DI kala namanya memuncak di persada seni tanah air, Dayangku Intan memilih untuk berumah tangga. Ternyata, ia langkah tepat buatnya apabila perkahwinan dibina bersama Rosman Yahil kira-kira 26 tahun lalu masih kekal dan dikurniakan empat anak. |
Sebagai penyanyi, isteri dan ibu, keutamaan Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 44, tetap pada keluarga. Justeru, dia sanggup 'berhenti' menyanyi demi menambah bilangan ahli keluarga selepas dua kali keguguran.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Berpaut Di Dahan Cinta ini berkata, tindakan itu dilakukan selepas mendapat nasihat doktor. Ketika itu, kali pertama keguguran kandungannya berusia lima bulan dan kali kedua, enam bulan.
"Saya suka kanak-kanak dan impikan anak ramai. Jadi, menyedari menyanyi juga boleh menyebabkan tekanan teruk, saya dan suami setuju dengan nasihat doktor. Justeru, selepas berhenti menyanyi pada 1995, saya hamil anak ketiga dan keempat.
"Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya 'berhenti' terus daripada menyanyi. Saya tetap aktif, cuma tidak merakamkan album saja. Namun, kerinduan itu (rakam album) tetap ada dan saya gembira apabila Warner Music berminat menerbitkan kompilasi Memori Hit Dayangku Intan.
"Memuatkan 29 lagu, inilah 'pengubat' rindu peminat kepada saya. Namun, dalam kompilasi ini saya tidak merakamkan satu pun lagu baru. Justeru, saya berharap suatu hari nanti dapat menghasilkan satu atau dua single baru untuk peminat," katanya.
Kini Dayangku Intan dan Rosman bangga dengan kehadiran anak-anak, Wanku Mohamad Syaifuldean, 26, Wanku Mohamad Rusyduddean, 18, Wanku Intan Syarafana, 12, dan Wanku Mohamad Ruknuddean, 11.
Dayangku Intan yang anggun bertudung, tetap peramah dan mesra apabila berbicara. Apatah lagi, dia kini aktif dengan persatuan dan menjadi penceramah motivasi untuk syarikatnya, Ummatul Ihsan Enterprise yang ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu.
Menerusi Ummatul Ihsan Enterprise, Dayangku Intan mengendalikan beberapa program seperti Belia Elak Banteras Ancaman Sosial (BEBAS), Kita Insan Biasa, Mat-R dan Alumni yang mensasarkan golongan remaja. Objektifnya, memberi mereka panduan arah hidup betul serta mengeratkan silaturahim.
"Masalah remaja sekarang begitu banyak seperti Mat Rempit. Ia memang nampak negatif tetapi tahukah masyarakat bahawa remaja dianggap liar ini sebenarnya memiliki bakat tersendiri yang sewajarnya ditonjolkan.
"Saya dengan Pertiwi sudah lama, cuma sekarang ini hendak mengaktifkannya dengan mengajak bekas polis wanita, isteri dan anak polis menyertainya. Menerusi Pertiwi, kami akan memberi perhatian kepada ahli seperti memberi motivasi, bantuan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal.
"Apapun, terima kasih saya ucapkan kepada Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Tuan Shafie Bakri yang memberi peluang mengendalikan Pertiwi. Saya akan berusaha memastikan objektif persatuan berjaya demi bangsa, agama dan negara.
"Setakat ini, keseluruhan jumlah ahli persatuan seramai 170,000 orang dengan 70,000 daripadanya di bawah Pertiwi. Disebabkan itu, saya perlu menggerakkan Pertiwi lebih aktif selain turut terbabit dengan Persatuan Kerabat Diraja Kedah," katanya.
Menyentuh soal peribadi, tanpa berselindung Dayangku Intan mengakui anak ketiganya, Wanku Intan Syarafana menghadapi masalah kesihatan. Sejak dilahirkan, anak perempuan tunggal dalam keluarganya itu disahkan tidak mempunyai hempedu.
"Dalam soal ini, tidak dinafikan anak perempuan kesayangan saya kurang sihat. Bagaimanapun, saya masih boleh mengurus rawatannya sendiri. Disebabkan itu, saya sekeluarga lebih senang tidak menceritakan keadaannya kerana kami masih mampu.
"Bukan apa, kalau ada pun yang mahu membantu, biarlah ia disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan daripada kami. Namun, bukan saya menolak rezeki tetapi selagi berasakan ia mampu ditangani, biarlah kami sekeluarga yang berusaha," katanya.
Kembali aktif di persada hiburan tanah air, Dayangku Intan yang diuruskan suaminya kini turut sibuk sebagai pengacara program televisyen. Mengikut perancangan, penyanyi yang pernah berduet dengan Jay Jay ini akan mengendalikan program Kasih Ramadan.
Bersandarkan sembilan episod, program terbitan Karya Bistari Sdn Bhd itu akan menemui penonton pada Ramadan ini di saluran Astro. Menurut Dayangku Intan, program dikendalikannya memang menarik dan sesuai dengan 'mood' Ramadan.
"Menerusi program ini, saya bersama Yayasan Basmi Kemuskinan (YBK) akan melawat ke beberapa rumah yang memerlukan bantuan. Bukan itu saja, saya juga turut melagukan hadis dalam program ini sebagai panduan untuk kita umat Islam," katanya.
Ditanya mengenai promosi album kompilasi Memori Hit Dayangku Intan, anak jati Kedah ini mengakui, dia tiada sebarang kontrak dengan Warner Music. Namun, katanya, dia akan mengikuti sesi promosi disediakan berikutan kompilasi itu diterbitkan kerana permintaan peminat.
PROFIL
NAMA: Tengku Intan Tengku Abdul Hamid
PANGGILAN KOMERSIAL: Dayangku Intan
ASAL: Kedah
USIA: 44 tahun
KARIER: Penceramah motivasi, penyanyi, pelakon dan pengacara
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Rosman Yahil
ANAK: Wanku Mohamad Syaifuldean, 26, Wanku Mohamad Rusyduddean, 18, Wanku Intan Syarafana, 12, dan Wanku Mohamad Ruknuddean, 11
ALBUM: Pernah menghasilkan lebih 20 album termasuk kompilasi
FILEM: Minah Manja, Ali Setan 2
Berpaut Di Dahan Cinta
Pasrah ku dalam penantian mengharapkan cinta mu
Tenggelam lah aku dalam kesepian
Yang tidak menentu
Semua punah setelah hati terpanah
Oleh asmara yang hangat membakar jiwa
Apa tujuan mu berselindung
Di balik kata cinta
Sedangkan kau tahu
Cintamu tiada memberi makna
(*)
Terkubur kini
Semua mimpi-mimpi
Tapi ku masih
Berpaut di dahan cinta
(**)
Aku berpaut di dahan cinta
Masih mengharap kehadirannya
Aku berpaut di dahan cinta
Masih mengharap kehadirannya
(Ulang Rangkap * dan ** )
(Penulis lagu & lirik: Suhaimi Roa )
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: