Sunday, August 23, 2009

LPF terkejut dakwaan David Teo

KEMELUT mengenai filem Remp-It V3 terbitan MIG Production Sdn. Bhd. menjadi semakin panas apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) mendedahkan bahawa mereka belum menonton filem tersebut.

Naib Pengerusi LPF, Helmi Abdullah terkejut dan keliru dengan kenyataan David yang mendakwa sudah menghantar filem itu kepada LPF untuk dibuat penilaian.

Sedangkan kata Helmi pihaknya tidak menerima apa-apa salinan berkaitan filem tersebut seperti yang didakwa.

Katanya, selagi LPF tidak menonton filem itu, mereka tidak boleh membuat apa-apa keputusan sama ada untuk mengharamkannya atau tidak.

“Saya tak pasti maksud kenyataan David Teo di akhbar Mingguan Malaysia (sisipan Pancaindera) baru-baru ini. Tetapi yang pasti kami masih belum menerima filem itu bagi tujuan tapisan lagi,” ujar Helmi.

Dalam Pancaindera keluaran 16 Ogos lalu, David mendakwa filem tersebut telah dihantar kepada LPF untuk dinilai.

Kata David pihak penapisan filem itu tidak mempunyai sebarang masalah terhadap penghasilan Remp-It V3 tetapi ia perlu dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu.

Alasannya Remp-It V3 mempunyai unsur-unsur lumba haram dan aksi mat rempit yang melampaui batas dan ia adalah luar bidang kuasa LPF untuk meluluskannya.

Kata David jika filem terbaru arahan pertama Farid Kamil itu diharamkan, kerajaan juga perlu mengharamkan filem-filem ganas lain seperti filem keluaran Hollywood dan Bollywood.

“Kalau nak haramkan filem saya tak kisah. Boleh! Tapi kena haramkan juga filem-filem Hollywood, Bollywood dan filem-filem yang kononnya ada unsur-unsur jenayah lain. Baru la adil.

“Pengaruh filem luar tu lagi kuat. Filem saya ni tak sampai 10 peratus pun adegan aksi. Remp-It V3 ni lebih sopan berbanding Remp-It yang pertama,” kata David dalam ruangan tersebut.

David juga berkata buat masa ini dia menyerahkan kepada KDN untuk mengkaji hasil filem yang menelan belanja kira-kira RM1 juta itu dan berharap ia diluluskan untuk tayangan.

Persoalannya sekarang yang mana satu betul? David mendakwa LPF tiada masalah terhadap filemnya tetapi LPF pula menafikan sudah menonton filem berkenaan.

Apa motif David membuat kenyataan sedemikian sedangkan beliau masih belum menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya selepas menghasilkan sesebuah filem?

Adakah kerana ia satu tindakan David untuk popular ataukah LPF yang terlepas pandang?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: