![]() Aliff Aziz (kiri) dan Alif Satar. |
KAWAN Cik Normah yang baru saja selesai mengadakan fotografi bersama dua bintang realiti, Aliff Aziz dan Alif Satar memberitahu dua penyanyi itu sudah pun merakamkan kembali lagu Balik Kampung dendangan asal Allahyarham Sudirman. Lagu yang cukup sinonim menjelang Aidilfitri itu dinyanyikan dalam versi remix. Malah serentak dengan itu turut dibikin klip video lagu yang dinyanyikan mereka.
Kedua-duanya pernah melakar kejayaan dalam pertandingan nyanyian. Aliff dari Singapura menjadi juara pertandingan Anugerah 2007, manakala Alif Satar pula mendapat tempat ketiga dalam pertandingan One In A Million (OIAM) musim pertama yang menobatkan Suki sebagai juara.
Single lagu remix Balik Kampung itu adalah strategi yang diaturkan syarikat rakaman Sony BMG Music yang dinaungi dua penyanyi muda itu. Kiranya ini adalah gabungan sulung menggandingkan artis dari Malaysia dan Singapura itu. Malah, Cik Normah diberitahu sebelum disatukan dalam sesi fotografi dan rakaman lagu itu, mereka memang tidak pernah bersua muka.
Dengan populariti yang dikecapi dua bakat muda itu, Cik Normah yakin lagu itu akan mendapat tempat di hati pendengar muzik negara kita. Aliff Aziz pun sebelum ini memang cukup popular dengan lagu Sayang Sayang. Alif Satar pula pernah terbabit dengan Program Latihan Khidmat Negara bersama-sama Suki dan Diana Danielle. Malah Alif Satar turut berbakat mengacarakan program di kaca TV.
Selepas tamat kontrak dengan Mediacorp Singapura, Aliff Aziz kini mengikat kontrak sepenuhnya bersama Sony BMG Music. Alif Satar pula bersama syarikat itu sejak awal tahun ini. Malah, masing-masing pun sibuk mempersiapkan album terbaru mereka dengan syarikat terbabit. Cik Normah doakan dua penyanyi ini akan terus sukses dan terus memeriahkan persada seni.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: