AHLI kumpulan Orkes Nirwana JB yang dipimpin A Rahman Hassan. |
BUKAN mudah sebenarnya mengekalkan hayat sesebuah kumpulan muzik, namun berbeza dengan Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB) yang terus unggul bertahan selepas lebih empat dekad ditubuhkan. Lalu, pujian harus diberi kepada ONJB kerana selepas 44 tahun usia pembabitan kumpulan ini, mereka masih mendapat ruang dan tempat untuk terus berkongsi bakat yang ada. Paling membanggakan kumpulan yang diterajui Datuk A Rahman Hassan ini juga tercatat sebagai Band Pop Yeh Yeh Yang Paling Lama di dalam Malaysia Book Of Records.
Malah, biarpun sepi tanpa sebarang hebahan atau liputan, ONJB ligat memenuhi undangan persembahan daripada pihak yang masih menghargai jalur muzik 60-an. Sabtu ini, kumpulan itu diundang Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) membuat persembahan di Dataran Pandamaran, Klang, Selangor bermula jam 8.30 malam.
Menurut Datuk A Rahman Hassan, persembahan itu dijangka berakhir jam 11.30 malam. Dalam tempoh itu, ONJB yang turut dianggotai isterinya, Datin Azizah Mohamad (penyanyi), E Elias (bass), B Badron (gitar), K Tajudin (dram) dan Khairulilmi Rahman (penyanyi/tamborin) akan menyanyikan sekitar 40 buah lagu.
“Persembahan ini dibuat bersempena dengan Karnival Rakyat. Selain ONJB, persembahan selama tiga jam itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi seangkatan, L Ramlee, A Halim, J Sham dan Roziah Latif. Malah persembahan empat orang penyanyi itu turut akan diiringi ONJB,” kata Rahman yang dihubungi Hip baru-baru ini.
Sejak ditubuhkan pada 25 Mac 1965 ONJB masih utuh, bahkan persefahaman dan keharmonian yang dipupuk meletakkan ONJB pada kelas tersendiri berbanding kumpulan lain yang ditubuhkan sekitar 1960-an.
Katanya lagi, pasaran muzik 60-an masih ada biarpun kemunculan muzik generasi baru mula menerjah dunia seni. Tambahnya, paling penting sekali, setiap anggota memahami peranan masing-masing.
Lalu, ia secara tidak langsung membuatkan hala tuju sebenar kumpulan ini mudah dicapai tanpa perlu ada sengketa. Beliau yang juga pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM) dan Presiden Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) akan terus memastikan perjuangan ONJB berkembang biarpun persaingan sentiasa ada.
“Muzik 60-an itu sendiri mempunyai keunikan yang tiada pada genre muzik lain. Saya percaya muzik kami mempunyai peminat yang tersendiri. Malah, kelompok peminat itu bukan saja pada orang tua, sebaliknya golongan remaja pun ada yang menghargai muzik ini. Insya-Allah, selagi terdaya, kami dan rakan seangkatan artis 60-an akan terus menyanyi.
“Malah, jika stesen radio masih memutarkan muzik era kami, pastinya permintaan terhadap kewujudan kami akan terus ada. Melalui pertandingan yang diadakan terutama yang menjurus kepada pencarian bakat muzik 60-an juga menjadi pencetus kepada berterusannya legasi muzik ini,” katanya.
INFO: Orkes Nirwana Johor Bahru
selepas lebih 20 tahun tidak ada album baru. Setakat ini sudah ada sekitar sembilan lagu lama dan baru yang tidak pernah dirakamkan. Kebanyakan lagu itu dicipta pada 1960-an.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: