HANYA berselang dua hari, masyarakat Indonesia dikejutkan dengan kematian dua insan seni yang cukup dikenali. Lebih menarik, kedua-duanya dikebumikan di tempat sama, di belakang Bengkel Teater di Depok, Jawa Barat. |
Pada 4 Ogos lalu, penyanyi yang dikenali dengan penampilan unik rambut rasta ala penyanyi reggae Bob Marley, Mbah Surip menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun.
Kemudian pada 7 Ogos, masyarakat Indonesia dikejutkan pula dengan berita kematian budayawan dan penyair WS Rendra yang dikenali dengan gelaran Si Burung Merak. Penyair yang disanjungi di rantau Asia ini dikebumikan selepas solat Jumaat.
Tempatnya sudah disiapkan sejak lama kerana Rendra meminta dimakamkan di bawah pohon rendang. Selain Mbak Surip, pemakaman seluas 100 meter persegi itu turut menempatkan aktivis seperti Roedjito (seniman teater artistik), Arie Mocoi, Indra Kesuma Budenani, Ria Rumondang Pardede dan Semsar Siahaan (pelukis dan perupa).
Mungkin nama Mbah Surip tidak dikenali peminat di sini, tetapi penyanyi kelahiran Mojokerto, Jawa Timur pada 5 Mei 1957 itu berjaya mencipta populariti sebagai penyanyi dengan gaya tersendiri. Lagu popularnya, Tak Gendong dan Bangun Tidur diiringi petikan gitar.
Mbah Surip dikatakan mengumpul Rp9 bilion (RM3.15 juta) daripada lagu-lagunya yang digunakan sebagai muat turun dan nada dering. Bagaimanapun, berita itu disangkal jurucakap label Falcon, Adit mengatakan berita itu tidak berasas dan jumlah dinyatakan tidak masuk akal.
Adit juga menjelaskan perincian daripada perjanjian antara Falcon dan Mbah Surip. Menurutnya, Mbah Surip menjual master Rp10 juta sedangkan daripada dua lagu yang kemudian diubah, Mbah Surip mendapat Rp20 juta. Daripada lagu yang dijadikan ringtone, Mbah Surip mendapat royalti tujuh peratus untuk setiap download, termasuk hak cipta dan sebagai penyanyi.
Kata Adit, dia baru saja menghubungi semua operator yang menggunakan lagu Mbah Surip untuk mengurus royaltinya sehingga Jun. Adit juga menjelaskan pembahagian keuntungan ialah 30 peratus untuk telko, 30 peratus untuk operator dan 30 peratus lagi untuk label.
Adit mengakui sudah lama mengenali Mbah Surip kira-kira 20 tahun lalu, tetapi ketika menyertai label Falcon barulah dia teringat teman lamanya itu. Adit yakin Mbah Surip laku dijual.
Sebelum menjadi seniman, Mbah Surip atau nama sebenarnya, Urip Achmad Riyanto Soekotjo mencuba pelbagai pekerjaan antaranya dengan syarikat minyak dan lombong berlian hingga membawanya ke luar negara seperti Kanada, Texas dan California.
Rendra pula sememangnya satu nama besar dan cukup dikenali di rantau Asia. Sajak-sajaknya mampu membuat sesiapa saja terpukul dengan mesej yang ingin disampaikan. Baik penuntut, teman penyair mahupun ahli politik, suara Rendra dalam puisinya tajam, bisa dan berjiwa.
Tidak hairanlah ketika hayatnya, Rendra sering keluar masuk penjara ketika zaman pemerintahan Sukarno dan Suharto.
Dilahirkan dengan nama Willibrordus Surendra Broto Rendra pada 7 November 1935 di Solo, Indonesia kemudian memeluk Islam dengan nama Wahyu Sulaeman Rendra pada hari pernikahan dengan isteri kedua, Bendoro Raden Ayu Sitoresmi Prabuningrat, puteri Keraton Yogyakarta pada 12 Ogos 1970.
Demi cintanya pada Sitoresmi, Rendra sedia mengucap dua kalimah syahadah kerana tidak mendapat restu ayah Sito yang tidak mengizinkan puterinya yang beragama Islam, dinikahi pemuda Katolik. Perkahwinan dengan Sito memperoleh empat anak, Yonas Salya, Sarah Drupadi, Naomi Srikandi dan Rachel Saraswati.
Isteri pertama, Sunarti dikahwini pada 31 Mac 1959 dan mendapat lima anak, Teddy Satya Nugraha, Andreas Wahyu Wahyana, Daniel Seta, Samuel Musa dan Klara Sinta.
Kehidupannya di bawah satu bumbung dengan dua isteri nyata belum cukup buat Rendra apabila menyunting Ken Zuraida sebagai isteri ketiga dan memberinya dua anak, Isaias Sadewa dan Maryam Supraba. Tidak lama selepas kelahiran Maryam, Rendra menceraikan Sitoresmi pada 1979 dan Sunarti pada 1981.
Gelaran Burung Merak diberikan kepadanya apabila Rendra melihat seekor merak jantan berjalan bersama dua merak betina lalu berkata sambil tertawa terbahak-bahak, Itu Rendra! Itu Rendra!. Sejak itu, julukan Burung Merak melekat padanya hingga kini.
Cerita kawan baiknya, pengarah terkenal, Eros Djarot, Rendra meninggal di sisi puterinya, Clara Sinta di kediamannya di RS Mitra Keluarga Depok, Jawa Barat.
"Rendra sempat minta minum dan makan kemudian menghilang begitu saja. Tidak ada raungan dan kesakitan. Meninggal dengan tenang dan dengan baik. Ini jalan terbaik baginya," katanya.
Meski badannya lemah kerana uzur ketika dirawat di RS Mitra Keluarga, Rendra masih sempat menciptakan puisi sekali gus menjadi karya terakhirnya pada 31 Julai lalu bercerita mengenai Ketuhanan.
Pada baris akhir puisi yang belum sempat diberi judul itu, Rendra mencantumkan 'Tuhan aku cinta pada-Mu'.
Ketika itu, Rendra hanya menyebutkan lirik-liriknya, sementara adiknya, Adi Kurdi, menuliskan kata-kata yang disebutkan itu.
Puisi terakhir Rendra
Aku lemas
Tapi berdaya
Aku tidak sambat rasa sakit
atau gatal
Aku pengin makan tajin
Aku tidak pernah sesak nafas
Tapi tubuhku tidak memuaskan
untuk punya posisi yang ideal dan wajar
Aku pengin membersihkan tubuhku
dari racun kimiawi
Aku ingin kembali pada jalan alam
Aku ingin meningkatkan pengabdian
kepada Allah
Tuhan, aku cinta padamu
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: