|
|
TOKYO - Sebanyak dua gegaran kuat melanda India dan Jepun awal semalam menyebabkan seorang mati manakala 110 yang lain cedera di kawasan pantai tengah Jepun.
Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat menyatakan, gegaran pertama sekuat 7.6 pada skala Richter melanda Lautan Hindi di kepulauan Andaman.
Amaran tsunami dikeluarkan untuk India, Myanmar, Indonesia, Thailand dan Bangladesh, namun ia kemudian dibatalkan. Gegaran susulan sekuat 4.8 pada skala Richter berlaku 15 minit kemudian, kata pusat itu.
Di Tokyo, suasana kelam-kabut berlaku setelah gempa bumi 6.5 pada skala Richter berlaku sejurus selepas subuh semalam. Gempa itu menyebabkan tanah runtuh dan perkhidmatan kereta api terganggu manakala dua reaktor nuklear terpaksa ditutup untuk pemeriksaan keselamatan.
Seorang wanita berumur 43 tahun ditemui mati selepas gempa bumi itu akibat ditimbus oleh buku, kata seorang pegawai di Shizuoka, barat Tokyo.
Walaupun gempa di kepulauan Andaman dan Jepun tidak berkaitan, ia berlaku selang 10 minit.
"Gegaran kuat. Ia tidak seperti biasa," kata seorang pegawai polis di bandar Aichi, Mitsuharu Wakamori.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: