| TANPA banyak publisiti, radio Ikim.fm yang bersiaran pada frekuensi 91.5 di Lembah Kelang muncul antara stesen diminati ramai apabila disenaraikan antara 10 rangkaian yang mendapat rating tinggi di kalangan radio berbahasa Melayu. |
Berdasarkan kajian terkini dikeluarkan Nielsen, jumlah pendengar radio Ikim.fm di seluruh semenanjung kini hampir 800,000 orang.
Bagaimananpun jumlah yang dikumpulkan itu tidak termasuk pendengar di Sabah, Sarawak, Singapura, Narathiwat (Thailand), Medan dan Batam di Indonesia.
Pengarahnya, Ahmad Jais Alias berkata, jumlah pendengar Ikim FM mencecah lebih sejuta orang jika termasuk jumlah keseluruhan audien yang dapat mengikut siaran radio berkenaan.
Katanya, sebagai radio berteraskan pendidikan rohani dan jasmani, pihaknya memperkenalkan konsep 3M, mendidik, memberi maklumat dan menghibur.
"Kami berusaha menyajikan yang terbaik buat pendengar di mana di samping berhibur dengan lagu yang menyentuh jiwa, kami juga menghidangkan pelbagai maklumat dan bimbingan agama.
"Keperluan rohani dan jasmani perlu diseimbangkan untuk melahirkan masyarakat yang aman, bertanggungjawab dan patuh pada suruhan Allah s.w.t.
"Radio Ikim yang bersiaran 24 jam sehari menyediakan banyak rancangan menarik dan pengisian istimewa itu bersesuaian dengan usaha Ikim.fm untuk menambahkan lagi daya tarikan masyarakat mendengar radio ini.
"Ikim.fm juga menyusun pelbagai langkah untuk merangsangkan lagi penjenamaannya dengan meluaskan promosinya menerusi media cetak supaya kewujudannya selepas lapan tahun dapat diperluaskan lagi.
"Kami berharap mampu lebih berdaya saing dan membina gambarannya tersendiri sebagai satu-satunya stesen radio berlandaskan Islam," katanya.
| |
"Pendengar terbesar kami remaja berusia 10 hingga 19 tahun yang suka mendengar lagu nasyid, golongan kedua terbesar suri rumah dan ketiga kumpulan profesional.
"Ikim.fm menjadi tumpuan suri rumah kerana setiap hari kami memperkatakan produk kesihatan dan makanan yang berkhasiat serta bermutu. Golongan profesional pula menjadikan Ikim.fm sebagai wadah pagi yang mesti didengar kerana dalam perjalanan ke tempat kerja atau janji temu mereka boleh mendengar tazkirah, tafsir al-Quran, sains dan perbincangan bernas untuk mencernakan minda," katanya.
Antara rancangan popular di Ikim.fm ialah Al-Furqan setiap Sabtu dan Ahad jam 6.30 pagi, Dialog di Ikim di mana pendengar dapat berbicara terus dengan Ahmad Jais, Ilhamku, Agenda Ummah (Bersama NGO), Cerna Minda, Sains dan Al-Quran, Rasa Hati, Teladan Anbiya, Mata Pena, Pengembara Muslim, Hikmah di Ambang Fajar.
Setiap hari sebelum azan lima waktu dipendengarkan bacaan al-Quran, salawat dan zikir selama sejam manakala Salam Masid setiap Khamis, jam 6.15 petang lebih kepada khidmat masyarakat yang memberi peluang kepada ahli jawatan kuasa masjid dan surau mengumumkan majlis ilmu dan program di tempat mereka.
"Pada awal Ramadan ini, kami akan ke Kemboja mengadakan majlis berbuka bersama penduduk Muslim di sana. "Sementara itu pada 8 Ogos ini, Ikim.fm menganjurkan karnival Sehari Bersama Ikim.fm sempena ulang tahun kelapan," katanya.
Karnival berlangsung di pekarangan Ikim di Langggak Tunku off Jalan Duta, Kuala Lumpur, bermula jam 10 pagi diisi dengan pelbagai acara menarik seperti gerai jualan dan persembahan daripada kumpulan nasyid terkenal, Rabbani dan Hijjaz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: