Thursday, August 13, 2009

Lanun rampas kapal di Selat Inggeris




IMEJ The Arctic Sea yang dipercayai ditawan lanun di Selat Inggeris baru-baru ini.DOVER - Sebuah kapal kargo milik firma Latvia dengan membawa muatan kayu balak bernilai lebih £1 juta (RM5.7 juta) menjadi mangsa pertama lanun yang dipercayai beroperasi dalam kawasan perairan Eropah, lapor akhbar semalam.

Kapal The Arctic Sea itu dalam perjalanan ke utara Afrika setelah mengambil kayu bergergaji dari Finland.

Kali terakhir pengawal pantai di sini menghubungi kapal itu ialah pada 28 Julai lalu ketika ia memasuki Selat Inggeris dari Laut Utara.

Seseorang di atas kapal yang dipercayai lanun mendakwa mereka dalam pelayaran menuju ke pelabuhan Bejaia di Algeria dan dijangka tiba pada 3 Ogos.

Pengurus perkhidmatan maklumat pelayaran Selat Inggeris, Kaimes Beasley berkata, The Arctic Sea yang mengibar bendera Malta dengan 15 krew itu mungkin dirampas dekat Selat Dover.

"Saya tidak percaya ada kapal boleh ditawan lanun di perairan Kesatuan Eropah," katanya.

Ada laporan kapal itu dinaiki oleh sekumpulan lelaki bertopeng yang mendakwa sebagai polis antidadah di perairan Sweden pada 24 Julai lalu.

Kapal tentera Rusia semalam menyertai misi menyelamat The Arctic Sea seberat 3,998 tan selepas kali terakhir dilihat di Perancis pada 30 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: