Thursday, August 6, 2009

Artis veteran terharu ditatang


MESKIPUN fokus utama Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) adalah kemuncak malam anugerah untuk mengetahui pemenang Filem Terbaik, Pengarah Terbaik serta Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik yang bakal berlangsung Sabtu ini, tahun ini buat julung kalinya penganjur menghargai artis veteran melalui satu majlis Makan Malam Bintang Legenda.

Majlis yang diadakan di Magellan Sutera Harbour malam ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk menghargai sumbangan artis veteran kepada perkembangan perfileman tanah air.

Ia bukan sekadar majlis makan malam, tetapi turut memberikan anugerah kepada enam artis veteran yang cemerlang dalam kategori berbeza iaitu Bintang Legenda Lelaki, Wanita, Komedi, Belakang Tabir, Serba Boleh dan Hadiah Juri.

Seramai 36 artis veteran dari tiga negara, Malaysia, Singapura dan Brunei disenarai pendek sebagai calon untuk menerima enam anugerah istimewa ini iaitu 18 dari Singapura, Malaysia (16) dan Brunei (2).

Artis veteran tempatan diwakili Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Jamil Sulong, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Datuk Mustapha Maarof, Datin Umi Kalsom, Datin Noor Azizah, Datin Rosnani Jamil, Raja Hamidah Raja Saat, Mariani Ismail, Kuswadinata, Norsiah Omar Rojik, Latifah Omar dan Mat Sentul.

Allahyarham Salmah Ahmad turut dicalonkan.

Artis veteran Singapura pula Momo Latif, Zaiton Abdullah, Hashimah Yon, Sri Dewi, Neng Yatimah, S Shamsudin, Kassim Masdor, Wahid Satay, A Bahar Ali, M Raffe, Omar Suwita, S Roslee, Ahmad C, Rahma Ali, K Fatimah, Mariam, Tony Castello dan Zaini Sattar manakala wakil Brunei, Dayang Sofea dan Suraya Haron.

Bagi Aziz, penganjuran acara berkenaan disokong sebagai satu usaha menghargai sumbangan artis veteran yang sebelum ini kurang diberi perhatian.

Katanya, acara itu tetap menjadi program penting dalam memeriahkan FFM22 walaupun ia hanya aktiviti sampingan.

"Sejak saya bersama artis veteran lain sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kelmarin, sambutan yang diberi penganjur cukup meriah.

"Segalanya diatur dengan baik hingga kami sampai ke destinasi dengan selamat."Pada saya, acara ini sebagai satu penghormatan FFM22 pada artis veteran. Saya fikir belum pernah rombongan artis veteran menerima layanan istimewa sebegini.


"Saya juga bersyukur apabila artis veteran berpeluang hadir ke sini untuk menjayakan acara bersama. Harapan saya agar acara seperti ini diteruskan pada masa akan datang dan sumbangan artis veteran terus dikenang," katanya.

Aziz juga memaklumkan dia bersama Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof berkunjung ke Singapura pada 25 Julai lalu untuk mengundang artis veteran di negara itu.

Katanya, apa yang menyedihkannya apabila berkunjung ke rumah S Shamsuddin di Bukit Batuk, pelakon yang popular dengan watak Sudin dalam Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok itu terlantar sakit sejak lima bulan lalu.

"Beliau mengidap penyakit paru-paru berair dan kini sedang terlantar sakit di rumahnya ditemani isteri dan anak-anak. "Keadaannya uzur dan tidak mampu bergerak lincah. Tapi apa yang membuatkan saya terharu, Sudin tidak lekang dengan lawak jenakanya.

"Dia sempat mengusik dirinya sendiri dengan mengatakan kalau dulu dia angkat besi, kini besi yang angkat dia. Dia juga cakap: 'Aziz, lihatlah diriku hanya tinggal kulit dan tulang saja'," katanya.

Kata Aziz, dia tidak mengetahui rakannya itu uzur, tetapi berkunjung ke rumahnya untuk mengundangnya menghadiri FFM22 di Kota Kinabalu, sekali gus memaklumkan kepadanya mengenai dirinya bakal menerima anugerah Artis Veteran sempena FFM22.

"Memandangkan keadaannya yang uzur, dia tidak dapat menyertai FFM22. Penganjur kini memikirkan cara lain melalui tayangan eksklusif untuk tatapan tetamu," katanya.

Sementara itu, Sarimah, 67, mengambil keputusan untuk tidak hadir ke acara berkenaan pada saat akhir kerana cucu ke-12nya, Nordianah Kamarul Bahrain dikuarantin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit H1N1.

"Sejak cucu saya masuk HKL semalam (kelmarin), perasaan saya menjadi susah hati kerana asyik memikirkan keadaan kesihatannya. Apabila keadaannya masih menerima rawatan di HKL, saya ambil keputusan untuk menemaninya.

"Keadaannya kini bertambah stabil dan ada perkembangan positif apabila kami sudah boleh berbual menerusi telefon. Sebelum ini, dia asyik muntah dan kurang bermaya untuk bangun.

"Biarpun saya tidak dapat hadir pada majlis itu, saya ingin ucapkan terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya ke sana. Saya hargai jemputan ini, tetapi saya perlu buat keputusan utamakan keluarga saya.

"Memang sukar untuk artis veteran jalan jauh, tetapi saya percaya artis veteran yang hadir pada acara itu mempunyai semangat yang kuat untuk menyokong FFM22.

"Saya juga menyokong usaha penganjur mengadakan Makan Malam Bintang Legenda yang memberi penghargaan kepada artis veteran dan berharap artis veteran tidak hanya diraikan dalam acara sebegitu, tetapi membantu agar menjalani kehidupan lebih baik," katanya.

Dianggapkan 600 artis berkampung di Kota Kinabalu, Sabah memeriahkan pelbagai acara yang diadakan sempena FFM22. Pastinya kehadiran mereka bukan sekadar memberi sokongan dan memeriahkan acara sebaliknya berpeluang bertemu orang Sabah dengan lebih dekat lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: