![]() DATUK Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim (kiri) dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim (kanan) menunjukkan trofi yang akan diberikan kepada pemenang FFM22 sambil diperhatian pelakon, pengarah dan penerbit, Hans Isaac (dua dari kiri) dan pelakon remaja, Ainul Aishah (dua dari kanan) selepas sidang akhbar FFM22 di Novotel, 1B di Kota Kinabalu, baru-baru ini. |
Datuk Bandar Kota Kinabalu ajak rakyat Sabah memeriahkan majlis yang memartabatkan penggiat seni tanah air
ORANG ramai khususnya di sekitar Kota Kinabalu dijemput memeriahkan pelbagai program dilaksanakan penganjur sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang akan diadakan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 5 Ogos hingga 8 Ogos ini.
Bermula dengan beberapa bengkel yang akan diadakan seperti penulisan skrip, lakonan, penerbitan video dan lawatan artis menerusi jelajah Kota Kinabalu, kemuncak program berprestij ini akan diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 8 Ogos ini mulai jam 7 malam.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim yang juga penganjur bersama FFM22, berharap rakyat di negeri ini akan hadir memeriahkan majlis itu khususnya malam kemuncak kerana sebanyak 5,000 tiket akan diberikan secara percuma untuk menyaksikan majlis gilang gemilang itu.
"Kita berbangga setelah menunggu hampir 21 tahun, akhirnya Sabah menjadi tuan rumah acara ini. Kita juga berharap orang ramai di negeri ini akan mengambil peluang menghadiri festival filem yang julung kali dianjurkan khususnya untuk melihat secara dekat pelakon yang diminati.
"Saya difahamkan lebih 20 filem akan ditayangkan secara percuma dan orang ramai perlu mengambil peluang ini untuk sama-sama menyokong filem negara," katanya sambil menambah tiket percuma boleh diperoleh di pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Beliau berkata demikian dalam sidang media FFM Ke-22 di Novotel 1Borneo, di Kota Kinabalu, baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim.
FFM22 akan berlangsung di sekitar Kota Kinabalu dan UMS pada 5 Ogos hingga 8 Ogos ini yang dijangka disertai kira-kira 600 orang yang terbabit dalam industri perfileman negara.
Ia adalah anjuran bersama Finas dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan kerjasama Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan kerajaan negeri Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.
Penganjuran FFM22 yang bertemakan Filem Malaysia ke Persada Dunia mendapat sokongan Kementerian Perpaduan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sementara itu, Mohd Mahyidin berkata kos keseluruhan penganjuran FFM22 adalah sebanyak RM2.8 juta dengan bantuan dan sokongan kerajaan negeri Sabah serta Kementerian Perpaduan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Katanya, setakat ini sebanyak 26 filem cereka, filem dokumentari (74), filem pendek (67), filem animasi (28) dan filem digital (enam) sudah menghantar penyertaan mereka.
"Di antara filem cereka bertanding yang belum ditayangkan di pawagam adalah seperti Papadom, Momok The Movie, Jalang dan Jomlah C.I.U.M," katanya.
Sebanyak 26 filem cereka mengesahkan penyertaan antaranya Kami The Movie, Budak Kelantan, Histeria, Jin Hutan, Sayang U Can Dance, Jangan Tegur, Antoo Fighter, Syurga Cinta, Talentime, Maut, Geng: Pengembaraan Bermula, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Senario The Movie: Episode 1, Los Dan Faun, Tipu Kiri Tipu Kanan, Selamat Pagi Cinta, Cicak-Man 2: Planet Hitam, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.
Katanya, turut memeriahkan FFM22 kali ini adalah majlis makan malam negeri dan malam bintang lagenda yang akan diadakan di Grand Ballroom Sutera Harbour pada 6 Ogos, mulai jam 7 malam.
"Majlis ini akan meraikan golongan artis lagenda yang sudah mengangkat martabat industri perfileman klasik di negara ini," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: