Saturday, August 29, 2009

Juadah berbuka


SEORANG remaja menyusun cawan-cawan berisi minuman manis di sebuah masjid di Lahore. – AFP


KEDATANGAN Ramadan diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan pelbagai cara. Banyak kegiatan dilakukan sempena menyambut bulan penuh berkat ini. Menariknya, ada antara aktiviti itu hanya dapat dilakukan pada bulan Ramadan, misalnya bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.

Ini jelas kelihatan di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Di Pakistan, penduduknya tidak ketinggalan bekerjasama menyediakan hidangan berbuka puasa.


SEORANG lelaki menggoreng kuih di sebuah kedai di Karachi. Kuih itu bakal dihidangkan kepada tetamu untuk berbuka puasa. – AFP


Walaupun negara itu tidak mewah, tetapi berkat Ramadan, hidangan tradisi masih dapat disediakan di masjid-masjid di seluruh Pakistan.

Cerita bergambar yang dipaparkan dalam ruangan ini menunjukkan kesibukan warga bandar raya Karachi dan Lahore menyediakan juadah berbuka puasa. Kemeriahan menyediakan juadah berbuka lebih terasa di masjid-masjid. Ada hidangan disajikan di dalam talam dan makanan di dalam talam itu dikongsi bersama beberapa jemaah. Jika di Malaysia, cara hidangan seperti itu adalah seperti menikmati Nasi Ambang yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa, khususnya di sekitar Johor.


DUA lelaki mengangkat besen besar yang di dalamnya berisi dulang-dulang makanan untuk hidangan berbuka puasa di sebuah masjid di Karachi. – AFP


Namun, hakikatnya, di mana-mana sahaja ceruk dunia, aktiviti memasak untuk makan beramai-ramai di masjid telah menjadi satu amalan tradisional termasuk seperti apa yang ditunjukkan oleh penduduk di Pakistan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: