Sunday, August 9, 2009

Alahai Melodi

Siti menerima banyak komen daripada teman-teman mengenai Melodi di TV3 minggu lepas. Mereka memberikan komen yang jujur, bukan kerana untuk mengenakan Melodi. Siti pun tak berapa terkejut sangat apabila Melodi dikatakan telah mengaibkan orang.

Teman-teman Siti bagitau Melodi membuat liputan perbicaraan seorang artis Radhi OAG dengan isterinya di sebuah mahkamah syariah. Itu bukan perkata luar biasa. Tapi yang luar biasa ialah apabila Melodi merakam dan menyiarkan pertengkaran suami isteri berkenaan.

Bagi Siti, kalau ada puak-puak yang sangat sensitif perihal aib, yang dilakukan Melodi sangat mengaibkan. Bayangkan bagaimana seluruh negara mendengar dakwaan si suami bahawa isterinya membuat hubungan sulit dengan orang lain. Pertengkaran itu dirakamkan di perkarangan mahkamah.

Kalau laporan dalam perbicaraan, Siti faham. Dalam mahkamah semuanya boleh dilaporkan kecualilah mereka yang mempunyai perikemanusiaan. Tapi di luar mahkamah, memang tak patut disiarkan rakaman itu. Melodi telah melakukan kerana barangkali membuktikan kebebasan media yang tinggi di negara ini.

Siti fikir Melodi yang berslogan sensasi itu tidak wajarlah tolong menyebarkan tuduhan si suami semasa bertengkar secara audio visual. Kesannya kepada si isteri walaupun belum tentu benar tuduhan itu. Siti tak pasti pula kalau Melodi menganggap semua perkara yang lintas depan kamera boleh dirakam dan disiarkan.

Siti yang masih agak kolot ini tetap menganggap yang dilakukan oleh Melodi suatu yang tidak wajar. Siti dapat membayangkan tanggapan penonton terhadap si isteri apabila tuduhan disiarkan seluruh negara. Mungkin Melodi boleh kata, artis bertengkar depan orang ramai ada nilai beritanya. Memang betul. Tapi tidak semua yang ada nilai berita memberikan kesan yang baik terutama kepada bahan berita.

Dalam hal Melodi ini, Siti ternanti-nanti juga pejuang-pejuang yang menghalang media mengaibkan orang bersuara. Sepatah pun tak ada. Mana dia orang ini pergi agaknya? Takkan nak bersuara pun kena tengok siapa yang kena? Sebelum ini bukan main lancang lagi mulut membela orang yang dikatakan telah diaibkan.

Mana perginya mereka ini? Mana perginya orang yang hantar petisyen itu dan ini kepada media yang kononnya mengaibkan orang? Apakah cara Melodi tidak mengaibkan? Entahlah.

SITI JARUM: Pernah diaibkan tapi tak apa ada ubi ada batas.

Ini kopi saya

Sepuluh tahun lalu, kalau ada penyanyi datang ke pejabat Siti, dia pasti kata, “Ini album baru saya. Dengarlah sedap tau.” Itu skrip sepuluh tahun lalu. Tapi kini skrip itu diubah sikit memandangkan keadaan industri muzik yang setaraf dengan industri budu.

Sekarang banyak penyanyi dan pelakon datang ke pejabat Siti, berjumpa dengan kawan-kawan Siti bukan lagi hulur album. Kali ini mereka hulur kopi. Hah, apa kena mengena dengan kopi?

Siti pun tergelak besar bila seorang teman mengomel skrip baru penyanyi kita, “Ini kopi saya, cubalah. Sedap tau.” Rupa-rupanya artis kita banyak yang jadi penjual kopi. Bermacam-macam jenis kopi dengan khasiatnya yang pelbagai juga.

Dia orang ini jadi duta kopi, tolong buat promosi kopi yang boleh dibeli secara jualan langsung atau di kedai-kedai.

Siti seorang penagih kopi. Tapi kalau banyak sangat kopi yang dipromosikan, tak tau pula yang mana satu sesuai dengan selera Siti. Kalau ikut promosi artis yang jual kopi, semua kopi mereka baik untuk kesihatan.

Agaknya artis pun tak pernah terfikir dunia nyanyian yang mereka masuk ini tiba-tiba menjadi begitu lintang pukang sekali. Mereka pun tidak menyangka daripada menjual album, beralih pula menjadi penjual kopi. Bagi Siti jual apa pun tak kisah asalkan benda halal.

Cuma fenomena baru ini memberikan gambaran tentang tenatnya dunia muzik kita. Dalam tenat itu pun banyak pula yang nak jadi penyanyi. Kalau tak percaya tengoklah bagaimana ghairahnya mereka dalam banyak pertandingan di televisyen sekarang ini.

Kalau Siti boleh berjumpa peserta-peserta pertandingan nyanyian itu, Siti akan berpesan supaya mereka berfikir banyak kali. Siti nak kata, fikirlah untuk menjadi penjual kopi daripada menjadi penyanyi. Ini lebih baik daripada menjadi penyanyi lepas itu kena jual kopi.

SITI JARUM: Suka lepak di gerai kopitiam.

Awas selebriti gay

Siti secara jujur ingin berpesan kepada teman-teman di RTM supaya lebih berhati-hati dengan elemen-elemen gay yang akan dibawa masuk ke RTM. Khabarnya program hari raya.

RTM boleh memberikan kepercayaan kepada siapa saja untuk menerbitkan program bagi disiarkan di RTM. Siti tak pernah rasa iri hati sebab Siti tak ada syarikat apa pun. Tapi bila RTM terleka kerana khabarnya proposal selebriti yang terkenal dengan kehidupan gay masuk RTM, RTM kena buat sesuatu.

Kalau proposal itu diterima, selebriti itulah yang akan menjadi pengacaranya. Inilah yang Siti bimbang. Imej RTM setakat ini bebas dari elemen-elemen yang tidak bermoral itu. RTM bersih.

Sebabnya semua orang tahu bahawa selebriti ini mempromosikan kehidupan gay. Mungkin kawan-kawan di RTM tak tau. Tapi kalau rasa was-was tanyalah orang lain sama. Siti sangat sayangkan RTM. Siti mengingatkan ini sebagai tanda sayang kepada RTM supaya jangan mudah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: