Monday, August 10, 2009

'Kakak buat filem bukan untuk anugerah'


Orked Ahmad (kiri) dan Yasmin Ahmad.

JASADNYA kini aman bersemadi, namun dirinya akan terus diingati sebagai seorang insan seni yang berjasa dan menyumbang bakti kepada pembangunan industri perfileman tempatan.

Dia hanya satu dan kehilangannya tidak mungkin ada pengganti. Sesungguhnya nama Allahyarham Yasmin Ahmad akan terus mekar dan memahat di hati penggemar dunia hiburan sebagai seorang pengkarya yang berjaya menyentuh hati sanubari masyarakat lewat garapannya yang kreatif.

Andai empat tahun lalu, sentuhannya menerusi Sepet dijulang sebagai Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-18 (FFM18), namun gagal menobatkannya sebagai Pengarah Terbaik, FFM22 membawa trofi itu kembali kepadanya.

Untuk kategori itu, Yasmin mengenepikan saingan terdekatnya, Afdlin Shauki menerusi garapannya dalam Papadom dan Bade Haji Azmi (Maut) selain Pierre Andre (Jangan Tegur) dan Ahmad Idham (Syurga Cinta).

Kemenangan menerusi Talentime terbitan Grand Brilliance itu memberikan Yasmin trofi dan wang tunai RM20,000.

Yasmin juga unggul apabila kembali meraih trofi Lakon Layar Terbaik, selain Talentime menambah dua lagi kemenangan menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Mohd Shafie Naswip) dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik (Jaclyn Victor).

Talentime turut memenangi Anugerah Khas Juri - Membawa filem ke dimensi baru yang segar dan berkekalan.

Suasana sebak dan mengharukan menyelubungi Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika adiknya, Orked Ahmad memberikan ucapan sebaik arwah Yasmin diumumkan pengacara, Fahrin Ahmad dan Vanidah Imran sebagai pemenang.

"Kakak mesti rasa sangat bersyukur dan gembira menerima anugerah ini, satu anugerah yang beliau impikan. Kakak saya membuat filem bukan meraih pujian atau anugerah, sebaliknya untuk menggembirakan hati ibu bapa kami serta menggambarkan suasana pahit manis kehidupan sebenar," katanya dalam sebak yang tertahan.

Tambah Orked lagi, ketika hayatnya arwah Yasmin sebelum tidur akan memohon ampun daripada Tuhan serta memaafkan semua orang yang pernah menyentuh perasaannya.

Justeru katanya, mereka sekeluarga juga berharap semua orang dapat memaafkan kesalahan arwah Yasmin serta mendoakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Terdahulu, FFM22 turut memberi penghormatan kepada pengarah itu dengan menayangkan klip video khas memaparkan petikan filem serta iklan arahan Allahyarham menampilkan penyanyi serta pelakon, Adibah Noor sebagai suara latar.

Segmen itu turut diperkuatkan dengan kemunculan juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy membawakan lagu Angel selain Ray mempersembahkan Pergi sebagai mengenang pemergian Yasmin.

Yasmin, 51, menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai lalu jam 11.25 malam selepas diserang strok dan mengalami pendarahan serius di bahagian otak.

Kesempatan itu juga diambil Orked untuk berterima kasih kepada semua masyarakat Malaysia dan luar yang berada di sisi keluarga mereka ketika dibendung suasana kesedihan apabila kehilangan orang yang disayangi.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham, Primeworks Studios bersama beberapa pengusaha pawagam bekerjasama dengan menayangkan kembali filem arahannya itu bermula 13 Ogos ini dalam jangka masa tertentu.

Sesi tayangan itu diadakan di beberapa pawagam terpilih di seluruh negara dan setiap RM1 daripada penjualan tiket akan disalurkan kepada badan tertentu.

"Yasmin ialah ikon industri perfileman dan kehilangannya akan terus dirindui semua. Ini adalah cara kami untuk menghargai segala hasil kerjanya serta memberi peluang kepada penonton untuk menikmati karyanya di layar lebar sekali lagi ," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

INFO: Tayangan Talentime

  • GSC Cinemas di Mid Valley Megamall (Kuala Lumpur); Queensbay Mall, Pulau Pinang); Sunway Carnival, Prai; Dataran Pahlawan, Melaka dan Alamanda, Putrajaya

  • TGV Cinema di KLCC; Bukit Tinggi (Klang); Bukit Raja (Klang); Tebrau City (Johor); Cheras Selatan (Kuala Lumpur); IUtama (Petaling Jaya)

  • MBO CInemas di Ampang, Selangor; Batu Pahat Mall ; MBO Kluang dan MBO Skudai (Johor)

  • Pawagam persendirian di Growball, Kota Kinabalu dan The Mall (Brunei Darussalam)

  • Big Cinemas dan Lotus 5 Star di Taiping, Perak; Teruntum, Kuantan; Riverside, Kuching dan Alor Setar, Kedah.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: