Saturday, August 8, 2009

Keunikan gazebo ukiran kayu


WAKAF kayu menjadikan halaman rumah indah dan segar.


Anda suka bersantai di halaman rumah sambil menikmati minum teh bersama-sama keluarga, tetapi masih belum menjumpai konsep yang sesuai untuk digayakan?

Mungkin dengan meletakkan gazebo atau wakaf kayu di laman rumah dapat menyerlahkan lagi persekitaran rumah, lebih-lebih lagi dengan sentuhan Melayu Nusantara.

Lazimnya, ramai orang lebih suka dengan konsep Bali dan Inggeris. Namun, tidak salah sekiranya mencuba gaya Melayu Nusantara kerana hasilnya pasti mengujakan si pemilik rumah.

Jika melangkah masuk ke KS Klasik Enterprise, sukar untuk membuat pilihan tepat kerana terdapat pelbagai jenis bentuk dan saiz barangan ditawarkan kepada pelanggan, selain hasil kerja yang sangat kreatif.

Pemiliknya, Mohd. Khatib Abu Bakar, 26, memberitahu perniagaan itu asalnya dibangunkan oleh arwah bapa, Abu Bakar Mohd Yatim sejak 20 tahun lalu yang menjual kayu-kayan untuk dibuat rumah.

Kedai yang terletak di Kilometer 6, Jalan Putra, Kuala Sungai, Alor Setar itu juga ada membuat kerja-kerja sampingan seperti menghasilkan bingkai gambar berukiran secara kecil-kecilan.

"Masa itu, bisnes arwah bapa lebih kepada menjual kayu-kayan untuk pembinaan rumah. Tetapi, lama-kelamaan bisnes semakin serius apabila saya sendiri berminat dengan ukiran-ukiran kreatif," katanya.

Mohd. Khatib menambah, sejak di tingkatan satu lagi, minatnya untuk menghasilkan ukiran daripada kayu telah bercambah. Usahanya itu mendapat perhatian salah seorang rakan arwah bapa yang dikenali sebagai Pak Long dengan mengajarnya selok-belok seni ukiran.

"Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya terus menceburi bidang ini dan menghasilkan barang-barang hiasan daripada kayu.

"Disebabkan minat yang mendalam, saya pernah membuat reban ayam serama. Namun, sekadar untuk suka-suka," katanya.

Produk lain yang dihasilkan oleh syarikatnya termasuklah pintu pagar ukiran kayu, tingkap, ukiran kerawang kayu dan membina chalet.

Untuk menyiapkan semua produk tersebut, dia telah mengupah seramai 13 orang pekerja tempatan yang tahu tentang selok-belok ukiran dan membina rumah berasaskan kayu.

"Kami pernah mendirikan calet kayu di Kem Kenari, Yan Kedah. Setakat ini, tempahan yang diterimanya amat menggalakkan sehingga ke Pulau Pinang," jelasnya lagi.

Menyentuh soal harga pula, sudah pasti ia merupakan pelaburan berbaloi. Harganya berpadanan dengan penghasilan yang halus dan berseni kerana penggunaan kayu bermutu tinggi seperti merbau, tualang serta cengal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: