Monday, August 10, 2009

'Ini filem mengenai keluarga saya'




Karya terbitan tayangan Unggul Sdn Bhd bakal temui peminat pada 8 Oktober

KEMENANGAN Papadom yang diangkat sebagai Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) malam kelmarin, mempunyai signifikan kepada pengarahnya, Afdlin Shauki kerana garapan terbarunya yang bakal menemui peminat pada 8 Oktober depan begitu dekat di hatinya.

Afdlin berkata, Papadom diilhamkan daripada perjalanan kisah keluarganya sendiri lantaran kesibukannya membina kerjaya membuatkan masa untuk bersama famili dan anak-anak terbatas.

Cerita pengarah berusia 38 tahun ini, ketika membawa keluarganya bercuti, terdetik sebuah persoalan yang memberi impak besar kepada dirinya. Bagaimana hidupnya jika ketiadaan isteri suatu hari nanti?

"Saya terfikir apa akan saya lakukan ketika itu? Persoalan itu yang memberi ilham untuk melahirkan Papadom yang juga menjadi jawapan jujur saya kepada perkara itu.

"Mungkin ketika ini kebanyakan bapa tidak berdepan masalah itu kerana masih mempunyai isteri, tetapi bagaimana jika isteri mereka tiada nanti? Bagaimanapun, saya tidak menggarap kekuatan Papadom kepada elemen kekeluargaan semata-mata.

PENERBIT Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Pillai (kanan) menerima trofi Filem Terbaik FFM22.

"Sebaliknya Papadom juga dilihat dari perspektif remaja sekarang yang memberontak inginkan kebebasan namun dalam perkara ini tiada siapa yang salah kerana setiap insan mempunyai keinginan serta alasan sendiri mengapa memilih untuk membuat sesuatu keputusan," katanya.

Papadom terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd, selain memperlihatkan keunggulan Afdlin sebagai Pelakon Lelaki Terbaik buat kali ketiga selepas memenanginya pada FFM15 dan FFM19 turut mengiktirafnya dalam kategori Cerita Asal Terbaik.

Papadom juga merangkul dua trofi lain menerusi kemenangan Liyana Jasmay (Pelakon Wanita Terbaik) dan Syed Ahmad Faizal atau Pacai (Skor Muzik Terbaik).

Afdlin juga cemerlang apabila sebuah lagi sentuhannya, Los dan Faun diangkat panel juri sebagai Filem Komedi Terbaik.

DATUK AZIZ SATTAR menerima trofi Artis Veteran Lelaki bagi pihak seniman, S Shamsuddin yang tidak dapat hadir.

Dilihat sebagai antara anak seni yang begitu sinonim dengan kejayaan dan pengiktirafan, Afdlin berkata, dia berkarya bukan untuk mengejar anugerah serta pujian.

Sebaliknya kata Afdlin, dia ingin mengumpul lebih ramai penggemar filem Melayu keluar menonton karya garapannya membuatkan dia tidak pernah berhenti berusaha menghasilkan produk terbaik.

:"Saya membikin filem bukan kerana mengejar keuntungan, sebaliknya ingin bercerita serta membuka mata orang dengan dunia kita. Alhamdulillah, Papadom menerima pengiktirafan awal membuatkan saya berharap ramai yang akan keluar menonton apabila ditayangkan kelak.

"Kemenangan ini memberikan saya harapan, malah saya ingin melihat lebih ramai penonton ke pawagam untuk mendapatkan jawapan mengapa filem ini layak diangkat sebagai Filem Terbaik, FFM22," katanya.

Nama yang begitu sinonim dengan genre komedi itu berkata, Papadom juga tidak dapat lari daripada elemen itu.

Bagaimanapun, ada sesuatu lebih penting yang cuba dipaparkannya menerusi filem yang turut membariskan pelakon seperti Farid Kamil, Que Haidar, Scha Al Yahya, Noorkhiriah dan Chelsia Ng.

"Papadom amat penting untuk ditonton kerana ia mengingatkan diri kita banyak kekurangan. Ia mempunyai banyak lapisan yang menjadi rencah kepada kehidupan kita secara peribadi," katanya.

Disaing hebat dua filem lain iaitu Talentime dan Setem, Afdlin berkata, dia berbangga dapat bersama dua pengarah yang diakui kredibiliti dalam industri perfileman menyebabkan dirinya langsung tidak memikirkan soal kalah atau menang.

Bagi Afdlin, sebagai pencinta filem dia ingin sekali melihat filem tempatan berjaya serta lebih maju dan diakui khalayak.

Afdlin bagaimanapun, menyimpan sedikit perasaan terkilan apabila Kabir Bhatia tidak layak dicalonkan untuk kategori seperti Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

"Kredibiliti Kabir dan arwah Yasmin Ahmad sudah diakui dan apabila bersama dua nama ini, kalah atau menang tidak lagi menjadi persoalan besar kepada saya," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang sebak ketika naik menerima anugerah itu, Afdlin berkata, ada dua perkara utama yang membuat dia tidak dapat menahan perasaan sebaik trofi Filem Terbaik berada di genggamannya.

"Saya sebak mengenangkan arwah Yasmin yang sudah tiada. Jujurnya kami tidak terlalu rapat tetapi kami selalu berhubung dan berbincang bagaimana mahu membikin filem yang bagus dan bermutu.

"Setiap kali dia selesai mengarah sesebuah filem, arwah pasti akan mengajak untuk menonton dan secara peribadi, kehilangannya amat dirasai apatah lagi dia juga seorang yang lantang bersuara mempertahankan pendiriannya.

"Saya menghadiri festival ini bukan untuk mengambil anugerah, sebaliknya meraikan penggiat seni tetapi apabila Papadom memenangi Filem Terbaik, saya menjadi begitu terharu.

"Papadom begitu dekat dengan diri saya, ia adalah filem mengenai diri saya," katanya.

FFM22 turut menyaksikan kecemerlangan Talentime yang memberikan karya terakhir Yasmin trofi Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik (Mohd Shafie Naswip) dan Anugerah Khas Juri - Membawa filem ke dimensi baru yang segar dan berkekalan.

Berlangsung penuh meriah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), FFM22 turut memberi penghormatan buat arwah Yasmin yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 25 Julai lalu menerusi segmen khas yang dijayakan penyanyi kelahiran Sabah, Stacy dan Ray membawakan lagu Angel dan Pergi.

Bangga tetapi ada rasa kecewa di hati juri

BIARPUN meraih jumlah penyertaan yang selesa, meningkat dengan hasil kerja karyawan yang pada umumnya membanggakan namun panel juri FFM22 meluahkan perasaan kecewa kerana masih terdapat filem yang bercanggah dengan nilai bertentangan agama, kepercayaan, tatasusila serta adat negara.

FFM22 yang mengangkat tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, namun tidak kesemua filem yang dihasilkan mampu menjulang nama serta produksi tempatan ke pentas antarabangsa.

Ketua Juri FFM22, Tan Sri Kamarul Ariffin berkata, pada umumnya kesemua 26 filem cereka yang dipertandingkan memperlihatkan keupayaan karyawan untuk mempertingkatkan tahap lakonan dan teknikal.

Bagaimanapun, keupayaan itu tidak diimbangi dari segi cerita dan idea asal membuatkan sesetengah karya hambar dan lambat laun akan ditolak penonton.

"Sekiranya filem Malaysia mahu berhijrah ke persada dunia untuk diterima masyarakat fiem dan penonton antarabangsa, persembahan dalam semua aspek perfileman harus mengatasi piawaian seni yang berkualiti tinggi.

"Kesemua aspek seni itu harus dinilai dari sudut kecemerlangan serta berjaya menyentuh naluri penonton. Filem berhemah tinggi bukan sekadar menghiburkan penonton, sebaliknya meninggalkan kesan mendalam di sanubari khalayak," katanya.

Kamarul berkata, panel juri FFM22 berdepan dengan beberapa filem yang tidak meninggalkan teladan yang baik, selain mempersendakan institusi kenegaraan serta mencampur adukkan agama dan kepercayaan yang mengelirukan.

Bahkan katanya, terdapat juga karya yang menonjolkan cara hidup keterlaluan seolah mengetengahkan budaya baru.

Katanya, sekalipun pengkarya mempunyai hak untuk bersuara namun merujuk kepada aspek perfileman, kebebasan itu tertakluk di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 serta Undang-Undang Penapisan Filem.

"Sehubungan itu, kami menyaran supaya Finas sebelum mengeluarkan Lesen Untuk Mengambil Bahagian Dalam Pengeluaran Filem bersama pakar dalam golongan berkaitan meneliti skrip terlebih dulu .

"Ia bertujuan membantu penerbit menghasilkan lakon layar yang bukan saja memenuhi cita rasa penonton tempatan, sebaliknya juga khalayak aneka bangsa.

"Penelitian panel skrip bersama pakar yang dilantik Finas secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan menerbitkan sesebuah filem yang membabitkan babak tidak sesuai atau diharamkan sama sekali," katanya.

Selain Kamarul, panel juri yang dilantik ialah Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Profesor Dr Naim Ahmad dan Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar.

INFO: Senarai Pemenang Anugerah FFM22

  • Filem Terbaik: Papadom.
  • Pengarah Terbaik: Yasmin Ahmad - Talentime.
  • Pelakon Lelaki Terbaik: Afdlin Shauki - Papadom.
  • Pelakon Wanita Terbaik: Liyana Jasmay - Papadom.
  • Lakon Layar Terbaik: Yasmin Ahmad - Talentime.
  • Cerita Asal Terbaik: Afdlin Shauki - Papadom.
  • Sinematografi Terbaik: Mohd Nor Kasim - Setem.
  • Penyunting Terbaik: Faizul Mohd Noh - Setem.
  • Skor Muzik Asal Terbaik: Syed Ahmad Faizal - Papadom.
  • Filem Komedi Terbaik: Los dan Faun - Vision Works.
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Mohd Shafie Naswip - Talentime.
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Salina Saibi - Bohsia.
  • Penataan Seni Terbaik: Nazrul Asraff Mahzan - Setem.
  • Penataan Bunyi Terbaik: Mohd Mohsin Othman - Cicakman 2.
  • Pengarah Harapan - James Lee - Histeria.
  • Pereka Kostum/Busana: Shen Imagineering - Cicakman 2.
  • Anugerah Khas Juri:
    Talentime - Membawa filem ke dimensi baru yang segar dan berkekalan.
    Kami The Movie - Karya yang mencapai imaginasi golongan muda dengan berkesan.
    Histeria - Olahan keseluruhan yang kemas, bersama suntingan yang baik dan mempunyai elemen seram, suspen dan bersahaja.
  • Geng: Pengembaraan Bermula: Animasi panjang yang mempunyai watak dan jenama sendiri
  • Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Omar Man
  • Artis Veteran Lelaki: S Shamsudin
  • Artis Veteran Wanita: Mariani Ismail
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: