Friday, August 7, 2009

Akma tak berkira bantu keluarga


AKMA mengakui mamanya banyak memberi dorongan dan membuka ruang perjalanan seninya.


TIDAK lekang sepasang mata ini menumpahkan air mata acapkali berbicara mengenai kasih sayang dan pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu.

Sudahlah sanggup membawa perut yang memboyot selama sembilan bulan ke sana sini, kemudian bersengkang mata pula untuk membesarkan si permata hati yang mula mengenal dunia.

Biar seluas laut cabaran yang datang, si ibu tetap melakukan yang terbaik untuk anak-anak.

Seboleh-bolehnya ibu memastikan cahaya mata kesayangan hanya mengenal erti gembira, bukannya kesedihan.

"Jasa mama kepada kami adik-beradik dikenang sepanjang hayat. Sukar dikira dengan jari kerana terlalu banyak pergorbanan yang mama lakukan demi kebahagiaan kami sekeluarga.

"Walaupun bergelar suri rumah tangga, mama tidak pernah membiarkan ayah membanting tulang sendirian di Jabatan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dengan kepakaran memasak yang dimiliki, mama membantu menambah pendapatan sampingan dengan menjual kuih-muih," jelas bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Akma, 24, sambil memandang bondanya, Kharion Tan, 49, dengan penuh kasih sayang.

Jika sebentar tadi pertemuan kami berlangsung dalam suasana ceria dan gelak ketawa, tiba-tiba kolam mata Akma atau Asiahtunakma Abdullah, mula berkaca. Air matanya hampir menitis apabila mengenang kembali pengorbanan mamanya.

Jual kuih

Seawal pukul 3 pagi mamanya sudah bangun untuk membuat kuih. Tatkala dia dan adik-beradiknya sedang enak dibuai mimpi, mama seorang diri sibuk menguli tepung kuih di dapur.

"Mama tidak pernah merungut apatah lagi mendesak untuk membantunya. Sebaliknya, mama menggesa supaya anak-anak hanya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Mama yakin ilmu yang tinggi dapat membantu mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik.

"Masih segar dalam ingatan, dek kerana ingin mencari pendapatan tambahan untuk hari raya, mama menumpang menjual kuih di gerai orang lain.

"Namun, berkat kesungguhan mama berniaga, akhirnya kami berjaya mempunyai tapak niaga sendiri di bazar Ramadan," ujar Akma yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Masih berbicara mengenai ibunya, penuntut Ijazah Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menjelaskan pengorbanan ibunya tidak terhenti selepas dia melangkah ke menara gading, tetapi berterusan sehingga kini.


FOTO Akma (tiga dari kiri) yang dirakam ketika bercuti bersama keluarga.
ANAK beranak ini gemar menghabiskan masa bersama.


Menyedari Akma beria-ria ingin menyertai program realiti AF3, Kharion sanggup menemani Akma menjalani sesi uji bakat.

"Tak sangka mama rela menunggu selama 16 jam sehingga saya selesai diuji bakat. Biarpun bersesak dengan ribuan peserta, cuaca panas dan tempat duduk yang tidak mencukupi, mama tetap bersabar.

"Namun, ternyata usaha dan restu mama membuahkan hasil apabila saya terpilih bertanding dalam AF3.

"Walaupun kecundang di tengah jalan pertandingan, saya bersyukur kerana mula dikenali dalam lapangan seni.

"Lebih menggembirakan, apabila memperoleh pendapatan yang berbaloi untuk kesenangan keluarga," tambah Akma.

Pindah rumah teres

Penyanyi tinggi lampai ini membawa keluarganya berpindah dari tingkat lima Flat Sri Sentosa di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, ke rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan yang sama sejak tiga tahun lalu.

Menurut Akma, keluarganya pernah tinggal di rumah setinggan. Apabila rumah itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek perumahan, keluarga Akma berpindah ke rumah sementara yang lebih dikenali sebagai rumah panjang di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

"Malangnya rumah panjang itu terbakar selepas dua tahun diduduki," kenang Akma yang baru berumur tiga tahun pada masa itu.

Kini, rumah teres yang dibeli Akma pada harga ratusan ribu ringgit jauh lebih selesa. Kediaman baru itu mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Kharion yang sejak tadi mengangguk tanda setuju kata-kata Akma sempat mencelah. "Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila anak-anak yang diasuh sejak kecil tidak lupa membantu keluarga setelah dewasa. Akma tidak pernah berkira dalam soal menyenangkan keluarga.

"Barangkali hubungan kami yang rapat dan jarang berenggang menyebabkan hati dan kasih sayang Akma kepada saya dan keluarga kekal utuh.


Kharion [ibu] dan Akma


Kharion dilahirkan di Teluk Intan, Perak dan berkahwin pada usia 15 tahun. Dia menyatakan muzik merupakan penyatu utama yang membuatkan hubungannya dengan Akma begitu akrab.

Menyedari anak bongsu perempuannya itu gemar dan berkebolehan menyanyi, Kharion kerap bertindak sebagai 'ejen' mencari pertandingan nyanyian untuk Akma.

Buktinya, ketika Akma bersekolah asrama di Sekolah Menengah Teknik Shah Alam, Kharion pasti menjemput Akma pada setiap minggu bagi menghadiri pertandingan menyanyi yang didaftarkannya.

"Mama yang uruskan segala-galanya. Bermula dari proses mencari 'lubuk' pertandingan hinggalah mengisi borang.

"Memandang pada waktu itu tidak ada telefon bimbit, maka setiap hari Jumaat saya akan hubungi mama untuk bertanyakan pertandingan yang bakal berlangsung," jelas Akma yang turut bermain piano bersama mamanya pada waktu senggang.

Bukan itu sahaja, Akma yang memiliki ketinggian setinggi 168 sentimeter itu juga memberitahu berkongsi minat yang sama dengan mamanya.

Mereka gemar keluar menonton wayang, membeli-belah dan bersantai bersama-sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: