| SEKIAN lama membujang, bukan senang Norman Abdul Halim, 37, membuat keputusan untuk berumah tangga. Paling penting untuk mencari keserasian dan kesesuaian dengan pasangan untuk berkongsi hidup. Sebagai abang sulung, Norman juga tidak tertekan apabila jodoh adiknya, Edry, Yusry dan Halina sampai dulu. |
Jika pasangan di Barat mencari keserasian dengan tinggal serumah sebelum berkahwin, tetapi Norman yang sudah 11 tahun berkenalan dengan Dr Shireen Mardziah Hashim, 44, memilih cara dengan mempelawa buah hatinya itu bekerja bersamanya menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif KRU International .
“Dua tahun lalu saya mempelawa Shireen bekerja dengan KRU International sebagai ujian sama ada kami serasi bersama atau tidak. Sebelum itu, saya minta persetujuan Edry dan Yusry. Oleh itu tidak benar Shireen menyertai KRU International kerana hendak menjalin hubungan intim dengan saya.
“Sebelum ini, Shireen sudah mempunyai pekerjaan yang bagus di syarikat multinasioanl (syarikat tembakau) yang beribu pejabat di luar negara. Ketika bekerja di bawah satu bumbung, memang banyak dugaan dan cabarannya. Saya pula apabila bekerja, sangat tegas dan saya mahu Shireen mengenali siapa saya yang sebenar.
“Hubungan cinta saya kali ini ‘menjadi’ kerana kematangan Shireen menghadapi kerenah saya. Sepanjang kami bekerjasama, dia tidak pernah mengganggu kerja saya yang banyak berurusan dengan orang luar. Daripada pengalaman, sukar hidup bersama pasangan selebriti kerana terlalu banyak tekanan.
“Jadi, apabila saya mengambil keputusan untuk berkahwin, cukuplah saya seorang menceburi dunia hiburan. Kematangan Shireen perlu untuk kebahagiaan rumah tangga kami. Shireen buat hidup saya tenang dan jiwa tenteram,” katanya ketika ditemui di majlis pernikahan mereka, Jumaat lalu.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Pada majlis pernikahan yang ringkas tetapi meriah itu, Shireen menerima mas kahwin RM3,000, barang hantaran termasuk sepersalinan baju, tepak sirih, wangian dan coklat.
Pengantin lelaki membawa tepak sirih, sepasang baju Melayu, kemeja, kek dan wangian. Mereka berlepas ke New Zealand untuk berbulan madu selama seminggu sehari selepas nikah.
Belajar daripada kesilapan orang lain, Norman tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran sebaliknya buat yang wajib saja.
“Malam ini (pernikahan) bukan saya tidak mahu bersanding, tetapi takut ia menjadi majlis yang besar. Saya tidak mahu itu berlaku. Saya rancang majlis pernikahan ini kecil saja tetapi meriah juga jadinya. Saya juga beritahu kawan-kawan tidak boleh jemput ramai kerana tempat ini kecil.
Norman pilih tarikh 7.8.09 kerana dia sukakan nombor menaik dan memilih Jumaat agar beroleh keberkatan daripada Allah SWT.
“Saya sudah ‘simpan’ tarikh ini lebih kurang sembilan bulan lalu, namun tiada yang tahu. Sebenarnya saya merancang mengadakan majlis pernikahan di Sydney, Australia, kerana suasana di sana romantik dan tenang serta untuk mengelakkan tekanan. Jika buat dalam negara, mengadakan majlis besar atau kecil akan tetap diperkatakan orang.
“Tetapi saya tidak boleh lari daripada realiti siapa saya. Akhirnya saya dan Shireen berbincang semula dan bersetuju bernikah di sini dalam suasana serba sederhana,” katanya.
Mengenai percintaan dijalin selama dua tahun, tiada siapa yang tahu kerana Norman ada cara sendiri untuk menyembunyikan kisah cintanya.
“Masa bercinta, kami selalu bertemu di tempat yang tidak glamor dan tidak ramai orang. Bukan hendak lari daripada sesiapa, tetapi apabila terlalu banyak spekulasi, ia menimbulkan tekanan dan menyebabkan hubungan yang terjalin jadi retak. Saya mahu menikmati alam percintaan seperti orang biasa,” katanya.
Sebagaimana pasangan lain, Norman juga menginginkan zuriat. Memandangkan Shireen sudah berusia, mereka akan terus berusaha mendapatkan cahaya mata.
“Sudah tentu saya mahukan anak dengan segera dan jika sudah bertambah bilangan ahli keluarga, saya lebih suka Shireen jadi suri rumah. Saya cuba mencontohi rumah tangga Edry dan isterinya Milia yang dikurniakan tiga anak.
“Kerja suri rumah tidak pernah habis, tetapi urusan rumah tangga Edry berjalan lancar kerana Milia tidak bekerja. Sebagai suami, biarlah saya seorang bekerja keras mengumpul harta,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: