Wednesday, August 5, 2009

Kristal mahu jadi legenda


KUMPULAN yang kini berusia sedekad mahu terus kekal di persada seni tanah air.

Empat anak muda terus perjuang irama rock, mahu hasilkan susunan muzik malar segar

TERLALU banyak label diberikan kepada Kristal tanpa pernah khalayak menyedari kehadiran kumpulan yang bermula lebih sedekad lalu ini sebenarnya mencipta impak besar kepada industri hiburan.

Barangkali ada di antara label mengguris perasaan mereka, namun semua itu tidak membekas di hati Kristal yang dibarisi Razlan Mohamed, 24, Muhamad Rudy Baharuddin, 23, (Rody-gitar), Muhamad Nur Asraf Baharuddin, 16, (Asraf-dram) dan Izaluddin Ibrahim, 25, (Izal-bass).

Tekad mereka cuma satu, “Menghasilkan susunan muzik yang malar segar kerana Kristal ingin menjadi legenda suatu hari nanti.” Begitulah kata Razlan atau Lan ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru mereka, BollyRock di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Biar apa juga label yang menyinggahi, Kristal percaya muzik rock tidak akan pernah basi atau mati. Muzik yang dibawakan mereka juga bersifat universal, namun keegoan manusia ada kala membenamkan kebenaran.

“Bukan kami tidak tahu muzik Kristal juga disukai orang bandar. Cuma mereka malu untuk mengakui disebabkan ego. Muzik Kristal mengikut aliran dan kerana itu, kami percaya rock akan terus kekal di hati peminat,” kata Rody.

Sejak sedekad lalu, selepas diperkenalkan Awie dengan album pertama, Semut dan Lebah pada 1999, Kristal sentiasa mendesak diri mereka untuk mempamerkan peningkatan dalam setiap persembahan.

Akui Lan, untuk mencapai tahap di mana mereka berada sekarang, terlalu banyak ranjau yang dilalui. Pernah kerana keinginan kuat untuk menghiburkan peminat, mereka sanggup tidur berhimpit di dalam van.

“Setiap band mahu bertahan lama. Selama sedekad ini banyak yang kami belajar. Soal disiplin, saling hormat menghormati serta kasih sayang.

“Setiap apa juga masalah yang datang, kami cuba selesaikan sesama sendiri. Penting bagi kami mempamerkan kematangan dan peningkatan kerana tanpa aspek itu, sukar untuk Kristal terus bergerak dan bertahan,” katanya.

Melihat pencapaian mereka, Kristal sebenarnya sudah berdiri pada kedudukan selesa. Pencapaian mereka bukan calang-calang.

Ketika penyanyi lain mengeluh sukar menjual album, dua album terdahulu Kristal, Rock Yeh Yeh 60-an dan Rockafella meraih penjualan selesa.

Rock Yeh Yeh 60-an mencatat jualan melebihi 50,000 unit, manakala Rockafella yang muncul pada 2007 juga selesa dengan lebih 70,000 salinan.

“Justeru kami juga mengharapkan Bollyrock akan mencatat kejayaan memberangsangkan,” katanya mengenai album yang memuatkan 14 lagu saduran daripada filem Hindi popular.

Akui Lan, penerbitan album saduran itu bukan bermakna Kristal tidak berani mengambil risiko. Sebaliknya, ia dibuat atas permintaan peminat lalu ia menjadi sebuah produksi yang disifatkan Kristal sebagai hadiah untuk mereka.

“Ia cuma sebagai permulaan kerana selepas ini kami akan kembali ke studio untuk merakamkan album yang memuatkan kesemua lagu baru,” katanya.

Barangkali tindakan Kristal memasarkan album BollyRock dilihat bukan pada masa sesuai. Apatah lagi ketika ini bahang kehangatan irama Bollywood semakin dingin.

Bagaimanapun, Lan positif dengan pendirian mereka kerana timbal balas peminat sentiasa menantikan sesuatu yang baru daripada Kristal.

“Kami bernasib baik kerana mempunyai kelompok peminat sejati. Mungkin irama Bollywood nampak dingin di mata sesetengah orang tetapi tidak apabila Kristal mengadakan persembahan. Ramai menyambut baik usaha kami ini,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai BollyRock, Lan tidak menafikan merakamkan album ini barangkali lebih menyenangkan kerja mereka terutama dalam proses mengumpulkan material.

Semuanya sudah tersedia namun katanya, ia tetap mengundang risiko tersendiri. Apatah lagi kebanyakan lagu yang dirakamkan semula itu sudah sebati di telinga pendengar.

“Kami berani mengambil risiko untuk memberikan persembahan yang setara atau lebih baik berbanding lagu asal. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Dalam produksi ini, Kristal lebih menumpukan kepada susunan muzik selari dengan peningkatan usia pembabitan kami,” katanya.

Mungkin Kristal lebih sinonim dengan persembahan di fun fair, namun mereka tidak pernah menolak ketentuan rezeki. Kristal tidak pernah berkecil hati jika ada yang memandang sebelah mata kehadiran mereka.

“Menerusi persembahan itu, kami tahu mereka yang datang ialah peminat sejati Kristal. Kami tidak meletak harga terlalu tinggi.

“Asalkan dibayar berpandu pengalaman kami, sukar untuk kami menolak. Semuanya bergantung kepada bajet dan peruntukan. Jika berbaloi dan tidak merugikan Kristal, kami sedia terima,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: