| MENDEKATI pemuda ini perlu ada cara. Berbicaralah mengenai topik yang disukai dan berkait rapat dengan ruang lingkup kerjayanya kerana jika tidak, anda akan termanggu kebingungan. |
Lebih kurang setengah jam menemubualnya, dapatlah disimpulkan Nicholas Saputra, 25, atau Nico juga seorang yang tidak suka dipaksa melakukan perkara yang tiada dalam agendanya.
Barangkali sifat semula jadi itu turut mempengaruhi banyak keputusannya.
Ada yang mengatakan Nico menerima tawaran menjadi pengacara kerana tidak mampu menolak tawaran lumayan Channel V.
Walhal, baginya kalau mahu mendapatkan wang banyak lebih baik dia berlakon.
Malah, ada juga yang kata, Nico sudah tidak laku di pentas lakonan dan kerana itulah sebelum namanya pudar, dengan pantas dia beralih bidang.
"Memang benar tahun ini belum ada satu pun projek filem dijayakan. Bukan tiada tawaran, tetapi selepas beberapa lama berlakon, saya mencari sebuah filem yang bagus dan mempunyai mesej.
"Ia tidak perlu filem berbajet besar atau karakter yang sulit dan keterlaluan.
"Asalkan, jalan ceritanya bagus dan mereka yang terbabit dalam produksi itu hasil kerjanya diperakui, sudah cukup untuk mengundang kata setuju dari saya.
"Saya mahu berlakon dalam filem yang bisa mewakili suara komuniti serta masyarakat.
Disebabkan itu, selepas kontrak pertama selama setahun dengan Channel V tamat, dia tidak mengambil masa yang lama untuk kembali menandatangani persetujuan.
"Bidang pengacaraan menemukan saya dengan pelbagai perkara baru. Berkenalan dengan ramai orang dari seluruh pelosok dunia, mengenali budaya serta kehidupan dengan masyarakat negara lain dengan lebih dekat.
"Tentu saja, pengalaman tidak dapat dilupakan berpeluang menemubual artis popular antarabangsa seperti Cold Play yang juga 'band' pujaan saya.
"Selain menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Academy Awards sebagaimana pernah saya lakukan sebelum ini.
"Bukan sudut keseronokan saja yang saya fikirkan, tetapi juga mahu menyahut cabaran tugas sebagai pengacara dan pada masa sama sebagai wartawan penyiaran," kata pemuda yang gemar meluangkan masa senggang dengan menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa.
Berada di Kuala Lumpur selama tiga hari pada 6 hingga 8 Julai lalu, Nico sempat bercerita mengenai segmen baru kendaliannya yang diperkenalkan dalam program, Channel V iaitu [V] Plus yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam bermula 9 Ogos nanti.
Segmen 30 minit ini, menampilkan klip video eksklusif artis antarabangsa, kisah di sebalik tabir, berita hiburan, peraduan dan 'pop culture.'
Selain [V] Plus, Nico turut mengendalikan sebuah lagi program di bawah rangkaian saluran itu, Channel V AMP Around Asia yang disiarkan setiap Sabtu jam 8 malam.
Terdapat satu segmen baru diperkenalkan, The Chosen One yang memaparkan temubual eksklusif Nico dengan beberapa kumpulan indie popular di Malaysia dan Indonesia.
"Kalau di Indonesia kebangkitan indie band sudah lama iaitu tiga atau empat tahun yang lalu dan saya sendiri minat sekali dengan kumpulan Naif. Sentuhan mereka kreatif dan 'sound' muziknya berkualiti.
"Melalui segmen baru yang diperkenalkan turut memberi peluang kepada saya mengenali indie band yang cukup berpengaruh dan popular di Malaysia seperti Bunkface, Pesawat serta penyanyi solo, Yuna dan Zee Avi.
"Di mana-mana saja di seluruh dunia, memang sekarang ini zaman band dan artis indie. Saya kira ia satu perkembangan yang baik kerana kebanjiran band baru dan berbakat ini bukan saja dapat mengisi kekosongan dan menjadi pelapis kepada pemuzik sedia ada.
"Tetapi juga menawarkan konsep muzik yang terkini seiring perubahan muzik yang begitu pantas ketika ini," katanya mengakui tidak mempunyai bakat menyanyi.
Bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura pada Ogos ini, The Chosen One turut menampilkan temubual istimewa Nico bersama Electrico dari Singapore yang akan disiarkan pada 8 Ogos jam 8 malam diikuti kumpulan Alexa dari Indonesia pada 15 Ogos dan Hujan pada 29 Ogos.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: