SEBENARNYA banyak cara boleh dipilih bagi menunjukkan semangat patriotik dan sayangkan negara. Memasang bendera pada kenderaan dan di rumah, bersorak riang ria di Dataran Merdeka atau KLCC sambil mendengar artis popular menyanyi, adalah antara cara paling mudah dan serasi bagi golongan muda hari ini menyambut hari kemerdekaan.
Bagi mereka yang meminati dunia puisi, medium berkenaan dianggap sebagai laluan paling berseni dalam memahami erti merdeka dan kemerdekaan.
Pendeklamasi puisi yang juga disebut sebagai deklamator, mereka juga mempunyai cara tersendiri dalam membawa pengaruh kasih dan sayang kepada negara bangsa melalui laras kesenian yang tersendiri.
Impak puisi bertema patriotik sebenarnya adalah sangat hebat walaupun terlalu subjektif untuk diukur nilai melalui pandangan mata kasar manusiawi.
Kepada golongan deklamator, puisi di sebalik puitis kata, cukup relevan dengan sambutan kemerdekaan apabila dengan sendirinya menimbul pemahaman yang lebih jelas dan lebih tepat tentang sesuatu tema yang mahu dibicara.
Apabila membicarakan tentang cinta negara melalui puisi, ia dengan cepat dapat dihayati kerana sifat puisi itu sendiri sudahpun menjadi satu budaya dalam masyarakat kita.
Sama ada orang itu gemar puisi atau tidak, tetapi apabila membaca puisi, dia akan tahu tentang apa yang dilontar.
Kecanduan kepada dunia puisi, khususnya deklamasi puisi menjadikan Lt. Kolonel Radzi Abdul Hamid pasrah menanti lebih satu dekad untuk bergelar Juara Sayembara Puisi Kebangsaan.
Bertahun-tahun memasuki pertandingan berkenaan, berkali-kali menerima kekalahan di tangan pesaing, akhirnya, tanggal 16 Ogos 2009, bertempat di Auditorium Tunku Abdul Rahman (MaTIC), melalui puisi Terima Kasih Pengalaman karya Solihin Osman, beliau berjaya meraih gelaran paling berprestij dalam lumba puisi peringkat dalam negara itu.
"Mencintai puisi dan mendeklamasi kepada khalayak adalah ketagihan yang penuh berseni. Hanya mereka yang mencintai puisi dan arena deklamasi yang akan faham mengenai rasa kecintaan ini," demikian ulas beliau sebaik saja namanya diumumkan sebagai juara.
Bagi bapa kepada tiga anak yang sudah lebih 20 tahun mengabdi hidup kepada pasukan keselamatan negara, puisi menjadi medium mendekatkan khalayak kepada rasa kasih dan sayang kepada nusa bangsa.
"Dalam era di mana pentingnya kita melestari semula makna merdeka di minda dan jiwa, puisi perlu memainkan peranan untuk generasi muda lebih menghargai kemerdekaan khasnya yang berbentuk patriotik," katanya lagi.
Menurut Radzi, dunia kepenyairan mempunyai barisan nama-nama hebat apabila menyentuh tentang karya berbaur patriotik.
"Memandang jauh ke belakang, penyair Afrini Adham pada tahun 1955 telah melahirkan puisi Malaya Pasti Merdeka. Puisi berkenaan dihasilkan dua tahun lebih awal daripada detik kemerdekaan negara, ia masih lagi releven dibaca dan dihayati oleh generasi muda hari ini.
"Sementara itu, Puisi Perjuangan Yang Belum Selesai karya bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya, telah mengingatkan generasi muda bahawa: Mengisi kemerdekaan rupanya lebih sukar dari bermandi keringat dan darah menuntutnya.
"Perjuangan Yang Belum Selesai adalah sebuah karya puisi moden yang begitu bermakna kerana menghantar mesej yang cukup tajam dan jelas kepada memakna kemerdekaan setelah lebih lima dekad kita meraihnya.
"Puisi seperti ini dapat menyubursegarkan semangat patriotisme dalam ruang lingkup luas, mengikut tafsiran generasi hari ini," katanya.
Nama-nama seperti Marsli NO, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Syukri Abdullah, adalah nama yang cukup konsisten dalam menyuarakan semangat patriotik melalui puisi.
Khalid Salleh, Pyanhabib dan kumpulan Kopratasa pula adalah di kalangan selebriti yang menjadikan puisi sebagai 'roh' dan 'semangat' perjuangan seni mereka.
Menurut penyair yang memenangi S.E.A Write Award, Dr. Lim Swee Tin, peranan puisi patriotik dalam memakna sambutan kemerdekaan, tidak harus dipandang mudah sekaligus peranan para deklamator juga wajar dijulang ke hierarki hebat.
Puisi dengan idealismenya yang cepat menangkap emosi apabila disampaikan oleh deklamator yang hebat. Gaya bersahaja, lantunan suara penuh bersemangat diiringi intonasi naik turun, memudahkan mesej sampai kepada khalayak pendengarnya.
"Bahasa kita mempunyai sihirnya atau kuasa makna yang tersendiri. Ia dapat mengembangkan minda dan mendorong kepada daya fikir, emosi dan pemahaman terhadap sesuatu acara yang sedang berlangsung.
"Dalam konteks inilah puisi yang menonjolkan semangat patriotisme akan menjadi sangat berkesan, impak dan signifikan apabila disampaikan oleh seorang deklamator yang hebat.
"Dalam hubungan yang sama, peranan pemilihan dan penggunaan kata sangat penting dalam puisi khususnya menyampaikan semangat patriotisme dan perjuangan.
"Puisi adalah satu seni tradisi dan warisan kita. Apa yang berlaku hari ini sebagai kelangsungan kepada puisi-puisi terdahulu yang dihasilkan oleh generasi masa lalu. Sebab itu kita dapati puisi begitu cepat mengangkat pancaindera kita, menakluk kalbu kerana tradisi berpuisi itu sendiri sudah semakin menyeluruh ke dalam masyarakat," katanya.
Fuzi Hadi, sang juara pertama daripada Sayembara Puisi Kebangsaan (tahun 1987) melihat puisi sebagai wadah paling berkesan dalam menyebar luaskan semangat kasih, cinta, dan sayang kepada negara.
Fuzi yang muncul dengan aura cukup mempesona di pentas puisi Demimu Palestin anjuran Kumpulan Utusan melalui puisi Genting Gaza, Genting Yang Genting pada awal Januari tahun ini di Istana Budaya, kini sedang rancak menerima tawaran menganjurkan bengkel deklamasi puisi di seluruh negara untuk berkongsi ilmu kesenian yang dimiliki.
"Anak-anak sekolah akan lebih menghayati apa yang dikatakan sayang dan kasih kepada negara tercinta seandainya 'bijak' bermain dengan bahasa puitis puisi," kata penyair kelahiran Kedah ini dengan bersemangat.
Sementara itu, Juara Deklamasi Puisi tahun 1996, Syukri Abdullah pula melihat puisi bernada tinggi dapat membawa khalayak terkeluar daripada ilusi kelekaan.
"Puisi adalah satu cara pengucapan yang berkesan, tidak statik, dapat membangkit semangat kesedaran kepada orang untuk lebih faham tentang jati diri bangsa," katanya yang juga antara deklamator yang masih lagi aktif menerima tawaran persembahan pentas mendeklamasi puisi di seluruh negara.
Meskipun dianggap sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan kesenian laras popular yang lain, puisi masih hidup dan berpijak di buminya yang nyata kerana diperjuang oleh kalangan pencinta setianya.
Meskipun imbuhan yang diterima oleh kalangan deklamator ini sangat tidak berbaloi dan diibarat bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan artis-artis popular, sekurang-kurangnya melalui 'kerja seni' mereka inilah, puisi kekal sebagai salah satu medium yang mempunyai maruah tersendiri.
Puisi melalui deklamator handalan ini menjadi 'senjata' yang cukup penting dalam menyebar luaskan mesej-mesej penting ke arah menjana sifat sayangkan nusa bangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: