LONDON - Malang berganda buat sebuah kedai barangan kemas berprestij di sini selepas ia menjadi sasaran perompak buat kali kedua dalam tempoh enam tahun.
Sebuah akhbar semalam melaporkan, rompakan kedua pada 6 Ogos lalu itu didedahkan pihak polis kelmarin membabitkan kerugian sebanyak £40 juta (RM231 juta).
Butik Graff Jewellers di New Bond Street pernah dirompak sebanyak £23 juta (RM133 juta) pada tahun 2003.
Menurut polis, dua lelaki berpakaian kemas yang menaiki sebuah teksi memasuki butik tersebut pada pukul 4.40 petang sebelum mengeluarkan senapang dan mengarahkan pekerja membuka kabinet.
Dalam beberapa minit, mereka mengambil 43 bentuk cincin, rantai tangan, rantai leher dan jam tangan. Seorang pekerja wanita turut dijadikan perisai sebelum suspek melepaskan tembakan amaran. Pekerja itu dibebaskan.
Polis percaya, barang yang dirompak itu mempamerkan koleksi paling mahal di kedai tersebut dengan nilai setiap kalung leher dan cincin mencecah £1 juta (RM5.79 juta). Antara pelanggan gedung itu ialah David dan Victoria Beckham serta Naomi Campbell.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: