Friday, August 7, 2009

Kreativiti uli doh fondant


PARA peserta menghabiskan satu hari suntuk untuk menyiapkan kek fondant yang nyata semakin popular.


"BANYAK perkara baru yang saya pelajari. Terutamanya dalam membuat aising dan bagaimana untuk menjadikan kek tahan lebih lama."

Demikian beritahu salah seorang peserta Bengkel Hias Mini Fondant, Faizah Ariffin, 24, yang kelihatan begitu teliti mendengar setiap arahan yang diberikan dan menguli doh untuk dijadikan bentuk topi.

Nampak kecil sahaja adunan itu, tapi tahukah anda ia bukan semudah yang kita lihat. Sebabnya, jika anda tidak mengulinya dengan betul, kek tersebut akan menjadi keras.

"Ini kali pertama saya mengikuti bengkel membuat kek. Sebelum ini saya cuma mendengar sahaja kek fondant sukar dihasilkan dan terlalu remeh.

"Bila mencuba sendiri, barulah terasa cabarannya. Itu baru menguli, belum membuat hiasannya lagi," katanya yang juga seorang pelajar jurusan Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bengkel anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Marjerin Daisy dan D Flowers Cake itu nyata mendapat sambutan di luar jangkaan.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada peserta cara-cara untuk menghasilkan doh fondant yang berkualiti dan lembut.


FAIZAH begitu teliti menghias keknya.


Selain mewarnakan doh, mencanai dan membuat hiasan dengan lima teknik berbeza.

Cara penghasilan royal aising iaitu sejenis krim putih yang sering digandingkan bersama fondant sebagai hiasan turut diajar oleh pengusaha kek, Zanifah Md. Nor.

"Saya memang minat buat kek, tetapi belum pandai untuk membuat kek fondant.

"Namun, disebabkan sering melihat kawan-kawan menjual kek ini dan mereka mampu mengaut keuntungan, saya juga mahu mencubanya.

"Peluang sebegini harus direbut oleh kaum wanita. Mereka akan merasai sendiri keseronokan membuat kek fondant," beritahu Asyuraida Yunos, 29. Dia sanggup berhabis sebanyak RM200 untuk membeli peralatan membuat kek.


ZANIFAH memberi tunjuk ajar terbaik kepada setiap peserta bengkel.


Peserta termuda bengkel, Nur Akila Suadi, 13, langsung tidak kekok menguli doh.

Sambil ditemani ibunya, Akila berkata dia mahu membuka sebuah kedai kek suatu hari nanti. Menurutnya, kek fondant mempunyai pelbagai peringkat untuk disiapkan.

"Kita perlu memberi perhatian di setiap peringkat kerana sebarang kesilapan akan menjejaskan kek yang akan dihasilkan. Kek mungkin keras atau tidak sedap," katanya.

Bagi yang tidak berkesempatan menyertai Bengkel Eksklusif Mega-Daisy itu, jangan bimbang. Anda masih berpeluang berbuat demikian pada bengkel seterusnya yang akan diadakan di Kompleks Kilang Lam Soon Berhad di Senai, Johor Bahru, Sabtu ini.

Dalam bengkel tersebut, peserta akan belajar membuat pelbagai jenis biskut raya dan tat.

Antaranya, biskut Jacko, biskut Collata Bombay, tat keju mocha atau cappucino dan tat coklat badam.

Yuran penyertaan RM200 seorang akan dikenakan. Pembaca yang berminat boleh layari laman web dflowerscake.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: