Penglibatan beliau dalam aktiviti ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai rakyat Malaysia pertama menjadi ahli rasmi Mandolarian Merc, sebuah organisasi kostum Star Wars antarabangsa.
SEORANG lelaki berpakaian seperti tentera makhluk asing, berlegar-legar di sekitar Outpost Cafe, di e@Curve, Damansara, Kuala Lumpur. Pakaiannya seperti askar dari planet di luar galaksi kita. Entah bagaimana pula wajahnya, tidak diketahui kerana ditutup dengan topi aneh berwarna hijau. Tentera makhluk asing yang berpakaian biru dan mengenakan kain merah di bahagian belakang itu, mengacukan senjatanya ke kiri dan ke kanan.
Orang ramai yang melihat adegan itu berasa pelik. Bertambah pelik lagi kerana di sekeliling tentera makhluk asing tadi terdapat tujuh lagi makhluk aneh yang hampir serupa. Kesemuanya lengkap bersenjata, bertopi menutup muka dan seperti hendak menjajah planet Bumi.
Siapakah mereka? Adakah mereka makhluk dari planet Marikh?
Bukan, mereka bukanlah tentera makhluk asing. Sebaliknya, mereka adalah peminat fanatik dunia sains fiksyen, atau ringkasnys Sci-fi. Mereka juga adalah ahli kelab kostum Mandalorian Merc, iaitu watak dalam filem sains fiksyen, Star Wars.
Tentera makhluk asing yang berpakaian biru dan bertopi hijau tadi pula ialah Muhammad Hanif Hosinel Majidi. Dia menggayakan kostum Ge'ta! Gra'tua. Hanif turut ditemani rakan-rakannya yang memakai kostum tentera Mandalorian Merc dan berlagak seperti sedang melindungi Puteri Leia bagi memastikan keamanan di Empayar Alderaan.
Begitulah aksi mereka setiap kali mengenakan kostum berkenaan. Sesiapa sahaja akan berasa pelik sekali gus kagum dengan Hanif serta sahabat-sahabatnya tadi. Ini kerana mereka bukan setakat meminati sains fiksyen, malah menubuhkan kelab dan membuat sendiri kostum-kostum berkenaan.
Lebih mengagumkan, Hanif sendiri sanggup meninggalkan pekerjaan tetap yang bergaji lumayan semata-mata mahu meneroka dunia sains fiksyen itu secara sepenuh masa. Sedangkan, dia berkelulusan ijazah Sarjana Muda Biologi Akuatik dan Diploma Pendidikan dari sebuah institusi pengajian tinggi. Tetapi demi minat yang mendalam, Hanif sanggup meletakkan jawatan bagi mencapai cita-citanya memperkenalkan Mandolorian Merc dan Sci-fi kepada masyarakat Malaysia.
Lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu kini menjadi pereka kostum sains fiksyen sepenuh masa. Penglibatan beliau dalam aktiviti ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai rakyat Malaysia pertama menjadi ahli rasmi Mandolarian Merc, sebuah organisasi kostum Star Wars antarabangsa.
Apakah sebenarnya komuniti Mandalorian Merc dan Sc-fi? Mengapa Hanif begitu berminat dengan dunia sains fiksyen tersebut?
Menurut Hanif, 32, dua komuniti itu merupakan rangkaian komuniti sains fiksyen terbesar di dunia. Ia telah ditubuhkan di tiga benua terbesar dunia dan di Malaysia, penerimaan masyarakat terhadapnya masih baru.
"Para peminat cerita sains fiksyen telah bertapak di Malaysia sejak puluhan tahun yang lalu. Dahulu, mereka memendamkan minat itu secara sembunyi dan perhubungan hanya berlaku dalam kelompok yang kecil sahaja.
"Ini disebabkan faktor teknologi komunikasi yang ketika itu masih belum canggih manakala pendedahan terhadap teknologi moden seperti robotik dan angkasa lepas masih kurang menyerlah. Faktor itu menyebabkan minat mereka dianggap sebagai angan-angan kosong.
"Tetapi, perubahan zaman telah membawa mereka membentuk beberapa komuniti seperti MySciFiFan, Annwyn Cotumers, 501st Legion - Vader's Fist dan Rebel Legion dan lain-lain lagi bagi mengekspresikan minat mereka terhadap cereka fiksyen," jelas Hanif.
Bagaimana pula dengan ciri-ciri komuniti itu? Apakah aktiviti yang mereka jalankan, dan di mana mereka berkumpul?
Menurut Hanif, secara lahiriah, peminat-peminat Sci-fi tiada bezanya dengan manusia lain. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat baik daripada golongan profesional mahupun pelajar sekolah. Hanya minat yang mendalam dan keghairahan mereka terhadap dunia Sci-fi menempatkan mereka di dalam kelas yang tersendiri. Mereka merupakan individu-individu yang meminati filem, buku, komik serta permainan yang berunsurkan cereka sains.
"Para peminat Sci-fi meluahkan ekspresi diri mereka menerusi pelbagai cara. Ada yang gemar membaca novel-novel Sci-fi dan meminati filem Sci-fi. Ada juga yang mengumpul permainan atau figura dan props. Tidak kurang juga, ada di antara mereka yang menjadikan impian satu kenyataan dengan membuat dan memakai kostum watak-watak Sci-fi kegemaran mereka," jelas Hanif.
Seperti orang lain yang mempunyai hobi pilihan sendiri, tambah Hanif, mereka akan membincangkan hal-hal berkaitan dunia Sci-fi kegemaran masing-masing apabila berkumpul. Kadangkala topik perbincangan itu menjadi motivasi untuk mereka mencipta watak-watak atau kisah-kisah baru yang berlatarkan cereka asal. Ini dikenali sebagai fanfic (fan fiction).
Outpost Cafe di e@Curve pula adalah tempat tumpuan komuniti Sci-fi. Terdapat juga forum-forum dalam talian (online) yang sering dikunjungi komuniti Sci-fi seperti MySciFiFan, Gate Of Annwyn, 501st Legion, Rebel Legion dan Mandalorian Merc. Melalui organisasi-organisasi itu, mereka dapat berhubung dan bertukar pendapat dengan para peminat Sci-fi di seluruh dunia. Selain itu, terdapat juga kumpulan-kumpulan Sci-fi di dalam laman web sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dunia futuristik sains fiksyen ini, anda boleh mendapatkan majalah Infiniti keluaran ketiga di pasaran sekarang. Infiniti adalah majalah berkonsepkan X-files, sains dan ilusi yang pertama di Malaysia. Ia diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn. Bhd., dan dijual pada harga RM3.80 senaskhah. Majalah ini akan berada di pasaran pada setiap 29 hari bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: