Sunday, August 23, 2009

Akar budaya melalui lukisan


Laksana Wau Melawan Angin – Dr. Sabzali Musa Khan.


MASYARAKAT Melayu sememangnya kaya dengan khazanah warisan sejak zaman berzaman merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Keindahan budaya dan cara hidup yang melingkari kehidupan masyarakat Melayu semakin terhakis sedikit demi sedikit atas pelbagai faktor dan tidak mustahil semua ini hanya akan tinggal sejarah jika tiada usaha dilakukan oleh semua pihak.

Inilah kesan yang sedang dirasai oleh sebilangan kecil masyarakat pada hari ini dek terlalu mengejar kemodenan sehingga mengabaikan apa yang telah kita warisi sejak zaman berzaman.

Apabila tiba di satu titik, semuanya akan kembali mencari apa yang telah hilang selama ini sebagai mengisi lompong-lompong yang telah kita tinggalkan selama ini.

Bertitik tolak daripada itu, satu pameran lukisan oleh pengkarya-pengkarya tanah air telah telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bermula 10 Ogos yang lalu sehingga 4 Oktober depan.

Pameran Tanpanya Budi adalah kerjasama antara Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BSLN mempamerkan 163 buah karya pelukis tanah air kali ini.

Ini merupakan antara pameran terbesar yang berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan pelukis tanah air yang selama ini jarang mendapat perhatian.

Menariknya, Tanpanya Budi ini tercetus daripada pelbagai persoalan seperti adakah pelukis boleh membaca, mentafsir dan mengupas sesebuah pantun, gurindam, syair atau perumpamaan yang kemudiannya diterjemahkan di atas sekeping kanvas?

Jika ada yang berjaya melaksanakan pula, adakah jelmaan imej dan visual yang dilakarkan itu dapat diterima sebagai satu bacaan tentang puisi dan sebagai sebahagian daripada sastera Melayu tradisional?

Maka ratusan buah karya yang dipamer di BSLN adalah hasil-hasil persoalan yang diterjemahkan secara terus oleh 127 orang pelukis merangkumi pelbagai medium seperti lukisan, potret dan arca.

Bagi salah seorang peserta, Prof. Madya Ramlan Abdullah, 49 tahun pula menganggap peluang yang diberikan ini sebagai satu peluang yang tidak harus dilepaskan terutama melibatkan warisan Melayu.

warisan

“Sudah lama rasanya pameran sebegini tidak diadakan. Saya melihatnya sebagai satu langkah yang proaktif terutama kepada generasi muda untuk terus menghargai warisan yang kita warisi ini.

“Jika melihatkan keadaan semasa, sudah tidak banyak lukisan mahupun arca yang diterjemahkan secara terus daripada gurindam, pantun mahupun syair dilakukan oleh seniman hari ini,” kata pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini lagi.

Hampir 30 tahun mengutip pengalaman dalam bidang seni, Ramlan turut bersependapat bahawa kemajuan yang kita kecapi hari ini telah memudarkan minat masyarakat terhadap bidang seni.

“Inilah padahnya apabila kita sering kali mengambil seni yang dibawa oleh masyarakat luar sedangkan bidang seni kita langsung dipandang sepi sehingga ke hari ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama berganding bahu agar seni warisan yang kita junjung selama ini tidak terus luput ditelan zaman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Rusfam Abu Bakar pula menyifatkan pameran Tanpanya Budi ini sebagai gabungan antara pelukis mapan dan kontemporari yang julung-julung kali diadakan di Malaysia.

Jelasnya, sistem pendidikan negara semakin meminggirkan bidang seni seperti seni halus dan seni tampak menyebabkan bidang ini kurang mendapat perhatian oleh orang ramai.

Tambahnya, orang Melayu memang kaya dengan adat resam dan karya-karya sastera dan adalah tidak adil untuk generasi baru meminggirkan perkara tersebut sewenang-wenangnya.

Dia yang mempamerkan karya yang dipetik daripada perumpamaan ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’ yang diterjemahkan ke dalam lukisan.

“Saya sangat menyukai perumpamaan ini dan sebab itu saya menggambarkan ikan yang hidup di dalam sebuah balang. Bagi yang melihatnya secara mendalam pasti dapat merasai apakah mesej yang ingin saya sampaikan.

“Isu pencemaran selalunya kurang dipandang serius oleh pelbagai pihak. Rasanya memang cocok perumpamaan tersebut dengan sikap manusia yang sering kali diabaikan oleh kita,” katanya.

Pameran Tanpanya Budi akan berlangsung sehingga 4 Oktober depan dan bagi mereka yang berminat boleh datang terus ke Balai Seni Lukis Negara, NO 2, Jalan Temerloh off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur atau layari www.info@artgallery.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: