MENIMBA pengalaman lebih dua tahun dalam bidang lakonan banyak mengajar pelakon muda, Mimi Rahzia Tamin, 27, belajar kehidupan bergelar anak seni. Jika dihitung, dua tahun masih dianggap mentah untuk pelakon baru mencipta nama dan populariti. |
Bagi Mimi, perjalanan untuk menjadi pelakon berjaya dengan pengiktirafan menerusi anugerah masih jauh. Mimi yang berkesempatan hadir memeriahkan Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini merasakan dia bertuah kerana meraih pengalaman menarik menerusi majlis anugerah berprestij ini.
Sebagai artis baru, peluang menghadiri majlis khusus meraikan karyawan filem tanah air, memberi kelebihan buatnya bukan hanya berkongsi kejayaan bersama pelakon yang mencatat kejayaan, sebaliknya menjadi platform terbaik untuk mempromosikan diri.
Katanya, peluang ini tidak seharusnya dilepaskan, apatah lagi hadirannya sebagai tanda sokongan pada FFM22 dan persada perfileman tempatan secara keseluruhan.
"Banyak kelebihan dan pengalaman baru yang saya lalui sepanjang berada lima hari di sini. Kemeriahan FFM22 bukan hanya terletak pada kemuncak Malam Anugerah tetapi pembabitan artis menerusi aktiviti sampingan yang dianjurkan turut menarik perhatian.
"Saya berkesempatan melawat Rumah Kebajikan Bukit Harapan, Inanam dan terharu apabila bertemu dengan kanak-kanak istimewa yang tinggal di situ. Pada saya, aktiviti ini patut disertai ramai artis kerana mereka juga adalah peminat.
"Dalam pada itu, saya juga meluangkan masa bertemu dengan ramai produser dan pengarah yang hadir. Pertemuan ini suatu yang penting untuk saya memperkenalkan diri dan ia secara tidak langsung menjadi promosi untuk diri sendiri.
"Saya bersyukur apabila ditawarkan membintangi dua telefilem ketika berada di sini. Salah satunya berjudul Fatihah Buat Ibu dan penggambaran dijangka bermula penghujung bulan ini," katanya.
Mengenai penganjuran FFM22, Mimi berpandangan acara ini berjaya dan meninggalkan kenangan manis buat semua khusus Sabah yang menjadi lokasi julung kali untuk acara ini. FFM22 meriah apabila Malam Augerah dipenuhi ramai penonton dan artis turut memberi kerjasama dengan baik.
Bercerita mengenai perkembangan terbaru, pelakon Kala Hati dan Iris itu menyatakan dia baru selesai penggambaran telefilem Jiranku Cik Siti arahan Bob Singah. Bergandingan bersama Ridzuan Hashim sebagai pelakon utama, Mimi juga melakonkan karakter sebagai doktor yang kemudian jatuh cinta dengan jirannya.
"Turut memberi cabaran, saya difahamkan lokasi penggambaran sebenarnya 'keras' dan watak saya dikatakan penduduk kampung di situ memang wujud," katanya.
Antara filem mahupun drama, kata Mimi, tidak banyak beza dari aspek pengalaman di lokasi penggambaran. Cuma, menerusi filem, ia ditayangkan pada skrin besar dan setiap sudut dan pergerakan jelas kelihatan.
"Bagi saya, tidak kisah walaupun seseorang pelakon itu terbabit dengan satu atau dua adegan tetapi yang penting, penonton tetap sedar kemunculannya. Sebenarnya, saya tidak kisah watak utama atau pembantu. Saya mahu lakonan di filem menjadi peluang lebih besar untuk mempromosi diri pada penonton," katanya.
Bersama telefilem Jiranku Cik Siti dan Momok The Movie yang menantikan tayangan pada Aidilfitri, Mimi turut terbabit dengan drama Damak yang akan menemui penonton pada masa yang sama.
Dalam drama arahan Zulkiflie M Osman ini, Mimi memainkan watak Puteri Kesuma Dewi iaitu puteri bunian. Drama ini turut dijayakan Abby Abadi, Mustapha Kamal dan Malik Nor.
Mimi berkata, dia mahu bekerja lebih keras untuk memperkenalkan dirinya pada khalayak. Walaupun dia sudah banyak membintangi drama, Mimi percaya sokongan peminat amat penting untuk perkembangan kariernya.
"Saya berpeluang untuk kembali mengacara program baru Rentak 80-an untuk RTM. Sebenarnya, saya rindu mengacara semula kerana nama saya mula dikenali dari bidang ini.
"Namun, lakonan tetap jadi keutamaan saya. Jika ada kelapangan dan tawaran menarik, saya masih mahu meneruskan bidang mengacara ini pada masa akan datang.
"Sebagai pelakon dan pengacara, saya merasakan masih banyak perkara baru yang harus saya belajar. Seperti di FFM22, saya rasa seperti diri kecil berbanding pelakon lain yang sudah banyak pengalaman berlakon.
"Tanpa pengalaman dan ilmu yang cukup, saya merasakan diri belum cukup kuat untuk menang anugerah. Saya bangga dengan kejayaan pelakon baru, Liyana Jasmay yang menang Pelakon Wanita Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Papadom arahan Afdlin Shauki.
"Begitu juga dengan kejayaan Zahiril Adzim untuk Pelakon Harapan Lelaki Terbaik menerusi filem Kami The Movie manakala Jaclyn Victor Pelakon Harapan Wanita Terbaik (Talentime).
"Kejayaan mereka memberi semangat kepada saya untuk bekerja keras bagi menunjukkan lakonan berkesan, sekali gus mengikut jejak langkah mereka menggenggam trofi yang menjadi impian setiap pelakon.
"Jika boleh, saya ingin mengembangkan bakat seni saya dalam bidang lain. Kini saya cuba mencipta lagu sendiri. Saya sudah cipta satu lagu, Kau Kekasihku Selamanya.
"Saya berminat melakukan kerja belakang tabir seperti penciptaan lagu dan berharap bakat saya ini dapat diperluaskan lagi," katanya.
PROFIL
NAMA: Mimi Rahzia Tamin
TARIKH LAHIR: 13 Januari 1982
ASAL: Brunei
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kewangan), University Techonology Of Sydney, Kolej Taylors, Subang Jaya
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
FILEM: Momok The Movie
DRAMA: Iris, Nek Nak 2, Elit, Tangisan Bulan Madu, Cinta Gila, Menantu Vs Mentua, Rozana, Julia Julis, Suria Kasandra, Kala Hati dan Jiranku Ck Siti
PROGRAM TV: Teman (8TV), Kembara Khatulistiwa (RTM) dan Rentak 80an (RTM)
TEATER: Lorong Blues (2007)
IKLAN: Digi Idiot Brother, Nespray Cergs, TV3 Inspirasi Hidupku dan Sendayu Tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: