Saturday, August 8, 2009

Batu asas tapak asal USM


Ahmad Shukri (tiga dari kiri) bersama para mahasiswa melihat batu asas USM selepas merasmikan prapelancaran Convex 09 di Kem Batalion Ke-2 RAMD Sungai Ara, Pulau Pinang, baru-baru ini.


SEMPENA genap 40 tahun penubuhan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, pelancaran Ekspo Konvokesyen (Convex 09) USM yang akan diadakan pada 11 Ogos nanti cukup berbeza dan unik. Jika tahun-tahun sebelumnya, majlis tersebut bertempat di Dewan Tuanku Canselor, kali ini ia diadakan di Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sungai Ara.

Signifikannya kerana batu asas penubuhan USM atau dulunya dikenali Universiti Pulau Pinang terletak di dalam kem tersebut yang ketika itu disempurnakan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Namun, atas beberapa masalah termasuk faktor strategik, cadangan itu berubah apabila lokasi universiti berteraskan sains itu dipindahkan ke Bukit Minden manakala tapak sedia ada di Sungai Ara itu dijadikan kem tentera.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, selepas 40 tahun bertapak sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terbaik negara, banyak peristiwa dilalui USM.

"Pencapaian yang dibuat di peringkat tempatan dan antarabangsa itu pastinya membanggakan para penuntut serta seluruh warga USM.

"Saya berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan USM sebagai menara ilmu dan meletakkan namanya di persada dunia," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis prapelancaran Convex 09.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Pemerintah kem itu, Lt. Kol. Muhammad Huzaimi Sabri dan Pengarah Convex 09, Elrafida Syahfitri.

Pada majlis itu juga, satu siri pengkisahan sejarah penubuhan USM telah disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pemajuan dan perhubungan Alumni Anjung Budi USM, Prof. Madya Mohamed Talhah Idrus.

Upacara Konvokesyen USM akan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos ini di Dewan Tuanku Syed Putra manakala Convex 09 bermula sehari lebih awal.

Antara program yang akan diadakan sepanjang Convex 09 ialah Kejohanan Futsal: Jaguh Kampung, Forum perpaduan: Siapa Yang Tidak Bertoleransi, Persembahan 1Siswa for 1Malaysia, Hari OKU: Caring is Loving dan banyak lagi.

Selain itu, pameran dan gerai jualan juga disediakan sepanjang ekspo yang bertemakan Convex 09 Untuk 1Malaysia itu dan penduduk negeri ini dijemput hadir bagi memeriahkan lagi penganjuran Convex USM edisi tahun 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: