Saturday, August 29, 2009

Tetamu di Borneo terpencil


ANAK-ANAK Pulau Omadal tidak ketinggalan menemani bapa mereka meraih rezeki dengan menjala ikan di laut.


TIDAK dapat diduga apakah cabaran yang bakal ditempuhi apabila penulis mendapat tugasan dalam penerbitan program Jelajah Ramadan untuk siaran TV9. Kalau bukan kerana kajian latar belakang tentang destinasi yang hendak dituju, mungkin saya dan krew seperti hilang punca.

Program itu telah membawa kami ke beberapa lokasi terpencil di Sabah dan Sarawak yang kami sendiri tidak pernah ketahui. Mungkin ada ramai lagi rakyat negara ini yang belum menjejakkan kaki ke sana, apatah lagi membayangkan keadaan serta suasana di desa terselindung seperti Kampung Long Busang di Belaga, Sarawak.

Kami difahamkan, komuniti berbangsa Kenyah di kampung itu hanya membentuk populasi seramai 700 orang. Sosioekonomi masyarakatnya pula adalah aktiviti tradisional seperti bertani dan berburu di hutan.

Perjalanan ke Long Busang mengambil masa dua hari dari Kuching. Usai mendarat di Lapangan Terbang Sibu, saya dan krew penerbitan dokumentari terpaksa bergegas ke jeti di bandar itu kerana bimbang 'ditinggalkan' mod pengangkutan seterusnya.

Perkhidmatan bot panjang yang terhad serta tempoh perjalanan yang panjang untuk menyusuri Sungai Rajang perlu dilalui terlebih dahulu. Itupun, kami perlu bermalam dahulu di pekan Kapit. Keesokannya, selepas subuh, kami meneruskan perjalanan semula dan tempoh selama tiga jam habis begitu sahaja di atas dada sungai.

Terseksa


PENULIS teruja untuk sampai ke Kampung Long Busang setelah menempuh perjalanan yang jauh dan memenatkan.


Disangkakan perjalanan itu sudah berakhir, namun kenderaan pacuan empat roda pula menunggu kami untuk dibawa ke desa yang dikelilingi bukit bukau. Empat jam kami 'terseksa' di sepanjang laluan lori balak yang tidak rata. Sejurus kami tiba di Long Busang, mentari sedang melabuhkan tirainya.

Saat kami tiba, kelihatan orang kampung sedang sibuk membuat persiapan menanam padi bukit (padi huma). Meramahkan diri bertanya, barulah saya tahu bahawa tanaman ruji itu merupakan bekalan makanan mereka untuk tempoh setahun.

Saat itu baru terimbas semula pemandangan di lereng bukit yang gondol dan pokok-pokok kayu sedang dibakar seperti yang dilihat ketika mula-mula tiba.

Walaupun kaum Kenyah kurang dikenali berbanding orang Penan mahupun Iban, namun budaya mereka tidak jauh berbeza. Mereka rajin mengusahakan tanah yang dianugerahkan kesuburan. Di sini, subsidi baja umpama satu ironi!

Niat untuk mengutus pesanan ringkas melalui telefon bimbit dipadamkan sahaja kerana tiada liputan diterima. Maka, dalam menikmati malam yang tenang itu, hanya tarian Ngajat menjadi penghubung antara orang luar dengan penduduk kampung. Setiap pergerakan dan lenggok tubuh penari sebenarnya diilhamkan daripada aktiviti pertanian sejak dahulu lagi.

Tanpa bekalan elektrik, orang kampung menggunakan generator untuk menonton televisyen. Itupun hanya digunakan antara pukul enam petang hingga 11 malam.

Air bukit

Ada sesuatu yang kami amat teruja. Bekalan air diperoleh secara terus dari punca mata air dari atas bukit. Bayangkan betapa segarnya badan saya setiap kali selepas mandi.

Penduduk Islam di kampung itu hanya dalam lingkungan 200 orang berbanding penganut Kristian, tetapi hubungan erat antara mereka telah mencanang seruan perpaduan untuk kita sama-sama hayati.

Sememangnya, tiada jurang agama memisahkan kemuafakatan di kampung itu sehinggakan ada ahli keluarga yang tinggal serumah walaupun berlainan kepercayaan.

Kami turut diberitahu, setiap kali hendak menyambut Aidilfitri mahupun majlis perkahwinan, penduduk yang beragama Kristian turut bergotong royong menyediakan juadah serta kuih raya dan begitulah sebaliknya. Ayam pansuh (ayam yang dimasak di dalam buluh) tentunya menjadi sajian istimewa kami!


SEMPAT bergurau senda dengan sebuah keluarga di pondok ladang mereka.


Dari Sarawak ke Sabah

Pulau Omadal dan Kampung Bangau Bangau di Semporna, Sabah, didominasi oleh Bajau Laut yang bekerja sebagai nelayan.

Bilangan penduduk di kedua-dua kampung itu dianggarkan seramai 3,000 orang.

Rumah mereka di tengah laut hanya berdinding dan berlantaikan kayu bakau dan berlubang di sana sini sekali gus mengubah pandangan penulis tentang kehidupan yang serba sempurna.

Permainan anak-anak mereka hanyalah perahu dan ikan terumbu karang yang berwarna warni di bawah rumah, tetapi mereka tetap bersyukur dengan apa yang mereka miliki. Kaum ibu tidak pernah risau anak mereka lemas ketika air pasang kerana budak umur tiga tahun pun sudah tahu berenang!

Satu keluarga seramai 12 orang tinggal dalam rumah yang sempit dan hanya mempunyai satu bilik. Bagaimana mereka tidur? Orang lelaki tidur di pangkin luar. Tidak sejukkah di luar?

Kedudukan Pulau Omadal yang agak jauh dari pekan Semporna (perjalanan hampir tiga jam dengan bot berenjin 15 kuasa kuda) memaksa mereka mengeringkan hasil laut sebelum dipasarkan.

Di pelantar rumah mereka penuh dengan ikan todak yang dikeringkan. Ketika air surut, kaum wanita dan remaja perempuan berlari mencari siput duri dan rumpai laut untuk dijadikan juadah wajib santapan malam.

Sebelum menganut Islam, kaum Bajau Laut di sini tidak mempunyai agama. Ada yang percaya asal usul Bajau Laut dari negara jiran, Filipina. Suatu masa dahulu, mereka gemar berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain bergantung kepada hasil tangkapan ikan. Mungkin itulah yang membuatkan mereka terdampar di Sabah. Rumah mereka hanyalah sampan.


ANTARA juadah berbuka puasa yang disediakan oleh keluarga tempatan.


Sehingga kini, masih ada keluarga yang menetap di dalam bot dan apabila perlu ke laut, seluruh ahli keluarga turut serta kerana bot itu jugalah yang akan membawa pulang ikan ke darat. Mendengar cerita orang tua di sana, orang Bajau Laut pantang memijak tanah.

Jika ke darat, pasti akan jatuh sakit dan mendapat malang. Apa pun, masih ada segelintir antara mereka yang geli memijak tanah.

Hari ini, banyak yang telah berubah. Kini, banyak penempatan kaum Bajau terletak di pesisir pantai dan pulau-pulau berhampiran Semporna.

Kampung Bangau Bangau antara penempatan yang lebih teratur. Rumahnya rapat-rapat, namun masih di atas air di tepian pantai. Ratusan bot-bot kecil seumpama sedang merempit di lebuh raya lautan dan dapat dilihat dari Bangau Bangau. Kebanyakan anak mudanya cukup mahir tentang selok belok air masin.

Penulis sempat merasai suasana di pasar yang terletak di celah-celah rumah orang kampung dan memang meriah sepanjang hari. Uniknya, kaum Bajau Laut kerana mereka kurang gemar memakan nasi, sebaliknya ubi kayu parut menjadi pilihan mereka dengan hanya perlu menggorengnya menggunakan sedikit minyak dan dimakan seperti nasi.

Kembara ke semua destinasi ini membuatkan penulis melihat kehidupan dengan perspektif yang berbeza. Paling penting, adalah tentang masyarakat Islam di sana yang ceria menyambut kedatangan Ramadan walaupun dalam keadaan serba kekurangan serta jauh dari dunia luar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: