua aktiviti operasi di dunia.

  • Mampu dipandu dengan berkesan di kota mahupun luar bandar.

    Delta 6 Accelerator Suits

  • Seragam mekanikal turbo-hidraulik yang membolehkan pemakainya berlari lebih pantas, melompat lebih tinggi dan berkuasa lebih hebat daripada manusia manusia.

  • Ia sangat ringan tetapi tidak lut peluru, serta membolehkan pemakainya menumbuk menembusi halangan pejal seperti dinding.

  • Tangan kanan mempunyai mesingan 10mm yang mampu melepaskan 50 tembakan sesaat.

  • Tangan kiri pula dilengkapi lima bahan letupan 25mm tinggi, roket pergelangan tangan yang mampu mengesan haba.

    Enhanced Camouflage Suit

  • Seragam yang diperkemaskan oleh komputer, mampu menterbalikkan dan menelan cahaya, membolehkan pemakainya menyesuaikan diri dengan pelbagai latar belakang serta tidak kelihatan pada mata kasar.

    Submersible High-Speed Attack and Reconnaissance Craft (SHARC)

  • Kenderaan dalam air yang lengkap dengan senjata serta kokpit berasingan untuk pemandu dan penembak.

    Mini Robotic Underwater Spy System

  • Direka dengan matlamat penyamaran berkesan di dasar laut, Mini Robotic Underwater Spy System meniru penampilan dan pergerakan seekor ikan ketika merakam dan mengimbas maklumat kembali ke komputer di kapal selam.

    Rock Slide

  • Kenderaan atas salji yang lengkap bersenjata serta berkemampuan luar biasa, dibina untuk pergerakan yang licik.

  • Dilengkap dengan roket yang mampu mengesan haba dan mesingan.

  • Cerminnya kalis peluru, dengan rekaan aerodinamik.

    GI JOE Submarine

  • Kapal selam dengan reaktor nuklear yang mampu menyusuri laut beku artik pada kedalaman yang tak munasabah.

  • Ia membawa kelengkapan krew yang besar dan pelbagai kenderaan serangan bawah air serta daratan.

  • Sungguh kuat sehingga mampu memecahkan ketulan ais tanpa merosakkan kapal.

    Jet Pack

  • Jet roket yang dipakai di bahagian belakang apabila seseorang ingin terbang ke udara.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: