Wednesday, August 12, 2009

Fragmen: Benarkah filem Yasmin karya filem tanah air paling hebat?


FILEM Talentime antara hasil karya Yasmin Ahmad.

WALAUPUN sudah hampir dua minggu berlalu, namun kehilangan Yasmin Ahmad dalam dunia perfileman masih dirasai.

Tidak dinafikan semasa hayatnya, beliau hadir dengan karya yang segar dan penuh emosional kepada penontonnya Dalam erti kata lain, karyanya sama dalam menerusi filem atau iklan yang dihasilkannya memang menyentuh jiwa.

Itulah kelebihan yang dimiliki oleh Yasmin. Allahyarham bersungguh-sungguh menggarap ideanya supaya menepati tema yang dikehendaki. Tidak hairanlah, Allahyarham menjadi pilihan utama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (sekarang Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) untuk menghasilkan iklan awam yang bertemakan Budi Bahasa.

Jadi tidak hairanlah, stesen TV seperti Astro dan TV3 menyiarkan program khusus untuk mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Yasmin Ahmad dalam industri ini sepanjang riwayatnya.

Ia tidaklah menjadi kesalahan. Kita sudah mengangkat Yasmin sebagai nama besar dalam industri ini? Cuma yang difikirkan dalam industri apa? Perfileman? Mungkin betul. Bermula dengan Sepet, diikuti dengan Gubra, Mukhsin, Talentime dan Muallaf. Sudah lima filem dihasilkan. Manakala karya sulungnya, Rabun pula hanyalah sebuah telefilem.

Karyanya, walaupun mendapat kritikan di negara sendiri, tetapi mendapat sanjungan dan pengiktirafan dalam banyak festival filem antarabangsa. Kita akui kehebatan ini. Malahan kita juga sama sekali tidak menganggap sebagai satu kesalahan atau kesilapan apabila stesen TV hendak menyiarkan Yasmin Ahmad dalam kenangan.

Apa yang kita perhatikan ketika ini ialah stesen TV mengangkat Yasmin Ahmad seolah-olah sebagai karyawan filem yang cukup hebat, lebih hebat daripada penggiat filem sekarang dan terdahulu.

Dalam program Fenomena Seni di TV1 yang pada 2 Ogos lalu, dipaparkan soalan SMS yang bermaksud seolah-olah Yasmin Ahmad sebagai seorang karyawan yang tiada tandingannya.

Kita tidak dinafikan kebanyakan media sudah mengangkat filem-filem Yasmin Ahmad sebagai bertemakan perpaduan dan kasih sayang dengan cara persembahannya dianggap sebagai di luar lingkungan pemikiran biasa atau out of box. Ini menjadikan stesen TV melihat Yasmin sebagai karyawan filem paling hebat tanpa menghalusi hasil karyanya dan implikasinya terhadap peradaban budaya serta bangsa.

Hakikatnya, fakta ini mesti diperbetulkan. Ini kerana banyak filem lain yang turut memaparkan imej perpaduan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Konsep perpaduan, muhibah dan keharmonian kaum dalam filem bukanlah sesuatu yang baru. Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah melakukannya dalam filem Gerimis apabila seorang lelaki Melayu berkahwin dengan wanita berketurunan India, manakala dalam filem Sesudah Suboh pula mengisahkan kisah cinta antara pemuda Melayu dengan gadis Cina.

Begitu juga dengan filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsudin yang menampilkan Christine Teoh. Begitu juga dengan filem Tsu Feh Sofiah garapan Datuk Rahim Razali yang memaparkan cerita seorang doktor Cina, Tsu Feh memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sofiah. Dia seorang yang cantik dan telah bertunang. Ketika bercuti di sebuah pulau, dia melihat masyarakat setempat tidak bersepakat walaupun seagama iaitu Islam.

Filem Yasmin sudah ditayangkan secara terbuka. Jadi, masyarakat berhak untuk memberi ulasan dan pandangan dengan apa yang dipaparkan dalam filem arahannya itu.

Bukan kita hendak kata tidak boleh, tetapi apabila filem arahan Yasmin Ahmad hendak disiarkan di TV, penontonnya harus bijak menelaah dan tidak percaya bulat-bulat dengan apa yang dipaparkannya.

Misalnya, babak seorang gadis Melayu berbaju kurung berdiri di hadapan daging babi salai di sebuah restoran Cina dalam filem Sepet, sudah tentu boleh menimbulkan tanda tanya kepada penonton kanak-kanak.

Begitu juga dalam filem Talentime, babak si bapa mengangkat kakinya di hadapan anak-anaknya ketika sedang menjamu makan tengah hari, pastinya boleh mengundang rasa kurang selesa, walaupun ia mungkin dilihat sebagai komedi. Ini kerana dalam mana-mana bangsa sekalipun, mengangkat kaki ketika makan memang dilihat sebagai kurang ajar.

Seperti yang kita katakan, Yasmin mempunyai niat yang amat murni dalam karyanya tetapi cara beliau mempersembahkan ideanya dalam bentuk visual, yakni filem, banyak perkara yang boleh dipersoalkan.

Memang karyanya diperakui oleh masyarakat antarabangsa kerana mereka tidak memahami citra bangsa dan nilai budaya negara ini. Makan menggunakan sudu dan garfu adalah budaya orang Barat. Namun, bayangkan apabila bersama mereka kita makan menggunakan tangan? Pastinya mereka akan menganggap kita tidak menghormati dan memahami budaya mereka. Itulah analoginya apabila orang luar melihat beberapa filem atau karya yang dari sini.

Bukan saja dalam filem, tetapi menerusi beberapa drama bersiri atau telefilem yang disiarkan oleh stesen TV, sudah mula memaparkan nilai dan budaya yang agak bertentangan. Kita juga sudah berasakan ada drama yang hendak mengangkat kebebasan mutlak, kehidupan berfoya-foya, mengutamakan kebendaan atau materialistik selain tidak memberikan sebarang pengajaran kepada penonton.

Dalam elemen perpaduan dan keharmonian, kita berpendapat, perkara ini janganlah dibebankan kepada produser dan karyawan penerbitan Melayu saja. Tidak kiralah filem atau drama. Ia patut menjadi tanggungjawab semua bangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: