Wednesday, August 5, 2009

Mahu kembali warnai dunia seni...Zaiton Sameon


ZAITON mahu popular kembali seperti zaman kegemilangannya dulu.

Zaiton Sameon akui sudah mampu buat persembahan, setiap minggu penuhi undangan nyanyian

HAMPIR dua dekad lalu satu musibah yang menyayat hati berlaku sehingga mengubah segala kehidupan bahagia penyanyi yang cukup popular menerusi lagu menaruh Harapan itu. Siapa yang tidak mengenali Zaiton Sameon.

Tatkala dia berada tinggi di kemuncak di zaman kegemilangannya, masa itu di mana saja ada majlis keraian pasti penyanyi wanita yang memiliki sepasang kaki yang cantik itu diundang untuk membuat persembahan dan kehadirannya juga begitu dinanti-nantikan khalayak.

Namanya terus meniti di bibir peminat selepas lagu ciptaan A Ali, Menaruh Harapan memenangi Anugerah Juara Lagu pada 1987.

Namun, betullah kata pepatah orang tua, malang itu tidak berbau. Tragedi menyayat hati yang berlaku sekitar 1990 di mana Zaiton terbabit dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan mengadakan persembahan meragut nyawa anak tunggal kesayangannya Irwan yang ketika itu berusia 12 tahun.

Zaiton sendiri parah di bahagian kepala dan patah beberapa anggota tubuhnya dan dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk pulih.

EsThEr mengajak Zaiton bernyanyi bersama sambil diperhatikan rakan artis yang lain.

Kini selepas 19 tahun berlalu, Zaiton kembali gian menyanyi dan memasang impian untuk tampil mewarnai industri hiburan sebagai penghibur seperti di zaman kegemilangannya.

“Sebenarnya sejak tiga tahun yang lalu lagi saya sudah mula aktif menyanyi kembali. Jika dulu saya tidak dibenarkan keluar dari rumah membuatkan hidup saya tertekan dan terkongkong sehingga mengganggu fikiran saya.

“Namun kini saya sudah sembuh dan mampu membuat persembahan. Alhamdulillah setiap minggu ada saja undangan menyanyi terutama di majlis perkahwinan. Walaupun tidak sebesar mana namun cukup untuk diri saya,” katanya.

Ramai yang mengetahui kisah hidup Zaiton selepas kejadian malang yang menimpa dirinya. Khabarnya selepas kematian anaknya itu, Zaiton kehilangan ibu dan bapanya. Tidak itu saja, dia juga dikhabarkan disisih ahli keluarga tanpa diketahui sebab dan musababnya.

SEMUA rakan artis yang hadir mengiringi nyanyian Zaiton.

Namun Zaiton mengambil langkah untuk tidak mahu menceritakan apa yang berlaku antara dia dan adik-beradiknya itu kerana tidak mahu memburukkan sesiapa.

“Saya melalui hidup yang sangat susah selepas kejadian. Lepas satu-satu kejadian yang menimpa saya. Saya sudah tidak ada tempat bergantung selepas kematian ayah dan ibu. Saya juga ingin memulakan hidup baru dengan kembali menyanyi namun ramai pihak yang tidak meyakini untuk mengambil saya membuat persembahan.

“Saya faham dengan keadaan saya sekarang, namun saya memang masih boleh menghafal lagu dan menyanyi seperti dulu, cuma saya tidak boleh menari saja,” katanya mengakui kemalangan itu menyebabkan beberapa anggota badannya pernah patah.

"Tidak serik bersuami jika ada yang sudi"

ZAITON juga mengakui sepanjang 23 tahun melayari hidup sebagai ibu tunggal sehingga tinggal sebatang kara, dia juga masih teringin untuk mendirikan rumah tangga sekiranya ada yang sudi.

“Saya sudah agak, mesti ada soalan ini diajukan kepada saya. Terus terang memang saya teringin kembali untuk mendirikan rumah tangga itupun kalau ada yang sudi.

“Kalau boleh biarlah lelaki pilihan saya itu berusia lebih 50 tahun ke atas dan yang penting lelaki sejati,” katanya yang tergelak besar apabila diusik sedemikian.

Sejak tiga tahun lalu, aktiviti seni Zaiton diuruskan pengurusnya, Rahim Adam yang banyak membantu mendapatkan persembahan.

Menurut Rahim, dia cukup kecewa dengan segelintir masyarakat yang masih lagi mahu mengambil kesempatan dengan keadaan Zaiton yang macam itu.

“Saya terpaksa berjaga-jaga dengan orang yang ingin mengambil kesempatan terhadapnya. Bukan apa, ada pihak sengaja mengambil kesempatan untuk menipunya. Zaiton ini sebenarnya suka menyanyi dan hampir setiap malam dia akan berlatih menyanyi di karaoke.

“Dia pun sudah lama tidak menyanyi dan ada kalanya apabila diundang menyanyi di majlis perkahwinan dia dibayar RM200 untuk menyanyi empat lagu tetapi ada kalanya lebih 10 lagu akan dinyanyikan.

“Kita tidak mahu dia digunakan semata untuk kepuasan orang lain. Kita kasihankan dia kerana hidupnya sudah tiada apa-apa lagi. Selagi hidupnya masih ada ini biarlah dia gembira dengan hidupnya,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini juga, rezeki Zaiton mula bertambah apabila ada syarikat produksi filem yang berminat untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Zaiton yang menceritakan kisah di sebalik kehidupannya dulu dan sekarang.

“Saya bersyukur kerana masih ada lagi orang yang menghargai Zaiton sehingga ke tahap itu. Buat masa ini semuanya masih dalam proses di peringkat awal dan persediaan menyediakan skrip.

“Dikhabarkan juga pihak yang ingin menerbitkan filem itu, Les'Copaque Production juga sedang dalam proses mencari pengarah yang berkaliber selepas dua pengarah sebelum ini ditolak.

“Kita berharap dengan usaha ini, lebih banyak pihak yang sudi membantu Zaiton bagi mengubah kehidupannya kembali.

“Saya juga ingin memaklumkan kepada semua yang dia ini masih kuat dan bertenaga seperti dulu sekiranya mengadakan persembahan dan sesiapa yang ingin mengundang dia membuat persembahan bolehlah menghubungi saya di talian 019-3632701,” katanya.

Kejutan istimewa sempena program raya

SEMENTARA itu Zaiton yang ditemui pada rakaman program khas Nona yang disiarkan TV3 sempena Aidilfitri nanti, diadakan secara kejutan kepada Zaiton bagi menyampaikan hasratnya untuk berjumpa rakan lamanya.

Penerbitnya, Syarida Sharif berkata, ilham mengadakan majlis kejutan istimewa ini tercetus ketika mengadakan wawancara bersama Zaiton Sameon beberapa minggu yang lalu.

“Sewaktu itu, Zaiton menyatakan hasratnya untuk berjumpa kembali dengan rakan artis lama yang jatuh bangun bersamanya ketika era kegemilangan mereka.

“Ini adalah program khas Nona sebagai tribute kepada insan yang masih hidup. Biasanya orang akan mengenang kembali insan yang pernah menyumbang dalam industri selepas mereka tiada, tetapi inilah kelainan program khas Nona ini apabila mengangkat insan yang masih hidup.

“Program ini akan disiarkan pada 20 September jam 2 petang selama satu jam dengan pelbagai kisah yang menyentuh perasaan penonton yang melihatnya.

“Sudah pasti program ini akan membangkitkan nostalgia terutama kepada golongan ibu yang masih terkenangkan lagu hits Zaiton Sameon seperti Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar dan Berendam Air Mata.” katanya.

Majlis yang diadakan secara kejutan ini cukup memberi impak kepada Zaiton apabila riak mukanya yang terharu, sedih, gembira melihat rakan artis lama menyambutnya dengan ucapan Selamat Hari Raya Zaiton apabila dia membuka pintu dewan.

“Zaiton langsung tidak mengetahui bahawa majlis ini akan diadakan untuknya kerana kami cuma memaklumkan dia akan menghadiri sesi wawancara dan fotografi bersama wartawan.

“Majlis ini diadakan hadiah kepada Zaiton yang kami lihat sebagai bintang lagenda yang seharusnya diberikan pengiktirafan oleh industri tanah air. Program khas ini juga bukannya yang terakhir diadakan kerana selepas ini kita akan melakukan kepada Karim Latiff, Azean Irdawaty dan ramai lagi,” katanya.

Majlis disusun dengan acara menarik seperti deklamasi sajak Menaruh Harapan dengan persembahan artistik pantomin dari Fakulti Seni Persembahan UiTM dan persembahan nyanyian dari Azharina, Atlia, Esther (OIAM). Kesempatan ini juga akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi peluang kepada Zaiton Sameon beramah mesra bersama artis lama dan baru seperti Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, Datuk Sharifah Aini, Prof Madya Khairil Johari Johar, Datuk Jeffrydin, Mas Omar, Zur Eda, Izwan Pilus, Amiza Adnan serta kumpulan KAWAN iaitu Aspalela Abdullah, Mariam Ahmad, J Kamisah dan ramai lagi.

Pada majlis itu juga, Zaiton turut menerima tajaan pakaian yang direka dan dihadiahkan khas daripada Rizman Ruzaimi, sumbangan berupa set penjagaan Akupuntur dari Akulife, barangan Alfio Raldo, masing-masing bernilai RM1,000, barangan Avon, baju kurung sumbangan tajaan First Lady dan duit raya RM1,000 dari TV3.

APA KATA ARTIS:

Datuk Sharifah Aini
"Saya mengenali Zaiton sejak hari pertama dia sebagai penyanyi. Apabila dengar dia ditimpa musibah saya terkejut dan sedih dengan peristiwa yang turut mengorbankan anaknya.

“Sejak hari pertama dia dimasukkan ke hospital, saya akan melawatnya setiap dua hari sekali untuk mengikuti perkembangannya dan kini alhamdulillah kesihatan sudah pulih dan sudah boleh menyanyi seperti dulu.

“Saya juga dapat merasa betapa peritnya penderitaan yang ditanggung selepas kematian anaknya kerana saya juga seorang ibu yang mempunyai anak.

“Namun saya percaya dia adalah wanita yang kuat semangat dan saya cukup kagum dengan semangat kentalnya mengharungi segala yang berlaku dalam dirinya,” katanya.

Freddie Fernandez
“Sejak tiga tahun yang lalu, Zaiton adalah salah seorang daripada 27 penerima Skim Pencen yang diperkenalkan Karyawan. Kami di Karyawan sentiasa mengambil berat mengenai kehidupannya sekarang.

“Walaupun skim ini tidaklah memperuntukkan wang banyak kepada penerima, tetapi diharap ia menjadi permulaan kepada pihak lain untuk membantu mana-mana artis yang tidak bernasib baik.

“Karyawan sentiasa melakukan pelbagai aktiviti kesenian bagi mengumpul dana untuk dimasukkan ke dalam tabung persatuan bagi diagihkan kepada penerima pencen.

“Kami mendoakan agar kesihatan Zaiton sentiasa baik seperti dulu untuk dia dapat kembali berkarya semula. Dia adalah lagenda dalam industri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: